Titus
Titus
Titus 1
1 Aku, Paulus menulis surat ini sebagai hamba Allah dan rasul Yesus Kristus. Aku dipilih dan diutus untuk meneguhkan iman umat pilihan Allah. Aku juga harus memimpin mereka supaya mengenal ajaran benar yang diajarkan oleh agama kita. 2 Ajaran itu berdasarkan harapan kita untuk menerima hidup sejati dan kekal. Allah yang tidak berdusta, telah menjanjikan hidup itu sebelum permulaan zaman. 3 Pada waktu yang tepat, Allah menyatakan janji itu dalam perkhabaran-Nya. Perkhabaran tersebut diamanahkan kepadaku dan aku mengisytiharkannya dengan perintah Allah Penyelamat kita. 4 Titus, dalam iman kita kepada Kristus, engkau bagaikan anakku sendiri. Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Penyelamat kita mengurniai engkau berkat dan kesejahteraan. 5 Aku meninggalkan engkau di Kreta supaya engkau dapat menyelesaikan semua perkara yang masih perlu dilakukan, dan melantik pemimpin jemaah di setiap kota. Ingatlah akan petunjuk-petunjukku ini: 6 Seorang pemimpin jemaah haruslah orang yang tidak bercela; dia mesti mempunyai seorang isteri sahaja; anak-anaknya mesti percaya kepada Kristus, berkelakuan baik, dan bersifat taat. 7 Hal itu demikian kerana seorang pemimpin jemaah bertugas mengurus pekerjaan Allah. Oleh itu dia haruslah tidak bercela. Dia tidak boleh sombong ataupun cepat marah, atau pemabuk, atau suka berkelahi, ataupun tamak akan wang. 8 Dia mesti suka menyambut orang ke rumah dan menyukai apa yang baik. Dia harus tahu mengawal diri, jujur, suci, dan berdisiplin. 9 Dia mesti berpegang teguh pada perkhabaran yang dapat dipercaya dan yang sesuai dengan asas kepercayaan. Dengan demikian dia dapat menggalakkan orang lain dengan ajaran yang benar, dan juga menunjukkan kesalahan orang yang menentang ajaran itu. 10 Dia harus berbuat demikian, kerana banyak orang yang memberontak dan menipu orang lain dengan cakap karut mereka, terutama sekali orang yang dahulunya beragama Yahudi. 11 Mereka harus dihentikan menyebar ajaran sesat itu, kerana mereka merosakkan iman banyak keluarga. Perbuatan mereka itu hanya bertujuan untuk mencari wang dan hal itu sungguh memalukan. 12 Seorang nabi dari Kreta pun pernah berkata, "Orang Kreta selalu berdusta. Mereka seperti binatang buas yang rakus dan malas.'' 13 Apa yang dikatakannya itu memang benar. Itulah sebabnya dengan tegas kamu mesti menegur orang yang mengajarkan ajaran sesat, supaya mereka tetap berpegang teguh pada ajaran yang benar, 14 dan tidak lagi mengendahkan dongeng-dongeng orang Yahudi ataupun peraturan daripada orang yang tidak mahu menerima ajaran benar itu. 15 Bagi orang yang suci, semuanya suci. Tetapi bagi orang yang fikiran mereka dicemari dosa dan tidak percaya kepada apa yang benar, tiada sesuatu pun yang suci, kerana fikiran dan hati nurani mereka sudah tercemar! 16 Mereka mengaku mengenal Allah, tetapi perbuatan mereka tidak membuktikannya. Mereka terkutuk dan tidak taat kepada Allah; mereka tidak dapat melakukan apa yang baik.
Titus 2
1 Tetapi engkau, Titus, harus mengajarkan apa yang sesuai dengan asas kepercayaan yang benar. 2 Nasihatilah orang lelaki yang tua supaya bijaksana, bersifat baik, dan tahu mengawal diri. Mereka juga harus sentiasa percaya kepada Kristus, mengasihi saudara seiman, dan tabah menghadapi penderitaan. 3 Demikian juga, nasihatilah wanita yang tua supaya kelakuan mereka sesuai dengan kelakuan wanita yang mengabdikan diri kepada Allah. Mereka tidak boleh mengumpat atau menjadi kaki botol. Mereka mesti mengajarkan apa yang baik. 4 Dengan demikian wanita yang tua dapat mendidik wanita yang muda supaya mengasihi suami dan anak-anak, 5 tahu mengawal diri, suci dan menjadi suri rumah yang baik, serta taat kepada suami. Dengan demikian tidak ada orang yang dapat mencela perkhabaran daripada Allah. 6 Begitu juga, gesalah orang muda supaya mengawal diri. 7 Hendaklah engkau menjadi teladan kelakuan yang baik dalam segala perkara. Hendaklah engkau jujur dan bersungguh-sungguh, apabila engkau mengajar. 8 Gunakanlah kata-kata bijak yang tidak dapat dicela orang, supaya musuhmu malu kerana tidak dapat mengecam kita. 9 Abdi harus menurut perintah tuan mereka dan menyenangkan hati mereka dalam segala hal. Abdi tidak boleh membantah 10 ataupun mencuri. Sebaliknya abdi mesti sentiasa bersikap baik dan setia, supaya dengan perbuatan mereka itu orang memuji ajaran tentang Allah, Penyelamat kita. 11 Hal itu demikian, kerana Allah sudah menunjukkan rahmat-Nya untuk menyelamatkan umat manusia. 12 Rahmat-Nya mengajar kita supaya hidup salih dan tidak mengejar hal-hal keduniaan. Di dalam dunia ini kita harus hidup dengan mengawal diri, jujur, dan menghormati Allah. 13 Sekarang kita sedang menantikan Hari yang kita harap-harapkan itu, apabila keagungan Allah Maha Besar dan Yesus Kristus Penyelamat kita akan kelihatan. 14 Dia sudah mengorbankan nyawa untuk membebaskan kita daripada segala kejahatan, menyucikan kita, dan menjadikan kita milik-Nya sahaja, serta menjadikan kita rajin berbuat baik. 15 Ajarkanlah semua perkara itu, dan dengan penuh wibawa hendaklah engkau menggalakkan dan menegur para pendengarmu. Janganlah biarkan seorang pun memandang rendah kepadamu.
Titus 3
1 Ingatkan anggota jemaahmu supaya taat kepada pemerintah dan penguasa, patuh kepada mereka dan bersedia melakukan segala perkara yang baik. 2 Beritahu jemaahmu supaya tidak mengumpat ataupun bertengkar dengan sesiapa pun, tetapi bersikap ramah tamah dan lemah lembut kepada semua orang. 3 Kita harus bersikap demikian, kerana dahulu kita juga bodoh, tidak taat, dan sesat. Kita diperhamba oleh berbagai-bagai nafsu dan keinginan. Hidup kita dipenuhi dengan perasaan dengki dan cemburu, dan kita saling membenci. 4 Tetapi Allah, Penyelamat kita menunjukkan kasih dan kebaikan hati-Nya kepada kita. 5 Dia menyelamatkan kita, bukan kerana perbuatan baik kita, tetapi kerana belas kasihan-Nya. Allah menyelamatkan kita melalui Roh-Nya, yang mengurniai kita kelahiran baru dan hidup baru dengan membasuh kita. 6 Allah melimpahkan Roh-Nya kepada kita melalui Yesus Kristus, Penyelamat kita, 7 supaya oleh rahmat-Nya, kita berbaik semula dengan Allah, dan kita menerima hidup sejati dan kekal yang kita harap-harapkan. 8 Kata-kata itu sungguh benar. Aku mahu engkau memberikan perhatian kepada perkara-perkara tersebut, supaya orang yang percaya kepada Allah sungguh-sungguh berusaha untuk melakukan perbuatan yang baik dan berguna bagi semua orang. 9 Tetapi jauhkanlah diri daripada perdebatan yang sia-sia, senarai nenek moyang, pertengkaran, dan perkelahian tentang Taurat. Semua itu sia-sia dan tidak berguna. 10 Berikanlah amaran kepada orang yang menyebabkan perpecahan dalam jemaah. Nasihatilah orang itu sekurang-kurangnya dua kali, setelah itu jauhilah dia. 11 Engkau tahu bahawa orang seperti itu jahat dan dosa-dosanya membuktikan dia bersalah. 12 Apabila aku mengutus Artemas atau Tikhikus kepadamu, berusahalah seboleh-bolehnya untuk datang kepadaku di Nikopolis, kerana aku telah mengambil keputusan akan tinggal di sana pada musim sejuk. 13 Berusahalah seboleh-bolehnya untuk menolong Zenas, peguam itu dan Apolos, supaya mereka dapat memulakan perjalanan. Pastikanlah mereka tidak kekurangan apa-apa. 14 Hendaklah jemaah kita mengamalkan perbuatan baik supaya dapat membantu orang yang memerlukan pertolongan. Dengan demikian hidup mereka berguna. 15 Semua saudara yang bersama-sama aku mengirim salam kepadamu. Sampaikanlah salam kami kepada sahabat-sahabat kita yang seiman. Semoga Allah memberkati kamu semua.
|