Revelation

Wahyu

Wahyu 1

1 Kitab ini mengandungi peristiwa-peristiwa yang dinyatakan oleh Yesus Kristus. Allah memberitahukannya kepada Kristus, dan Kristus menunjukkan apa yang segera harus berlaku itu kepada hamba-hamba Allah. Kristus mengutus malaikat-Nya untuk memberitahu Yohanes, hamba-Nya semua peristiwa itu. 2 Yohanes menceritakan segala yang telah dilihatnya itu. Inilah laporannya tentang perkhabaran daripada Allah dan hal-hal yang dinyatakan oleh Yesus Kristus. 3 Berbahagialah orang yang membaca kitab ini kepada jemaah. Berbahagialah mereka yang mendengarkan perkhabaran nubuat ini serta taat kepada apa yang tertulis di dalam kitab ini, kerana tidak lama lagi semuanya ini akan berlaku. 4 Daripada Yohanes kepada jemaah di tujuh buah tempat di daerah Asia: Terimalah berkat dan kesejahteraan daripada Allah, iaitu Dia yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang, serta daripada tujuh roh yang di hadapan takhta-Nya, 5 dan daripada Yesus Kristus, saksi yang setia. Dialah yang pertama sekali dibangkitkan daripada kematian dan Dialah pemerintah raja-raja dunia. Yesus mengasihi kita, dan dengan kematian-Nya Dia membebaskan kita daripada dosa-dosa kita. 6 Kristus menjadikan kita imam yang memerintah bersama-sama Dia dan yang mengabdikan diri kepada Allah, Bapa-Nya. Marilah kita muliakan keagungan dan kekuasaan Yesus Kristus yang kekal itu. Amin! 7 Lihatlah, Dia datang dengan awan! Semua orang akan melihat Dia, termasuk juga mereka yang sudah membunuh Dia. Semua bangsa di bumi akan meratap kerana Dia. Ya, tentu! Amin! 8 "Akulah yang pertama dan yang terakhir,'' firman Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa, yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang. 9 Aku Yohanes, saudara kamu, juga mengalami penderitaan yang dialami oleh setiap pengikut Yesus. Kita menantikan Pemerintahan-Nya dan harus menanggung penderitaan dengan tabah hati. Aku dibuang ke pulau Patmos kerana mengisytiharkan firman Allah dan hal-hal yang dinyatakan oleh Yesus. 10 Pada hari Tuhan, Roh Allah menguasai aku, lalu aku mendengar suara yang kuat dan jelas, seperti bunyi trompet, berkata-kata di belakangku. 11 Suara itu berkata, "Tuliskanlah apa yang engkau lihat dan kirimlah kitab ini kepada jemaah di tujuh buah kota berikut: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia, dan Laodikia.'' 12 Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang berkata-kata kepadaku. Lalu aku nampak tujuh buah kaki pelita daripada emas. 13 Di tengah-tengah kaki pelita itu ada sesusuk tubuh yang kelihatan seperti manusia. Dia memakai jubah yang panjangnya sampai ke kaki dan dada-Nya dililiti seutas pengikat daripada emas. 14 Rambut-Nya sangat putih, seputih kapas, dan mata-Nya bernyala-nyala seperti api. 15 Kaki-Nya bersinar seperti gangsa yang sudah dibersihkan dan digosok, dan suara-Nya seperti deruman air terjun yang besar. 16 Tangan kanan-Nya memegang tujuh buah bintang, dan dari mulut-Nya keluar sebilah pedang tajam yang bermata dua. Muka-Nya terang seperti matahari pada waktu tengah hari. 17 Ketika aku melihat-Nya, aku meniarapkan diri di hadapan-Nya seperti orang mati. Dia meletakkan tangan kanan-Nya padaku lalu berfirman, "Janganlah takut! Akulah yang awal dan yang penghujung. 18 Akulah Dia yang hidup! Aku sudah mati, tetapi lihatlah, Aku hidup selama-lamanya. Aku berkuasa atas kematian dan atas dunia orang mati. 19 Oleh itu, tulislah perkara-perkara yang engkau lihat, iaitu perkara-perkara yang ada sekarang ini, dan perkara-perkara yang akan berlaku kelak. 20 Inilah makna yang dilambangkan oleh tujuh buah bintang yang engkau lihat di tangan kanan-Ku dan oleh tujuh buah kaki pelita daripada emas itu. Tujuh buah bintang itu melambangkan para malaikat daripada jemaah di tujuh buah tempat itu, dan tujuh buah kaki pelita itu melambangkan jemaah di tujuh buah tempat itu.''

Wahyu 2

1 "Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Efesus: Inilah perkhabaran daripada Dia yang memegang tujuh buah bintang pada tangan kanan-Nya dan yang berjalan di antara tujuh buah kaki pelita daripada emas. 2 Aku mengetahui apa yang telah kamu lakukan; Aku tahu bahawa kamu bekerja keras dan tabah menanggung penderitaan. Aku tahu bahawa kamu tidak tahan lagi dengan orang jahat. Kamu sudah menguji orang yang mengaku diri mereka rasul padahal bukan, dan kamu sudah mendapati mereka pendusta. 3 Kamu tabah menanggung penderitaan; kamu sudah menderita kerana Aku, dan kamu tidak putus asa. 4 Tetapi Aku mencela kamu tentang hal ini: Kamu tidak mengasihi Aku lagi seperti ketika kamu mula-mula percaya kepada-Ku. 5 Ingatlah betapa dalamnya kamu sudah jatuh ke dalam dosa. Bertaubatlah daripada dosa kamu dan lakukanlah apa yang kamu lakukan ketika kamu mula-mula percaya kepada-Ku. Jika tidak, Aku akan datang kepada kamu dan menyingkirkan kaki pelita kamu dari tempatnya. 6 Tetapi ada sesuatu yang baik pada kamu: Kamu membenci perbuatan pengikut Nikolaus, yang juga Aku benci. 7 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah! Mereka yang menang akan Aku benarkan makan buah dari pokok yang memberikan hidup, yang tumbuh di Taman Allah.'' 8 "Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Smirna: Inilah perkhabaran daripada Dia yang awal dan yang penghujung, yang sudah mati dan hidup semula. 9 Aku mengetahui kesusahan kamu; Aku tahu bahawa kamu miskin -- tetapi sebenarnya kamu kaya! Aku mengetahui fitnah yang dilemparkan kepada kamu oleh orang yang mengaku diri mereka Yahudi padahal bukan. Mereka dikuasai oleh Iblis! 10 Janganlah takut akan penderitaan yang tidak lama lagi akan kamu alami. Ketahuilah! Iblis akan menguji kamu. Dia akan memasukkan beberapa orang daripada kamu ke dalam penjara. Kamu akan mengalami penderitaan selama sepuluh hari. Hendaklah kamu setia kepada-Ku sampai mati, dan Aku akan mengurniai kamu hidup sejati dan kekal sebagai hadiah kemenangan. 11 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah! Mereka yang menang tidak akan mengalami derita kematian kedua.'' 12 "Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Pergamus: Inilah perkhabaran daripada Dia yang memiliki sebilah pedang tajam bermata dua. 13 Aku mengetahui tempat kamu tinggal; di situlah Iblis bertakhta. Kamu setia kepada-Ku. Kamu bahkan tidak menafikan kepercayaan kamu kepada-Ku, semasa Antipas, saksi-Ku yang setia itu dibunuh di tempat Iblis tinggal. 14 Tetapi Aku mencela kamu tentang hal ini: Beberapa orang antara kamu mengikut ajaran Bileam. Dahulu Bileam mengajar Balak menjerumuskan umat Israel ke dalam dosa, dengan memujuk mereka makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, dan dengan melakukan perbuatan cabul. 15 Demikian juga ada beberapa orang antara kamu yang mengikut ajaran Nikolaus. 16 Oleh itu, bertaubatlah daripada dosa kamu! Jika tidak, Aku akan segera datang kepada kamu dan melawan semua orang itu dengan pedang yang keluar dari mulut-Ku. 17 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah! Mereka yang menang akan Aku kurniai manna yang tersembunyi. Aku juga akan mengurniai setiap orang daripada mereka seketul batu putih. Batu itu ditulisi nama baru, yang tidak diketahui oleh sesiapa pun, kecuali orang yang menerimanya.'' 18 "Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Tiatira: Inilah perkhabaran daripada Anak Allah, yang mata-Nya bernyala-nyala seperti api, dan kaki-Nya bersinar seperti gangsa yang digosok. 19 Aku mengetahui semua yang sudah kamu lakukan. Aku tahu bahawa kamu saling mengasihi, kamu setia, kamu saling menolong, dan kamu tabah menanggung penderitaan. Aku tahu bahawa kamu sekarang melakukan lebih banyak kerja berbanding dahulu semasa kamu mula-mula percaya kepada-Ku. 20 Tetapi Aku mencela kamu tentang hal ini: Kamu membenarkan Izebel, perempuan yang mengaku dirinya pesuruh Allah mengajar umat-Ku. Dengan ajarannya, dia menyesatkan hamba-hamba-Ku sehingga mereka melakukan perbuatan cabul dan makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala. 21 Aku sudah memberikan peluang kepadanya untuk bertaubat daripada dosa, tetapi dia tidak mahu berhenti melakukan perbuatan cabul. 22 Oleh itu, Aku akan menghukum dia dengan penyakit dan mereka yang berzina dengan dia akan mengalami penderitaan yang dahsyat. Aku akan melakukan semua itu sekarang juga, kecuali mereka bertaubat daripada perbuatan keji yang dilakukan bersama-sama dia. 23 Aku juga akan membunuh pengikut-pengikutnya, lalu semua jemaah akan tahu bahawa Akulah Dia yang menyelami fikiran dan hati manusia. Aku akan membalas kamu menurut perbuatan masing-masing. 24 Tetapi kamu yang lain yang tinggal di Tiatira tidak mengikut ajaran jahat itu. Kamu tidak mempelajari ilmu daripada Iblis. Aku berkata kepada kamu bahawa Aku tidak akan membebani kamu dengan kewajipan lain. 25 Tetapi kamu harus terus berpegang kepada apa yang kamu miliki, sehingga Aku datang kelak. 26 Mereka yang menang, dan terus-menerus melakukan kehendak-Ku sehingga akhir, akan Aku kurniai kekuasaan seperti yang Aku terima daripada Bapa-Ku. Mereka akan menerima kekuasaan daripada-Ku untuk memerintah bangsa-bangsa dengan tangan besi dan untuk menghancurkan mereka seperti periuk tanah. Mereka juga akan menerima bintang fajar daripada-Ku. 29 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!''

Wahyu 3

1 "Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Sardis: Inilah perkhabaran daripada Dia yang mempunyai tujuh Roh Allah dan tujuh buah bintang itu. Aku mengetahui apa yang kamu lakukan. Kamu dikatakan hidup, padahal kamu mati! 2 Oleh itu, bangunlah dan perkuatlah apa yang masih ada pada kamu sebelum semuanya mati sama sekali. Hal itu demikian kerana Aku dapati apa yang kamu lakukan masih belum sempurna di sisi Allah-Ku. 3 Ingatlah kembali apa yang telah diajarkan kepada kamu dan apa yang telah kamu dengar. Taatilah semuanya dan bertaubatlah daripada dosa kamu. Jika kamu tidak bangun, Aku akan datang kepada kamu seperti pencuri dan kamu tidak akan mengetahui saatnya Aku datang. 4 Tetapi ada beberapa orang antara kamu di Sardis yang menjaga pakaian mereka supaya tetap bersih. Mereka akan berjalan bersama-sama Aku dengan berpakaian putih, kerana mereka layak berbuat demikian. 5 Mereka yang menang akan dikenakan pakaian putih seperti itu dan Aku tidak akan menghapuskan nama mereka dari Kitab Orang Hidup. Di hadapan Bapa-Ku dan malaikat-malaikat-Nya Aku akan mengaku bahawa mereka milik-Ku. 6 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!'' 7 "Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Filadelfia: Inilah perkhabaran daripada Dia yang suci dan setia. Dia memegang kunci yang dimiliki Daud; apabila Dia membuka pintu, tidak seorang pun dapat menutupnya, dan apabila Dia menutupnya, tidak seorang pun dapat membukanya. 8 Aku mengetahui apa yang kamu lakukan. Aku tahu bahawa kamu tidak seberapa kuat, tetapi kamu telah mengikut ajaran-Ku dan setia kepada-Ku. Aku telah membuka sebuah pintu bagi kamu, yang tidak dapat ditutup oleh sesiapa pun. 9 Ketahuilah! Orang yang berpihak kepada Iblis, pendusta-pendusta yang mengaku diri mereka orang Yahudi padahal bukan, akan Aku bawa kepada kamu untuk bersujud di hadapan kamu. Mereka semua akan tahu bahawa Aku mengasihi kamu. 10 Kerana kamu menurut perintah-Ku supaya tabah ketika menanggung penderitaan, Aku pun akan menyelamatkan kamu daripada masa kesusahan yang akan menimpa seluruh dunia untuk menguji semua orang di bumi. 11 Aku akan segera datang! Jagalah baik-baik apa yang kamu miliki, supaya tidak seorang pun merampas hadiah kemenangan kamu. 12 Sesiapa yang menang akan Aku jadikan seperti tiang di rumah Allah-Ku dan dia tidak akan meninggalkan tempat itu lagi. Pada dirinya akan Aku tulis nama Allah-Ku dan nama kota Allah-Ku, iaitu Yerusalem baru yang akan turun dari syurga, daripada Allah-Ku. Pada dirinya juga akan Aku tulis nama-Ku yang baru. 13 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!'' 14 "Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Laodikia: Inilah perkhabaran daripada Dia yang disebut Amin, saksi yang setia dan benar, sumber segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah. 15 Aku mengetahui apa yang kamu lakukan. Aku tahu bahawa kamu tidak sejuk dan tidak panas juga. Alangkah baiknya jika kamu salah satu daripadanya. 16 Tetapi kerana kamu suam-suam kuku, Aku akan meludahkan kamu. 17 Kamu berkata, `Kami kaya dan serba cukup; kami tidak kekurangan sesuatu pun.' Tetapi kamu tidak tahu bahawa kamu sangat melarat dan keadaan kamu sangat menyedihkan! Kamu miskin, telanjang, dan buta. 18 Oleh itu Aku menasihati kamu: Belilah emas daripada Aku, belilah emas tulen supaya kamu menjadi kaya. Belilah pakaian putih juga supaya kamu berpakaian dan menutupi keadaan kamu yang telanjang serta memalukan itu. Belilah ubat juga untuk mata kamu supaya boleh melihat. 19 Aku menegur dan menghukum orang yang Aku kasihi. Oleh itu kamu harus bersungguh-sungguh, dan juga bertaubat daripada dosa. 20 Dengarlah! Aku berdiri di depan pintu dan mengetuk. Jika seseorang mendengar suara-Ku dan membuka pintu, Aku akan masuk ke dalam rumahnya lalu makan bersama-sama dia dan dia makan bersama-sama Aku. 21 Mereka yang menang akan Aku benarkan duduk di takhta-Ku, sebagaimana Aku sendiri sudah menang dan sekarang duduk bersama-sama Bapa-Ku di takhta-Nya. 22 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!''

Wahyu 4

1 Sesudah itu aku nampak suatu penglihatan lagi. Aku melihat sebuah pintu terbuka di syurga. Suara seperti bunyi trompet, yang pernah bercakap kepadaku berkata, "Marilah naik ke sini. Aku akan menunjukkan apa yang harus berlaku selepas ini.'' 2 Dengan segera Roh Allah menguasai aku. Aku melihat sebuah takhta di syurga dan seseorang duduk di atas takhta itu. 3 Mukanya bersinar seperti batu jasper dan batu sardis. Takhta itu dikelilingi oleh pelangi yang bersinar seperti zamrud. 4 Di lingkaran yang mengelilingi takhta itu terdapat dua puluh empat buah takhta lain. Di situ duduk dua puluh empat orang pemimpin yang berpakaian putih dan memakai mahkota emas. 5 Takhta ini memancarkan pancaran kilat dan aku mendengar gemuruh bunyi guruh. Di hadapan takhta itu terdapat tujuh buah suluh yang bernyala; itulah ketujuh-tujuh Roh Allah. 6 Di hadapan takhta itu terdapat sesuatu yang kelihatan seperti lautan kaca, hening seperti kristal. Di sekeliling takhta itu terdapat empat makhluk, satu makhluk pada setiap sisi takhta. Makhluk itu diliputi mata pada bahagian depan dan belakang. 7 Makhluk yang pertama rupanya seperti singa, yang kedua rupanya seperti lembu jantan, yang ketiga mempunyai muka seperti muka manusia, dan yang keempat rupanya seperti burung helang yang sedang terbang. 8 Setiap makhluk itu mempunyai enam buah sayap. Keempat-empat makhluk itu diliputi mata, bahkan bahagian bawah sayap. Siang malam makhluk-makhluk itu tidak henti-hentinya menyanyi, "Suci, suci, sucilah Tuhan, Allah Maha Kuasa, yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang.'' 9 Keempat-empat makhluk itu menyanyikan lagu-lagu kemuliaan, penghormatan, dan kesyukuran kepada Dia yang duduk di atas takhta itu, iaitu Dia yang hidup selama-lamanya. Ketika makhluk-makhluk ini menyanyi, 10 dua puluh empat orang pemimpin itu bersujud di hadapan Dia yang duduk di atas takhta itu dan menyembah Dia yang hidup selama-lamanya. Mereka meletakkan mahkota mereka di hadapan takhta itu dan berkata, 11 "Ya Tuhan dan Allah kami! Engkau sahaja yang layak menerima kemuliaan, penghormatan, dan kekuasaan, kerana Engkaulah yang menciptakan segala sesuatu, dan dengan kehendak-Mu juga segala sesuatu itu wujud dan hidup.''

Wahyu 5

1 Aku melihat sebuah gulungan naskhah di tangan kanan Dia yang duduk di atas takhta itu. Gulungan naskhah itu penuh dengan tulisan pada kedua-dua belah sisinya dan dimeterai dengan tujuh buah meterai. 2 Lalu aku melihat satu malaikat perkasa bertanya dengan suara yang lantang, "Siapakah yang layak memecahkan meterai-meterai ini serta membuka gulungan naskhah ini?'' 3 Tetapi tidak seorang pun di syurga, atau di bumi, ataupun di bawah bumi, yang dapat membuka gulungan naskhah itu dan membaca kandungannya. 4 Aku menangis tersedu-sedu, kerana tidak seorang pun layak membuka gulungan naskhah itu dan membaca kandungannya. 5 Lalu salah seorang pemimpin itu berkata kepadaku, "Jangan menangis! Lihatlah! Singa daripada suku Yehuda, keturunan agung daripada Daud, sudah menang. Dia dapat memecahkan tujuh buah meterai itu dan membuka gulungan naskhah itu.'' 6 Kemudian aku nampak seekor Anak Domba berdiri di tengah-tengah takhta itu, dikelilingi oleh empat makhluk dan semua pemimpin itu. Anak Domba itu nampaknya sudah disembelih. Anak Domba itu mempunyai tujuh buah tanduk dan tujuh biji mata, iaitu tujuh Roh Allah yang telah diutus ke seluruh dunia. 7 Anak Domba itu pergi mengambil gulungan naskhah itu dari tangan kanan Dia yang duduk di atas takhta. 8 Sementara Anak Domba itu berbuat demikian, empat makhluk itu dan dua puluh empat orang pemimpin itu bersujud di hadapan Anak Domba. Masing-masing memegang sebuah kecapi dan sebuah mangkuk emas berisi kemenyan, iaitu doa-doa umat Allah. 9 Mereka menyanyikan sebuah lagu baru, "Engkau layak mengambil gulungan naskhah itu dan memecahkan meterai-meterainya, kerana Engkau telah dibunuh dan dengan kematian-Mu, manusia daripada semua suku, bahasa, negara, dan bangsa telah Engkau beli untuk Allah. 10 Engkau sudah menjadikan mereka imam yang mengabdi kepada Allah kita, dan memerintah di dunia.'' 11 Lalu aku melihat lagi. Aku mendengar suara malaikat yang beribu-ribu dan berjuta-juta bilangannya! Mereka berdiri mengelilingi takhta, keempat-empat makhluk, dan para pemimpin itu. 12 Mereka menyanyi dengan suara yang lantang, "Anak Domba yang sudah dibunuh itu layak menerima kekuasaan, kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan, penghormatan, kemuliaan, dan pujian.'' 13 Lalu aku mendengar semua makhluk di syurga, di bumi, di bawah bumi, dan semua makhluk di dalam laut -- pendeknya semua makhluk di alam semesta ini -- menyanyi, "Kepada Dia yang duduk di atas takhta, dan kepada Anak Domba itu, kami persembahkan pujian dan penghormatan, kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya!'' 14 Keempat-empat makhluk itu menjawab, "Amin!'' Para pemimpin itu pun bersujud serta menyembah Allah dan Anak Domba itu.

Wahyu 6

1 Kemudian aku melihat Anak Domba itu memecahkan meterai pertama daripada tujuh buah meterai itu. Lalu aku mendengar salah satu daripada empat makhluk itu berkata dengan suara yang mengguntur, "Mari!'' 2 Aku melihat, lalu nampak seekor kuda putih. Penunggangnya memegang sebuah busur dan dia diberikan sebuah mahkota. Dia mara sebagai seorang penakluk yang menang. 3 Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai kedua, dan aku mendengar makhluk kedua berkata, "Mari!'' 4 Seekor kuda merah keluar. Penunggangnya diberikan kuasa untuk mendatangkan peperangan di bumi, sehingga manusia saling membunuh. Dia diberikan sebilah pedang yang besar. 5 Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai ketiga, dan aku mendengar makhluk ketiga berkata, "Mari!'' Aku melihat, lalu nampak seekor kuda hitam. Penunggangnya memegang sebuah dacing di tangan. 6 Aku mendengar sesuatu yang kedengaran seperti suara dari tengah-tengah empat makhluk itu, berkata, "Satu kilogram gandum seharga upah sehari dan tiga kilogram barli seharga upah sehari juga. Tetapi jangan rosakkan pokok zaitun dan ladang anggur!'' 7 Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai keempat dan aku mendengar makhluk keempat berkata, "Mari!'' 8 Aku melihat, lalu nampak seekor kuda kuning pucat. Penunggangnya bernama Maut, dan Alam Maut mengikutinya dekat di belakang. Mereka diberikan kuasa untuk membunuh seperempat penduduk bumi dengan peperangan, kebuluran, wabak, dan binatang buas. 9 Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai kelima. Di bawah mazbah aku nampak roh-roh orang yang mati terbunuh. Mereka dibunuh kerana mengisytiharkan firman Allah dengan setia melalui kesaksian mereka. 10 Mereka berseru dengan suara lantang, "Ya Tuhan Yang Maha Kuasa, yang suci dan setia! Berapa lama lagi sebelum Engkau menghakimi penduduk bumi dan menghukum mereka kerana telah membunuh kami?'' 11 Setiap orang daripada mereka diberikan sehelai jubah putih. Lalu mereka disuruh berehat lebih lama lagi, sehingga cukup bilangan rakan seperjuangan dan saudara seiman yang akan dibunuh seperti mereka. 12 Kemudian aku melihat Anak Domba itu memecahkan meterai keenam. Lalu berlakulah gempa bumi yang dahsyat. Matahari menjadi hitam seperti kain hitam yang kasar, dan bulan menjadi merah seperti darah. 13 Bintang-bintang jatuh dari langit ke bumi, seperti buah ara yang belum matang gugur dari pokok semasa digoncang oleh angin keras. 14 Langit menghilang seperti gulungan naskhah yang digulung, dan semua gunung serta pulau beralih tempat. 15 Lalu raja-raja dunia, para penguasa, dan panglima, orang kaya dan orang berkuasa serta semua orang lain, baik abdi mahupun orang bebas, menyembunyikan diri di dalam gua-gua dan di celah-celah batu di gunung. 16 Mereka berseru kepada gunung-gunung dan batu-batu itu, "Timpalah kami dan sembunyikanlah kami daripada pandangan Dia yang duduk di atas takhta dan daripada kemurkaan Anak Domba itu! 17 Hari yang dahsyat sudah tiba; Allah dan Anak Domba akan menghukum kami dan tidak seorang pun akan terselamat.''

Wahyu 7

1 Setelah itu, aku nampak empat malaikat berdiri di empat penjuru bumi, dan menahan keempat-empat angin di bumi supaya tidak bertiup di darat, di laut, ataupun pada pokok-pokok. 2 Lalu aku nampak malaikat lain muncul dari sebelah timur, dengan membawa meterai yang digunakan oleh Allah yang hidup. Dengan suara lantang malaikat itu memanggil keempat-empat malaikat yang sudah diberikan kuasa oleh Allah untuk merosakkan darat dan laut. 3 Malaikat itu berkata, "Janganlah rosakkan darat, atau laut, ataupun pokok-pokok, sehingga kami telah memeterai dahi hamba-hamba Allah kita.'' 4 Aku diberitahu bahawa 144,000 orang ditandai dengan meterai Allah pada dahi mereka. Mereka berasal daripada dua belas suku Israel; 5 dua belas ribu orang daripada setiap suku, iaitu suku Yehuda, Ruben, Gad, Asyer, Naftali, Manasye, Simeon, Lewi, Isakhar, Zebulon, Yusuf, dan Benyamin. 9 Setelah itu aku melihat lagi, lalu nampak lautan manusia yang luar biasa banyaknya. Tidak seorang pun dapat mengira mereka! Mereka daripada setiap bangsa, suku, negara, dan bahasa. Dengan berpakaian jubah putih dan dengan memegang daun palma di tangan, mereka berbaris-baris berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba itu. 10 Mereka berseru dengan suara kuat, "Kita telah diselamatkan oleh Allah kita, yang duduk di atas takhta, dan oleh Anak Domba itu!'' 11 Semua malaikat berdiri di sekeliling takhta, para pemimpin, dan keempat-empat makhluk itu. Lalu mereka semua bersujud di hadapan takhta dan menyembah Allah. 12 Mereka berkata, "Amin! Pujian, kemuliaan, kebijaksanaan, kesyukuran, penghormatan, kekuasaan, dan kemegahan bagi Allah kita selama-lamanya! Amin.'' 13 Salah seorang pemimpin itu bertanya kepadaku, "Siapakah mereka yang berjubah putih itu, dan dari manakah mereka datang?'' 14 "Saya tidak tahu, tetapi tuan tahu,'' jawabku. Dia berkata kepadaku, "Merekalah orang yang berjaya melalui masa penganiayaan yang dahsyat itu. Mereka telah membasuh dan menjadikan jubah mereka putih dengan darah Anak Domba itu. 15 Itulah sebabnya mereka berdiri di hadapan takhta Allah, dan beribadat kepada-Nya siang malam di dalam rumah Allah. Dia yang duduk di atas takhta akan melindungi mereka dengan hadirat-Nya. 16 Mereka tidak akan lapar ataupun dahaga lagi; matahari ataupun panas terik tidak akan membakar mereka lagi. 17 Hal itu demikian kerana Anak Domba yang di tengah-tengah takhta itu akan menggembalakan mereka, dan Dia akan memimpin mereka ke sumber air yang memberikan hidup. Allah akan menyapu air mata mereka.''

Wahyu 8

1 Ketika Anak Domba itu memecahkan meterai ketujuh, syurga menjadi senyap selama kira-kira setengah jam. 2 Kemudian aku melihat tujuh malaikat berdiri di hadapan Allah, dan mereka diberikan tujuh buah trompet. 3 Satu malaikat lain yang membawa sebuah perbaraan emas, datang dan berdiri di hadapan mazbah. Dia diberikan banyak kemenyan untuk ditambahkan pada doa-doa semua umat Allah, dan untuk dipersembahkan di atas mazbah emas yang terletak di hadapan takhta. 4 Doa umat Allah bersama-sama asap kemenyan yang terbakar itu mengepul naik dari tangan malaikat yang berdiri di hadapan Allah. 5 Kemudian malaikat itu mengambil perbaraan itu, dan mengisinya dengan bara api yang diambil dari mazbah, lalu melemparkannya ke atas bumi. Lalu guruh bergemuruh, kilat sabung-menyabung, dan gempa bumi berlaku. 6 Kemudian tujuh malaikat yang memegang tujuh buah trompet itu bersedia untuk meniup trompet. 7 Malaikat pertama meniup trompetnya, lalu hujan batu dan api bercampur darah, turun dengan derasnya ke atas bumi. Api membakar sepertiga daripada bumi dan memusnahkan semua pokok dan tumbuh-tumbuhan di situ. 8 Kemudian malaikat kedua meniup trompetnya dan sesuatu yang kelihatannya seperti gunung besar yang bernyala-nyala, dilempar ke dalam laut. Sepertiga daripada lautan berubah menjadi darah; 9 sepertiga daripada semua makhluk di laut mati dan sepertiga daripada kapal-kapal musnah. 10 Kemudian malaikat ketiga meniup trompetnya dan sebuah bintang besar, yang bernyala-nyala seperti suluh, jatuh dari langit dan menimpa sepertiga daripada semua sungai dan mata air di bumi. 11 (Nama bintang itu "Pahit''.) Sepertiga daripada air menjadi pahit, dan banyak orang mati kerana minum air yang sudah menjadi pahit. 12 Kemudian malaikat keempat meniup trompetnya. Matahari, bulan, dan bintang terpukul, sehingga tidak dapat bersinar sepertiga daripada waktunya. Matahari tidak bersinar selama sepertiga daripada siang hari; bulan dan bintang tidak bersinar selama sepertiga daripada malam hari. 13 Kemudian aku melihat dan mendengar seekor burung helang yang terbang tinggi di angkasa, berseru, "Sungguh malang! Sungguh malang! Sungguh malang semua orang yang hidup di bumi apabila terdengar bunyi trompet yang akan ditiup oleh tiga malaikat lain.''

Wahyu 9

1 Kemudian malaikat kelima meniup trompetnya, dan aku nampak sebuah bintang jatuh dari langit ke atas bumi. Bintang itu diberikan kunci jurang maut. 2 Bintang itu membuka jurang maut, lalu asap keluar dari dalamnya seperti asap dari relau yang besar. Matahari dan angkasa menjadi gelap kerana asap dari jurang itu. 3 Lalu dari dalam asap keluarlah belalang-belalang yang turun ke atas bumi. Belalang-belalang itu diberikan kekuatan yang dimiliki kala jengking. 4 Belalang-belalang itu dilarang merosak rumput, atau pokok, ataupun tanaman lain. Hanya orang yang tidak bertandakan meterai Allah pada dahi mereka boleh diserang. 5 Belalang-belalang itu tidak dibenarkan membunuh mereka, tetapi hanya menyeksa mereka selama lima bulan. Kesakitan yang disebabkan seksaan belalang-belalang itu seperti kesakitan yang disebabkan sengat kala jengking. 6 Selama lima bulan itu mereka berusaha untuk mati, tetapi tidak dapat; mereka ingin mati, tetapi maut menjauhkan diri daripada mereka. 7 Belalang-belalang itu kelihatan seperti kuda yang siap untuk berperang. Pada kepala belalang ada sesuatu yang nampaknya seperti mahkota emas, dan muka belalang seperti muka manusia. 8 Rambut belalang seperti rambut wanita dan gigi belalang seperti gigi singa. 9 Dada belalang ditutupi dengan sesuatu yang seperti perisai dada. Bunyi sayap kawanan belalang itu seperti bunyi kereta-kereta kuda yang sedang mara ke medan peperangan. 10 Belalang-belalang itu mempunyai ekor dan sengat seperti kala jengking. Dengan ekor itulah belalang berkuasa menyakiti manusia selama lima bulan. 11 Kawanan belalang diperintah oleh raja, iaitu malaikat yang bertanggungjawab atas jurang maut. Dalam bahasa Ibrani namanya Abadon, dan dalam bahasa Yunani namanya Apolion (yang bermakna "Perosak''). 12 Bencana pertama sudah lalu. Setelah itu dua lagi bencana akan datang. 13 Kemudian malaikat keenam meniup trompetnya dan aku mendengar suara yang datang dari keempat-empat sudut mazbah emas di hadapan Allah. 14 Suara itu berkata kepada malaikat keenam, "Lepaskanlah keempat-empat malaikat yang terikat di Sungai Efrat itu!'' 15 Keempat-empat malaikat itu pun dilepaskan. Mereka telah dipersiapkan khas bagi jam, hari, bulan, dan tahun itu, untuk membunuh sepertiga daripada umat manusia. 16 Aku diberitahukan bahawa pasukan berkuda itu berjumlah 200 juta. 17 Dalam penglihatan, aku nampak banyak kuda dengan para penunggang kuda. Mereka memakai perisai dada berwarna merah seperti api, biru seperti batu nilam, dan kuning seperti belerang. Kepala kuda seperti kepala singa dan dari mulut kuda keluar api, asap, dan belerang. 18 Sepertiga daripada umat manusia terbunuh oleh tiga malapetaka itu: api, asap, dan belerang yang keluar dari mulut kuda. 19 Kekuatan kuda terdapat pada mulut dan juga pada ekor. Ekor kuda seperti ular berkepala, dan kuda menggunakan ekor untuk menyeksa manusia. 20 Umat manusia yang selebihnya, yang tidak terbunuh oleh malapetaka itu, tidak meninggalkan berhala yang dibuat oleh mereka. Mereka tidak berhenti menyembah roh jahat dan berhala yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, batu, dan kayu. Berhala-berhala itu tidak dapat melihat, mendengar, ataupun berjalan. 21 Mereka juga tidak berhenti melakukan pembunuhan, mengamalkan ilmu sihir, melakukan perbuatan cabul, dan mencuri.

Wahyu 10

1 Kemudian aku melihat satu lagi malaikat perkasa turun dari syurga. Dia diselubungi awan dan kepalanya dikelilingi pelangi. Mukanya bersinar seperti matahari, dan kakinya seperti tiang api. 2 Tangannya memegang sebuah gulungan naskhah kecil yang terbuka. Dia meletakkan kaki kanannya di laut, dan kaki kirinya di darat. 3 Lalu dia berseru dengan suara yang kuat seperti raungan kawanan singa. Setelah dia berseru, tujuh guruh menjawab dengan suara gemuruh. 4 Sebaik sahaja tujuh guruh itu berkata-kata, aku hendak menulis apa yang dikatakan. Tetapi aku mendengar suara dari syurga berkata, "Rahsiakanlah apa yang dikatakan oleh tujuh guruh itu; jangan tulis hal itu!'' 5 Kemudian malaikat yang aku lihat berdiri di laut dan di darat mengangkat tangan kanannya ke langit. 6 Dia bersumpah demi Allah yang hidup selama-lamanya, yang menciptakan langit, bumi, dan laut, serta segala sesuatu di dalam semuanya itu. Malaikat itu berkata, "Masanya tidak akan ditunda lagi! 7 Tetapi apabila malaikat ketujuh meniup trompetnya, Allah akan menyelesaikan rancangan-Nya yang dirahsiakan itu, seperti yang telah diberitakan kepada hamba-hamba-Nya, para nabi.'' 8 Kemudian suara yang aku dengar dari syurga itu, berkata kepadaku lagi, "Pergilah ambil gulungan naskhah terbuka itu, yang dipegang oleh malaikat yang berdiri di laut dan di darat.'' 9 Aku pergi kepada malaikat itu dan meminta dia memberikan gulungan naskhah kecil itu kepadaku. Dia berkata, "Ambillah dan makanlah ini. Gulungan naskhah ini akan menjadi masam di dalam perutmu, tetapi manis seperti madu di mulutmu.'' 10 Aku mengambil gulungan naskhah kecil itu dari tangannya lalu memakannya. Di mulutku gulungan naskhah itu rasanya manis seperti madu, tetapi setelah aku menelannya, gulungan itu menjadi masam di dalam perut. 11 Lalu aku diberitahu, "Sekali lagi engkau mesti mengisytiharkan perkhabaran Allah tentang pelbagai negara, bangsa, bahasa, dan raja.''

Wahyu 11

1 Kemudian aku diberikan sebatang tongkat yang kelihatannya seperti kayu pengukur. Lalu aku diperintahkan, "Pergilah ukur Rumah Allah dan mazbah. Kiralah orang yang beribadat di Rumah Allah. 2 Tetapi janganlah ukur halaman yang di sebelah luar, kerana bahagian itu sudah diserahkan kepada orang yang tidak mengenal Allah. Mereka akan menginjak-injak kota suci itu selama empat puluh dua bulan. 3 Aku akan mengutus dua orang saksi-Ku yang mengenakan pakaian berkabung. Mereka akan mengisytiharkan perkhabaran Allah selama 1,260 hari.'' 4 Kedua-dua orang saksi itu adalah dua batang pokok zaitun dan dua buah kaki pelita yang berdiri di hadapan Tuhan alam semesta. 5 Jika sesiapa cuba mencederakan mereka, api keluar dari mulut mereka dan membinasakan musuh. Dengan demikian sesiapa sahaja yang cuba mencederakan mereka akan terbunuh. 6 Mereka mempunyai kuasa untuk menutup langit supaya hujan tidak turun selama mereka mengisytiharkan perkhabaran Allah. Mereka juga berkuasa atas mata air untuk mengubah air menjadi darah; mereka juga berkuasa menimpakan segala macam malapetaka ke atas bumi, bila-bila masa mereka menghendakinya. 7 Apabila mereka selesai mengisytiharkan perkhabaran, binatang yang keluar dari jurang maut akan melawan mereka, lalu mengalahkan dan membunuh mereka. 8 Mayat mereka akan terlantar di jalan raya kota besar, tempat Tuhan mereka disalibkan. Kota itu diberikan nama kiasan Sodom atau Mesir. 9 Orang dari semua negara, suku, bahasa, dan bangsa akan melihat mayat mereka selama tiga hari setengah, dan tidak mengizinkan mayat-mayat itu dikubur. 10 Penduduk bumi akan bersukacita kerana kematian dua orang saksi ini. Mereka akan merayakannya dan saling mengirim hadiah, kerana kedua-dua orang nabi itu telah mendatangkan banyak kesusahan kepada umat manusia. 11 Setelah tiga hari setengah, nafas daripada Allah yang memberikan hidup, memasuki mereka. Mereka pun bangkit, sehingga semua orang yang melihat mereka sangat ketakutan. 12 Kemudian dua orang nabi itu mendengar suara lantang dari syurga berkata kepada mereka, "Marilah naik ke sini!'' Di depan mata musuh mereka, kedua-dua orang nabi itu naik ke syurga dengan awan. 13 Tepat pada masa itu berlakulah gempa bumi yang dahsyat. Satu persepuluh kota itu musnah dan tujuh ribu orang terbunuh kerana gempa itu. Orang yang selebihnya ketakutan, lalu mereka memuji keagungan Allah di syurga. 14 Bencana kedua sudah lalu. Tetapi lihatlah! Bencana ketiga akan segera datang. 15 Kemudian malaikat ketujuh meniup trompetnya dan suara-suara lantang di syurga berkata, "Allah, Tuhan kita dan Penyelamat yang diutus-Nya mempunyai kuasa untuk memerintah dunia. Dia akan memerintah selama-lamanya!'' 16 Lalu dua puluh empat orang pemimpin yang duduk di atas takhta mereka di hadapan Allah, bersujud dan menyembah Allah. 17 Mereka berkata, "Ya Tuhan, Allah Maha Kuasa, yang ada dan yang sudah ada! Kami bersyukur kepada-Mu kerana Engkau telah menggunakan kuasa-Mu yang besar, dan mula memerintah! 18 Orang yang tidak mengenal Engkau meradang, kerana telah tiba masanya Engkau meluahkan kemurkaan-Mu, dan masanya Engkau mengadili orang mati. Inilah masanya Engkau menghadiahi hamba-hamba-Mu para nabi itu, dan juga umat-Mu, semua orang yang hormat dan takut akan Engkau, baik orang besar mahupun orang biasa. Inilah masanya Engkau membinasakan mereka yang memusnahkan bumi!'' 19 Rumah Allah di syurga terbuka dan Tabut Perjanjian kelihatan di situ. Kemudian kilat sabung-menyabung, guruh menggelegar dan bergemuruh, bumi bergoncang dan hujan batu turun dengan lebat.

Wahyu 12

1 Kemudian terlihat di langit sesuatu yang ajaib dan luar biasa: Seorang wanita berpakaian matahari dan kakinya beralaskan bulan. Dia memakai sebuah mahkota yang terdiri daripada dua belas bintang, pada kepalanya. 2 Dia sedang mengandung dan masa bersalin sudah tiba. Oleh itu, dia berteriak kerana kesakitan. 3 Lalu sesuatu yang ajaib kelihatan pula di langit: Seekor naga merah yang besar sekali mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk. Setiap kepala memakai sebuah mahkota. 4 Dengan ekornya naga itu menyeret sepertiga daripada bintang-bintang di langit dan melemparkannya ke bumi. Naga itu berdiri di hadapan wanita yang sedang bersalin, kerana hendak memakan anaknya, sebaik sahaja bayi itu lahir. 5 Kemudian wanita itu melahirkan seorang anak lelaki yang akan memerintah dan menguasai semua bangsa dengan tangan besi. Tetapi anak itu direnggut daripada wanita itu dan dibawa kepada Allah yang duduk di atas takhta. 6 Wanita itu lari ke padang gurun, ke tempat yang telah disediakan oleh Allah baginya. Di situ dia akan dipelihara selama 1,260 hari. 7 Kemudian peperangan berlaku di syurga. Mikhael dengan malaikat-malaikatnya berperang melawan naga itu. Naga itu, yang dibantu oleh malaikat-malaikatnya melawan Mikhael. 8 Tetapi naga itu dikalahkan. Naga itu dan malaikat-malaikatnya tidak dibenarkan tinggal di syurga lagi. 9 Naga besar itu dibuang dari syurga. Itulah ular tua yang bernama Iblis atau Syaitan, yang menipu seluruh dunia. Dia dibuang ke bumi dengan semua malaikatnya. 10 Kemudian aku mendengar suara lantang di syurga berkata, "Sekaranglah masanya Allah menyelamatkan umat-Nya dan menunjukkan kuasa-Nya sebagai Raja! Sekarang Penyelamat yang diutus-Nya itu menunjukkan kekuasaan-Nya, kerana yang menuduh saudara-saudara kita di hadapan Allah siang dan malam, sudah dibuang dari syurga. 11 Saudara-saudara kita telah mengalahkan dia dengan darah Anak Domba dan dengan berita daripada Allah yang diisytiharkan mereka. Mereka tidak cuba menyelamatkan diri, tetapi rela mengorbankan nyawa. 12 Oleh itu, bersukacitalah, hai syurga dan semua yang tinggal di syurga! Tetapi malanglah bumi dan laut, kerana Iblis telah turun kepadamu. Dia sangat marah, kerana tahu bahawa masanya tinggal sedikit.'' 13 Ketika naga itu menyedari dirinya sudah dibuang ke bumi, naga itu mula mengejar wanita yang telah melahirkan anak lelaki itu. 14 Tetapi wanita itu diberikan sepasang sayap burung helang yang besar, supaya dia dapat terbang ke tempatnya di padang gurun. Di situ dia akan dipelihara selama tiga tahun setengah, supaya terhindar daripada serangan naga itu. 15 Kemudian, dari mulutnya naga itu menyemburkan air seperti aliran sungai ke arah wanita itu, untuk menghanyutkan dia. 16 Tetapi bumi menolong wanita itu. Bumi membuka mulut dan menelan air yang keluar dari mulut naga. 17 Naga itu sangat marah terhadap wanita itu, sehingga memerangi semua keturunan lain daripada wanita itu. Mereka itu semua orang yang taat kepada perintah Allah dan setia kepada ajaran yang dinyatakan oleh Yesus. 18 Lalu naga itu berdiri di pantai.

Wahyu 13

1 Kemudian aku melihat seekor binatang keluar dari dalam laut. Binatang itu mempunyai sepuluh tanduk dan tujuh kepala. Pada setiap tanduk ada sebuah mahkota dan pada setiap kepala tertulis satu nama yang mengkufuri Allah. 2 Binatang yang aku lihat itu kelihatan seperti harimau bintang, kakinya seperti kaki beruang dan mulutnya seperti mulut singa. Naga itu memberi binatang itu kekuatannya sendiri, takhtanya, dan kekuasaannya yang besar. 3 Salah satu kepala binatang itu mempunyai parut daripada luka yang parah sekali, tetapi luka itu sudah sembuh. Semua penduduk dunia kehairanan dan mengikut binatang itu. 4 Semua orang menyembah naga itu kerana naga itu sudah memberikan kekuasaannya kepada binatang itu. Mereka juga menyembah binatang itu sambil berkata, "Siapakah seperti binatang ini? Siapakah dapat melawannya?'' 5 Binatang itu dibenarkan mengkufuri Allah dan dibenarkan memerintah selama empat puluh dua bulan. 6 Binatang itu mula mengkufuri Allah, nama Allah, tempat kediaman Allah, dan semua yang tinggal di syurga. 7 Binatang itu dibenarkan melawan umat Allah serta mengalahkan mereka. Binatang itu diberikan kekuasaan atas setiap suku, negara, bahasa, dan bangsa. 8 Semua orang yang hidup di bumi akan menyembah binatang itu, kecuali orang yang nama mereka terdaftar di dalam Kitab Orang Hidup. Nama-nama itu ditulis sebelum dunia ini diciptakan, dan kitab itu dimiliki oleh Anak Domba yang sudah disembelih. 9 "Oleh itu, jika kamu bertelinga, dengarlah! 10 Sesiapa yang harus ditawan, pasti akan ditawan; sesiapa yang harus dibunuh dengan pedang, pasti akan dibunuh dengan pedang. Itulah sebabnya umat Allah mesti tabah hati dan setia kepada Kristus.'' 11 Lalu aku nampak seekor binatang lain keluar dari dalam bumi. Binatang itu mempunyai dua tanduk seperti tanduk anak domba, dan suaranya seperti suara naga. 12 Binatang ini menggunakan kekuasaan besar binatang pertama itu di depan matanya. Semua penduduk dunia dipaksa untuk menyembah binatang pertama, yang luka parahnya sudah sembuh. 13 Binatang kedua ini melakukan mukjizat-mukjizat yang hebat. Di hadapan semua orang, api diturunkannya dari langit ke bumi. 14 Binatang kedua ini diizinkan oleh Allah untuk melakukan mukjizat-mukjizat di hadapan binatang pertama. Dengan mukjizat-mukjizat itu, binatang kedua ini menipu semua orang yang hidup di bumi dan menyuruh mereka membuat sebuah patung untuk menghormati binatang pertama yang sudah dilukai oleh pedang, tetapi tetap hidup. 15 Binatang kedua ini dibolehkan memberikan nyawa kepada patung itu, sehingga patung itu dapat berkata-kata dan membunuh semua orang yang tidak mahu menyembahnya. 16 Binatang kedua ini memaksa semua orang: orang biasa dan orang besar, orang kaya dan orang miskin, abdi dan orang bebas, supaya menerima tanda pada tangan kanan atau dahi mereka. 17 Tidak seorang pun dapat membeli ataupun menjual sesuatu, kecuali dia mempunyai tanda itu, iaitu nama binatang itu sendiri atau nombor yang melambangkan nama itu. 18 Hal ini memerlukan kebijaksanaan. Sesiapa yang bijak dapat memahami erti nombor binatang itu, kerana nombor itu melambangkan nama seorang manusia. Nombor itu 666.

Wahyu 14

1 Kemudian aku melihat dan nampak Anak Domba berdiri di atas Bukit Sion. Bersama-sama-Nya berdiri 144,000 orang yang pada dahi mereka tertulis nama-Nya dan nama Bapa-Nya. 2 Lalu aku mendengar suara dari langit, seperti deruman air terjun dan seperti gemuruh guruh. Bunyi itu seperti muzik daripada para pemain kecapi yang memainkan kecapi. 3 Di hadapan takhta, empat makhluk hidup itu, dan pemimpin-pemimpin itu, berdirilah 144,000 orang itu. Mereka menyanyikan satu nyanyian baru, yang tidak dapat dinyanyikan orang lain. Mereka sahajalah yang telah diselamatkan oleh Allah. 4 Mereka tidak bersetubuh dengan wanita. Oleh itu mereka murni seperti anak dara. Mereka mengikuti Anak Domba ke mana sahaja Dia pergi. Antara umat manusia, merekalah yang telah diselamatkan oleh Allah. Mereka milik Allah dan Anak Domba itu, kerana mereka seperti bahagian pertama daripada tuaian, yang dipersembahkan kepada Allah. 5 Mereka tidak pernah berbohong; mereka tidak bercela. 6 Kemudian aku nampak satu lagi malaikat terbang tinggi di angkasa. Dia membawa berita baik yang kekal untuk diisytiharkan kepada manusia di bumi, iaitu kepada semua bangsa, suku, bahasa, dan negara. 7 Malaikat itu berseru, "Hormatilah Allah dan pujilah kebesaran-Nya! Tibalah masanya Allah menghakimi manusia. Sembahlah Dia yang menjadikan langit, bumi, laut, dan semua mata air!'' 8 Setelah malaikat pertama pergi, datanglah malaikat kedua yang berkata, "Kota Babel sudah jatuh! Kota besar itu sudah jatuh! Perbuatan cabul kota Babel merosakkan semua bangsa, seperti wain yang memabukkan mereka.'' 9 Setelah kedua-dua malaikat itu pergi, datanglah malaikat ketiga yang berseru, "Sesiapa yang menyembah binatang itu dan patungnya, serta menerima tanda binatang itu pada dahi atau tangan, 10 akan minum wain yang melambangkan kemurkaan Allah. Wain yang pekat itu dituang ke dalam cawan kemurkaan-Nya! Semua orang itu akan diseksa di dalam api dan belerang di hadapan malaikat-malaikat suci dan Anak Domba. 11 Asap api yang menyeksa mereka akan mengepul terus-menerus untuk selama-lamanya. Mereka yang menyembah binatang itu dan patungnya, serta mereka yang mempunyai tanda nama binatang itu, akan terus-menerus terseksa siang dan malam.'' 12 Itulah sebabnya umat Allah yang taat kepada perintah-Nya dan setia kepada Yesus mesti tabah hati. 13 Kemudian aku mendengar suara dari syurga berkata, "Tuliskanlah hal ini: Mulai sekarang, berbahagialah orang yang mati semasa mengabdi kepada Tuhan dengan setia!'' "Benar!'' jawab Roh Allah. "Mereka tidak berjerih payah lagi, kerana perbuatan baik mereka akan menyertai mereka.'' 14 Kemudian aku memandang dan nampak awan putih. Di atas awan itu duduklah sesusuk tubuh yang kelihatannya seperti manusia. Kepala-Nya bermahkota emas dan tangan-Nya memegang sebilah sabit yang tajam. 15 Kemudian satu lagi malaikat keluar dari Rumah Allah. Dia berseru dengan suara kuat kepada Dia yang duduk di atas awan itu, "Gunakan sabit-Mu dan mulakan kerja menuai, kerana musim menuai sudah tiba! Tuaian di bumi sudah masak dan sudah tiba masanya untuk dituai!'' 16 Lalu Dia yang duduk di atas awan itu mengayunkan sabit-Nya ke bumi, dan tuaian di bumi dikumpulkan. 17 Kemudian aku nampak satu lagi malaikat keluar dari Rumah Allah di syurga. Dia juga memegang sebilah sabit yang tajam. 18 Setelah itu, satu lagi malaikat yang berkuasa atas api, keluar dari mazbah. Dia berseru dengan suara kuat kepada malaikat yang memegang sebilah sabit tajam itu, "Gunakanlah sabitmu dan sabit buah anggur di ladang anggur di atas bumi, kerana buah anggur sudah masak!'' 19 Oleh itu malaikat itu mengayunkan sabitnya ke bumi dan menyabit buah anggur dari batangnya, lalu melempar buah anggur ke dalam alat pemeras anggur, iaitu kemurkaan Allah. 20 Buah anggur diperas di luar kota, dan dari alat pemeras anggur itu mengalirlah darah seperti air bah, sejauh tiga ratus kilometer dan sedalam kira-kira dua meter.

Wahyu 15

1 Kemudian aku nampak di langit sesuatu yang ajaib, luar biasa, dan menghairankan. Ada tujuh malaikat yang bertugas mendatangkan tujuh bencana terakhir ke atas bumi. Dengan ketujuh-tujuh bencana itu hukuman Allah akan berakhir. 2 Kemudian aku nampak sesuatu yang kelihatannya seperti lautan kaca bercampur api. Aku juga melihat semua orang yang telah mengalahkan binatang itu dan patungnya, serta mengalahkan orang yang namanya dilambangkan oleh nombor. Semua orang itu berdiri di tepi lautan kaca sambil memegang kecapi yang diberikan oleh Allah. 3 Mereka menyanyikan nyanyian Musa, hamba Allah, dan nyanyian Anak Domba, "Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa, perbuatan-Mu sungguh agung dan menakjubkan! Raja semua bangsa, alangkah adil dan benar tindakan-Mu! 4 Siapakah yang tidak takut kepada-Mu, ya Tuhan? Siapakah yang tidak mahu mengisytiharkan keagungan-Mu? Hanya Engkau yang suci. Semua bangsa akan datang menyembah Engkau, kerana tindakan-Mu yang adil dilihat oleh semua orang.'' 5 Setelah itu aku melihat Rumah Tuhan di syurga terbuka dan Khemah Tuhan ada di dalamnya. 6 Tujuh malaikat yang bertugas mendatangkan tujuh bencana ke atas bumi, keluar dari Rumah Tuhan. Mereka mengenakan pakaian daripada kain linen yang bersih dan berkilauan. Dada mereka dililiti pengikat daripada emas. 7 Kemudian salah satu daripada empat makhluk itu memberi tujuh malaikat itu tujuh buah mangkuk emas yang penuh dengan kemurkaan Allah, iaitu Allah yang hidup selama-lamanya. 8 Rumah Allah dipenuhi oleh asap daripada kemuliaan dan kekuasaan Allah. Tidak seorang pun dapat masuk ke dalam Rumah Allah sehingga tujuh bencana yang didatangkan oleh tujuh malaikat itu berakhir.

Wahyu 16

1 Kemudian aku mendengar suara lantang dari Rumah Allah berkata kepada tujuh malaikat itu, "Pergilah dan tuanglah isi tujuh mangkuk kemurkaan Allah itu ke atas bumi!'' 2 Malaikat pertama pergi dan menuang isi mangkuknya ke atas bumi. Lalu timbullah kudis yang teruk dan menyakitkan pada semua orang yang mempunyai tanda binatang itu, serta pada orang yang menyembah patungnya. 3 Kemudian malaikat kedua menuang isi mangkuknya ke laut. Lalu air laut berubah menjadi seperti darah orang mati dan matilah semua makhluk yang hidup di dalam laut. 4 Kemudian malaikat ketiga menuang isi mangkuknya ke dalam sungai dan mata air, lalu air berubah menjadi darah. 5 Aku mendengar malaikat yang berkuasa atas air berkata, "Hukuman yang Engkau jatuhkan itu adil, ya Yang Maha Suci, Allah yang ada dan yang sudah ada! 6 Mereka telah menumpahkan darah umat Allah dan darah para nabi. Sekarang Engkau memberi mereka minum darah. Hukuman itu setimpal dengan perbuatan mereka!'' 7 Kemudian aku mendengar suara dari mazbah berkata, "Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa! Hukuman-Mu itu benar dan adil!'' 8 Kemudian malaikat keempat menuang isi mangkuknya ke atas matahari, lalu matahari dibenarkan menghanguskan manusia dengan panasnya yang terik. 9 Manusia dihanguskan oleh panas yang terik itu dan mereka mengutuki Allah, yang berkuasa atas semua malapetaka tersebut. Tetapi mereka tidak mahu bertaubat daripada dosa dan tidak mahu memuji keagungan Allah. 10 Kemudian malaikat kelima menuang isi mangkuknya ke takhta binatang itu. Lalu seluruh kerajaan binatang itu menjadi gelap dan manusia menggigit lidah kerana kesakitan. 11 Mereka mengutuki Allah di syurga kerana kesakitan dan kudis mereka. Tetapi mereka tidak bertaubat daripada perbuatan jahat mereka. 12 Kemudian malaikat keenam menuang isi mangkuknya ke dalam Sungai Efrat yang besar. Sungai itu menjadi kering sehingga raja-raja dari timur dapat melaluinya. 13 Kemudian aku melihat tiga roh jahat yang kelihatan seperti katak. Roh-roh itu keluar dari mulut naga, dari mulut binatang itu, dan dari mulut nabi palsu. 14 Roh-roh itu roh jahat yang melakukan mukjizat-mukjizat. Ketiga-tiga roh itu pergi kepada semua raja di seluruh dunia, dan mengumpulkan mereka untuk berperang pada hari Allah Yang Maha Kuasa menjatuhkan hukuman. 15 "Dengarlah! Aku datang seperti pencuri! Berbahagialah orang yang berjaga-jaga dan siap berpakaian, sehingga mereka tidak berjalan dalam keadaan telanjang dan dipermalukan di hadapan umum!'' 16 Kemudian roh-roh itu mengumpulkan semua raja itu di suatu tempat yang dalam bahasa Ibrani dinamakan Harmagedon. 17 Kemudian malaikat ketujuh menuang isi mangkuknya ke udara. Lalu terdengarlah dari takhta di Rumah Allah, suara kuat berkata, "Sudah selesai!'' 18 Kemudian kilat sabung-menyabung, guruh berderam-derum dan gempa bumi yang dahsyat berlaku. Belum pernah gempa bumi semacam itu berlaku sejak manusia dijadikan. Inilah gempa bumi yang paling dahsyat! 19 Kota besar itu terbelah menjadi tiga bahagian, dan kota-kota semua negeri di bumi juga musnah. Allah tidak lupa akan Babel yang besar itu. Dia memaksa Babel minum dari mangkuk-Nya yang berisi wain kemurkaan Allah yang menyala-nyala. 20 Semua pulau lenyap, dan semua gunung pun tiada lagi. 21 Hujan batu yang dahsyat turun dari langit dan menimpa manusia. Berat setiap batu hampir lima puluh kilogram. Oleh itu manusia mengutuki Allah kerana malapetaka hujan batu yang dahsyat itu.

Wahyu 17

1 Kemudian salah satu daripada tujuh malaikat yang memegang tujuh buah mangkuk itu datang kepadaku dan berkata, "Marilah, kepadamu akan aku tunjukkan bagaimana pelacur yang termasyhur itu dihukum. Pelacur itu kota besar yang dibina dekat sungai-sungai. 2 Raja-raja dunia melakukan perbuatan cabul dengan pelacur itu, dan penduduk dunia menjadi seperti orang mabuk ketika pelacur itu melakukan perbuatan cabul dengan mereka.'' 3 Lalu Roh Allah menguasai aku dan malaikat itu membawa aku ke padang gurun. Di situ aku melihat seorang wanita duduk di atas seekor binatang berwarna merah, yang seluruh badannya ditulisi dengan nama-nama yang mengkufuri Allah. Binatang itu mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk. 4 Wanita itu berpakaian ungu dan merah tua, serta memakai perhiasan emas, permata, dan mutiara. Tangannya memegang sebuah cawan emas yang penuh dengan perkara-perkara cabul dan keji, hasil daripada perbuatannya yang cabul. 5 Pada dahinya tertulis suatu nama yang mempunyai makna rahsia. Nama itu "Babel yang besar, ibu kepada semua pelacur dan orang yang melakukan perbuatan cabul di dunia ini.'' 6 Lalu aku nampak wanita itu mabuk kerana minum darah umat Allah dan darah orang yang dibunuh kerana setia kepada Yesus. Aku sangat hairan ketika nampak wanita itu. 7 Tetapi malaikat itu berkata kepadaku, "Mengapakah engkau hairan? Aku akan memberitahu engkau rahsia tentang wanita itu dan binatang yang ditungganginya, iaitu binatang yang mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk. 8 Binatang itu dahulu pernah hidup, tetapi sekarang tidak hidup lagi. Tidak lama lagi binatang itu akan keluar dari jurang maut dan akan menuju kepada kebinasaan. Penduduk bumi yang nama mereka tidak terdaftar di dalam Kitab Orang Hidup sebelum dunia diciptakan, akan hairan apabila mereka melihat binatang itu. Binatang itu dahulu pernah hidup; sekarang binatang itu tidak hidup lagi, tetapi akan muncul semula. 9 Hal ini memerlukan kebijaksanaan dan pengertian. Tujuh kepala itu melambangkan tujuh buah bukit, tempat wanita itu duduk. Tujuh kepala itu juga melambangkan tujuh orang raja. 10 Lima orang antara mereka sudah meninggal, yang seorang masih memerintah, dan yang seorang lagi belum datang. Apabila dia datang, dia akan memerintah sebentar sahaja. 11 Binatang yang dahulu pernah hidup, tetapi sekarang tidak hidup lagi, melambangkan raja kelapan. Dia salah satu daripada tujuh orang raja itu juga dan sedang menuju kepada kebinasaan. 12 Sepuluh tanduk yang engkau lihat itu melambangkan sepuluh orang raja yang belum mula memerintah. Tetapi mereka akan diberikan kuasa untuk memerintah sebagai raja bersama-sama binatang itu selama sejam. 13 Sepuluh orang raja itu semuanya mempunyai tujuan yang sama dan mereka menyerahkan kekuatan dan kekuasaan mereka kepada binatang itu. 14 Mereka akan berperang melawan Anak Domba. Tetapi Anak Domba itu dengan para pengikut-Nya yang setia, yang telah dipanggil dan dipilih oleh-Nya akan mengalahkan mereka. Dialah Tuhan Yang Agung dan Raja Yang Terutama.'' 15 Malaikat itu berkata pula kepadaku, "Sungai-sungai yang engkau lihat itu, tempat pelacur itu duduk, melambangkan pelbagai negara, rakyat, bangsa, dan bahasa. 16 Sepuluh tanduk yang engkau lihat itu, dan binatang itu akan membenci pelacur itu. Mereka akan merampas segala sesuatu yang dimiliki pelacur itu dan mereka akan menelanjangi dia. Mereka akan makan dagingnya dan membinasakan dia dengan api. 17 Hal itu demikian kerana Allah telah menggerakkan hati mereka untuk melaksanakan rancangan-Nya. Allah menyebabkan mereka bersetuju untuk menyerahkan kekuasaan mereka kepada binatang itu, supaya binatang itu memerintah sehingga apa yang difirmankan oleh Allah berlaku. 18 Wanita yang engkau lihat itu kota besar yang rajanya memerintah raja-raja di bumi.''

Wahyu 18

1 Setelah itu aku melihat satu lagi malaikat turun dari syurga. Dia mempunyai kuasa besar, dan cahaya yang mengelilinginya menerangi seluruh bumi. 2 Dia berseru dengan suara lantang, "Babel sudah jatuh! Babel yang agung sudah jatuh! Sekarang syaitan-syaitan dan roh-roh jahat tinggal di Babel. Segala macam burung yang najis dan dibenci orang tinggal di situ. 3 Semua bangsa sudah minum wainnya, iaitu perbuatannya yang cabul. Raja-raja dunia melakukan perbuatan cabul dengannya, dan saudagar-saudagar di bumi menjadi kaya oleh nafsunya yang tidak terkendali itu.'' 4 Kemudian aku mendengar suara lain dari syurga berkata, "Keluarlah, hai umat-Ku! Keluarlah dari Babel! Janganlah berbuat dosa seperti penduduk kota itu; janganlah ikut menanggung hukumannya, 5 kerana dosanya bertimbun-timbun sampai ke langit, dan Allah tidak lupa akan kejahatannya. 6 Perlakukanlah Babel sebagaimana Babel telah memperlakukan kamu; balaslah Babel dua kali ganda bagi semua perbuatannya. Isilah cawannya dengan minuman yang dua kali lebih keras daripada minuman yang disediakannya untuk kamu. 7 Berilah Babel penderitaan dan kesedihan sebanyak kemuliaan dan kemewahan yang diberikannya kepada dirinya sendiri, kerana Babel sentiasa berkata kepada dirinya sendiri, `Aku ratu yang memerintah! Aku bukan balu, aku tidak akan mengalami kesedihan!' 8 Itulah sebabnya dalam sehari semua malapetaka ini akan menimpanya: penyakit, kesedihan, dan kebuluran. Babel akan dihanguskan oleh api, kerana Tuhan Allah yang menghakiminya itu berkuasa.'' 9 Raja-raja dunia yang ikut melakukan perbuatan cabul dan lucah dengannya, akan menangisi dan meratapi kota itu apabila mereka melihat asap api yang menghanguskannya. 10 Mereka berdiri dari jauh, kerana mereka takut terkena penderitaannya. Mereka berkata, "Alangkah malangnya kota Babel yang agung dan perkasa itu! Dalam satu jam sahaja Babel telah dihukum!'' 11 Para saudagar di bumi menangis dan berkabung kerananya, oleh sebab tidak seorang pun membeli barang dagangan mereka lagi. 12 Tidak seorang pun membeli emas, perak, permata, ataupun mutiara mereka; tidak seorang pun membeli kain linen, kain ungu, kain sutera, dan kain merah tua; tidak seorang pun membeli segala macam kayu yang jarang didapati, pelbagai benda yang dibuat daripada gading, kayu yang mahal, gangsa, besi, dan marmar; 13 tidak seorang pun membeli kayu manis, rempah-rempah, setanggi, mur, dan kemenyan; tidak seorang pun membeli wain dan minyak, tepung dan gandum, lembu dan domba, kuda dan pedati, abdi dan tawanan perang sekalipun. 14 Para saudagar berkata kepadanya, "Segala yang ingin engkau miliki sudah lenyap, dan semua kekayaan serta keindahanmu sudah hilang. Engkau tidak akan mendapati semua itu lagi!'' 15 Para saudagar yang menjadi kaya kerana berniaga di kota itu akan berdiri dari jauh, kerana mereka takut terkena penderitaannya. Mereka akan menangis dan berkabung, 16 serta berkata, "Alangkah malangnya kota yang agung itu! Biasanya Babel berpakaian kain linen, kain ungu, dan kain merah tua; biasanya Babel memakai perhiasan emas, permata, dan mutiara! 17 Tetapi dalam satu jam sahaja, Babel telah kehilangan segala kekayaannya!'' Semua nakhoda, penumpang, dan anak kapal, serta semua orang yang mempunyai mata pencarian di laut, berdiri dari jauh. 18 Mereka berteriak apabila melihat asap api yang membakar kota itu. Mereka berseru, "Belum pernah ada kota seperti kota yang agung ini!'' 19 Mereka menghamburkan abu ke atas kepala sebagai tanda berkabung. Lalu mereka menangis dan berseru, "Alangkah malangnya kota yang agung itu! Di situlah semua orang yang mempunyai kapal-kapal di laut menjadi kaya kerana kekayaan kota itu! Tetapi dalam satu jam sahaja, Babel telah kehilangan segala-galanya!'' 20 Bersukacitalah, hai syurga, kerana kemusnahan kota itu! Bersukacitalah, hai umat Allah, rasul-rasul, dan nabi-nabi, kerana Allah telah menghukum Babel bagi apa yang sudah dilakukannya terhadap kamu! 21 Kemudian satu malaikat perkasa mengangkat sebuah batu sebesar batu kisaran yang besar, lalu membuangnya ke dalam laut seraya berkata, "Demikianlah kota Babel yang agung itu akan dihempaskan dengan kuat, dan tidak akan dijumpai lagi. 22 Suara penyanyi dan bunyi muzik daripada pemain kecapi, pemain seruling dan trompet tidak akan terdengar lagi di kota Babel! Semua tukangmu yang mahir tidak dapat dijumpai lagi dan bunyi batu kisaran pun tidak akan terdengar lagi! 23 Cahaya pelita tidak akan terlihat lagi di Babel dan keriuhan pesta perkahwinan tidak akan terdengar lagi. Saudagar-saudagarmu ialah orang yang terkemuka di seluruh dunia, dan dengan ilmu sihir engkau menipu semua orang di dunia!'' 24 Babel dihukum kerana darah nabi-nabi dan darah umat Allah didapati di dalam kota itu -- singkatnya darah semua orang yang sudah dibunuh di atas bumi.

Wahyu 19

1 Setelah itu aku mendengar sesuatu seperti suara sekumpulan orang ramai di syurga yang berseru, "Pujilah Allah! Allah kita Allah yang menyelamatkan! Dia Allah yang mulia dan berkuasa! 2 Penghakiman-Nya benar dan adil! Dia telah menjatuhkan hukuman kepada pelacur termasyhur itu, yang menyesatkan dunia dengan perbuatan cabulnya. Allah sudah menghukum dia kerana dia membunuh hamba-hamba Allah.'' 3 Sekali lagi mereka berseru, "Pujilah Allah! Asap api yang menghanguskan kota agung itu mengepul terus-menerus untuk selama-lamanya!'' 4 Dua puluh empat orang pemimpin dan empat makhluk itu bersujud dan menyembah Allah yang duduk di atas takhta. Mereka berkata, "Amin! Pujilah Allah!'' 5 Lalu terdengar dari takhta itu suara yang berkata, "Pujilah Allah, hai semua hamba-Nya dan semua orang yang takut akan Dia -- baik orang besar mahupun orang biasa!'' 6 Kemudian aku mendengar sesuatu seperti suara sekumpulan orang ramai, seperti deruman air terjun, dan seperti gemuruh guruh. Aku mendengar mereka berkata, "Pujilah Allah, kerana Tuhan, Allah kita Yang Maha Kuasa itu Raja! 7 Marilah kita bersukacita dan bergembira! Marilah kita memuji keagungan-Nya, kerana masa perkahwinan Anak Domba sudah tiba dan pengantin perempuan-Nya sudah siap untuk perkahwinan itu. 8 Pengantin perempuan itu telah diberikan pakaian linen yang bersih dan berkilauan untuk dikenakan.'' (Pakaian linen itu perbuatan baik yang dilakukan oleh umat Allah.) 9 Kemudian malaikat itu berkata kepadaku, "Tuliskan ini: Berbahagialah orang yang telah dijemput ke majlis perkahwinan Anak Domba itu.'' Malaikat itu berkata lagi, "Inilah firman yang benar daripada Allah.'' 10 Aku bersujud hendak menyembah dia, tetapi dia berkata kepadaku, "Jangan! Jangan sembah aku, sembahlah Allah! Aku pun hamba seperti engkau dan semua saudaramu, dan seperti semua orang yang berpegang teguh pada ajaran benar yang dinyatakan oleh Yesus.'' Ajaran benar yang dinyatakan Yesus itulah yang mengilhami nabi-nabi. 11 Kemudian aku nampak syurga terbuka dan aku melihat seekor kuda putih. Penunggangnya bernama Yang Setia dan Yang Benar. Dia menghakimi dengan adil dan berperang untuk keadilan. 12 Mata-Nya menyala seperti api dan Dia memakai banyak mahkota pada kepala-Nya. Pada diri-Nya tertulis satu nama yang hanya diketahui oleh-Nya. 13 Jubah yang dipakai-Nya berlumuran darah. Nama-Nya "Firman Allah.'' 14 Tentera syurga mengikuti Dia dengan menunggang kuda putih dan mengenakan pakaian linen putih yang bersih. 15 Dari mulut-Nya keluar sebilah pedang yang tajam, dan dengan pedang itu Dia akan mengalahkan bangsa-bangsa. Dia akan memerintah mereka dengan tangan besi. Dia akan memeras anggur di dalam alat pemeras anggur, iaitu kemurkaan yang menyala-nyala daripada Allah Yang Maha Kuasa. 16 Pada jubah-Nya dan paha-Nya tertulis nama ini: "Raja Yang Terutama dan Tuhan Yang Agung.'' 17 Kemudian aku nampak satu malaikat berdiri di atas matahari. Dengan suara kuat dia berseru kepada semua burung yang terbang di angkasa, "Marilah berkumpul untuk menghadiri jamuan besar yang disediakan oleh Allah. 18 Marilah makan daging raja, daging panglima dan askar, daging kuda dan penunggang kuda, daging semua orang, baik abdi mahupun orang bebas, orang besar mahupun orang biasa!'' 19 Kemudian aku nampak binatang itu dan raja-raja di bumi dengan tentera mereka berkumpul untuk melawan Dia yang menunggang kuda putih dengan tentera-Nya. 20 Tetapi binatang itu ditawan bersama-sama nabi palsu yang telah melakukan mukjizat di hadapannya. (Dengan mukjizat itulah binatang itu menipu orang yang mempunyai tanda binatang itu, dan orang yang menyembah patung binatang itu.) Binatang itu dan nabi palsu itu dibuang hidup-hidup ke dalam lautan api yang bernyala-nyala dengan belerang. 21 Tentera mereka dibunuh dengan pedang yang keluar dari mulut penunggang kuda putih itu. Lalu semua burung datang dan memakan daging mereka dengan lahap.

Wahyu 20

1 Kemudian aku nampak satu malaikat turun dari syurga. Dia memegang kunci jurang maut dan seutas rantai besar. 2 Dia menangkap naga itu, ular tua itu iaitu Iblis atau Syaitan, dan merantainya selama seribu tahun. 3 Malaikat itu membuang naga itu ke dalam jurang maut, lalu mengunci jurang itu dan memeteraikannya, supaya naga itu tidak dapat menipu bangsa-bangsa lagi, sehingga masa seribu tahun itu berlalu. Selepas itu naga itu mesti dilepaskan untuk masa yang singkat. 4 Kemudian aku nampak takhta-takhta dan orang yang duduk di atas takhta-takhta itu diberikan kuasa untuk menghakimi. Aku juga melihat roh-roh orang yang sudah dipancung kerana memberitakan ajaran benar yang dinyatakan oleh Yesus, dan kerana menyampaikan firman Allah. Mereka tidak menyembah binatang itu ataupun patungnya. Mereka tidak menerima tanda binatang itu pada dahi ataupun pada tangan. Mereka hidup semula dan memerintah sebagai raja bersama-sama Kristus selama seribu tahun. 5 (Tetapi orang mati lainnya tidak hidup semula sehingga masa seribu tahun itu berlalu.) Inilah tahap pertama orang mati dibangkitkan. 6 Berbahagialah mereka yang dibangkitkan pada tahap pertama itu; mereka milik Allah. Kematian tahap kedua tidak berkuasa atas mereka. Mereka akan menjadi imam Allah dan imam Kristus. Mereka akan memerintah bersama-sama Dia selama seribu tahun. 7 Selepas masa seribu tahun itu berlalu, Iblis akan dilepaskan dari penjara, 8 dan dia akan pergi menipu bangsa-bangsa yang tersebar di seluruh dunia, iaitu Gog dan Magog. Iblis akan mengumpulkan mereka semua untuk berperang, dan mereka sebanyak pasir di pantai. 9 Mereka berpecah-pecah ke seluruh dunia, lalu mengepung perkhemahan umat Allah dan kota yang dikasihi-Nya. Tetapi api turun dari langit dan memusnahkan bangsa-bangsa itu. 10 Kemudian Iblis yang telah menipu mereka itu dibuang ke dalam lautan api dan belerang. Di situlah tempat binatang itu dan nabi palsu itu telah dibuang dahulu. Mereka semua akan diseksa siang dan malam untuk selama-lamanya. 11 Kemudian aku nampak sebuah takhta besar berwarna putih dan Dia yang duduk di atasnya. Langit dan bumi lari dari hadirat-Nya, sehingga tidak kelihatan lagi. 12 Aku nampak orang yang sudah mati, baik orang besar mahupun orang biasa, semuanya berdiri di hadapan takhta itu. Lalu kitab-kitab pun dibuka dan sebuah kitab lain juga dibuka iaitu Kitab Orang Hidup. Orang yang sudah mati dihakimi menurut perbuatan mereka seperti yang tertulis di dalam kitab-kitab itu. 13 Lalu laut menyerahkan orang mati yang ada di dalamnya. Maut dan alam maut pun menyerahkan orang mati yang di situ. Semua orang mati diadili menurut perbuatan masing-masing. 14 Kemudian maut dan alam maut dibuang ke dalam lautan api. (Lautan api ini kematian tahap kedua.) 15 Sesiapa yang namanya tidak tertulis di dalam Kitab Orang Hidup dibuang ke dalam lautan api.

Wahyu 21

1 Kemudian aku nampak langit baru dan bumi baru. Langit pertama dan bumi pertama tidak ada lagi, dan laut pun lenyap. 2 Aku nampak kota suci itu, Yerusalem baru turun dari syurga daripada Allah. Kota itu sudah disiapkan seperti pengantin perempuan yang telah berhias untuk menemui suaminya. 3 Aku mendengar suara lantang berseru dari takhta itu, "Sekarang Allah tinggal bersama-sama manusia! Dia akan hidup bersama-sama mereka dan mereka akan menjadi umat-Nya. Allah sendiri akan tinggal bersama-sama mereka dan menjadi Allah mereka. 4 Dia akan menyapu air mata mereka. Kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan. Perkara-perkara lama sudah lenyap.'' 5 Kemudian Dia yang duduk di atas takhta itu berkata, "Sekarang Aku menjadikan semuanya baru!'' Dia juga berkata kepadaku, "Tuliskanlah ini, kerana kata-kata ini benar dan dapat dipercayai.'' 6 Dia berkata, "Sudah selesai! Akulah yang pertama dan yang terakhir, Akulah Tuhan dari permulaan sampai penghabisan. Orang yang dahaga akan Aku berikan air minum dengan percuma dari sumber air yang memberikan hidup. 7 Sesiapa yang menang akan menerima hak ini daripada-Ku: Aku akan menjadi Allahnya, dan dia akan menjadi anak-Ku. 8 Tetapi pengecut, pengkhianat, orang yang melakukan perbuatan cabul, pembunuh, orang yang lucah, orang yang mengamalkan ilmu ghaib, penyembah berhala, dan semua pendusta, akan dibuang ke dalam lautan api dan belerang yang bernyala-nyala, iaitu kematian tahap kedua.'' 9 Satu daripada tujuh malaikat yang mempunyai tujuh buah mangkuk yang penuh dengan tujuh bencana terakhir itu datang kepadaku dan berkata, "Marilah, aku akan menunjukkan Pengantin Perempuan kepadamu, iaitu isteri Anak Domba.'' 10 Roh Allah menguasai aku, dan malaikat itu membawa aku ke puncak gunung yang sangat tinggi. Dia menunjukkan Yerusalem kepadaku, kota suci itu yang turun dari syurga daripada Allah, 11 dengan semarak kemuliaan Allah. Kota itu berkilauan seperti batu permata, seperti batu jasper yang hening seperti kristal. 12 Kota itu bertembok tinggi besar, dengan dua belas buah pintu gerbang, dan dijaga oleh dua belas malaikat. Pada pintu-pintu gerbang itu tertulis nama dua belas suku Israel. 13 Pada setiap sisi terdapat tiga buah pintu gerbang: tiga di sebelah timur, tiga di sebelah selatan, tiga di sebelah utara, dan tiga di sebelah barat. 14 Tembok kota itu dibina di atas dua belas buah batu asas. Pada setiap batu asas tertulis nama dua belas orang rasul Anak Domba itu. 15 Malaikat yang berkata-kata kepadaku mempunyai sebatang pengukur daripada emas, untuk mengukur kota itu, pintu-pintu gerbangnya, dan temboknya. 16 Kota itu berbentuk empat persegi, panjang dan lebarnya sama. Malaikat itu mengukur kota itu dengan tongkat pengukurnya: panjangnya 2,400 kilometer; lebar dan tingginya sama dengan panjangnya. 17 Malaikat itu juga mengukur tembok kota: tingginya enam puluh meter menurut ukuran yang biasa diguna oleh manusia. 18 Tembok kota itu dibuat daripada batu jasper, sedangkan kota itu sendiri dibuat daripada emas tulen, hening seperti kaca. 19 Batu-batu asas tembok kota itu dihiasi berbagai-bagai batu permata. Batu asas yang pertama batu jasper, yang kedua batu nilam, yang ketiga batu akik, yang keempat batu zamrud, 20 yang kelima batu oniks, yang keenam batu sardis, yang ketujuh batu kuarza kuning, yang kelapan batu beril, yang kesembilan batu topaz, yang kesepuluh batu kalsedoni, yang kesebelas batu firus, dan yang kedua belas batu kecubung. 21 Dua belas buah pintu gerbang itu dua belas mutiara: tiap-tiap pintu gerbang dibuat daripada satu mutiara. Jalan raya kota itu dibuat daripada emas tulen, hening seperti kaca. 22 Aku tidak nampak rumah ibadat di kota itu, kerana rumah ibadat itu Tuhan Allah Yang Maha Kuasa dan Anak Domba. 23 Kota itu tidak memerlukan matahari ataupun bulan untuk menyinarinya, kerana kemuliaan Allah meneranginya, dan Anak Domba itu lampunya. 24 Bangsa-bangsa di dunia akan hidup dalam cahayanya, dan raja-raja dunia pun akan membawa kekayaan mereka ke dalam kota itu. 25 Pintu gerbang kota itu akan terbuka sepanjang hari; pintu gerbang kota tidak akan ditutup kerana tidak ada malam di situ. 26 Kebesaran dan kekayaan bangsa-bangsa akan dibawa ke dalam kota itu. 27 Tetapi segala sesuatu yang najis tidak akan masuk ke kota itu, demikian juga orang yang melakukan perkara-perkara memalukan, dan orang yang berdusta. Hanya orang yang nama mereka tertulis di dalam Kitab Orang Hidup, yang dimiliki oleh Anak Domba akan masuk ke kota itu.

Wahyu 22

1 Malaikat itu juga menunjukkan sungai kepadaku; air sungai itu memberikan hidup. Sungai itu berkilauan seperti kristal dan mengalir dari takhta Allah dan Anak Domba 2 ke tengah-tengah jalan raya di kota itu. Pada kedua-dua tepi sungai itu terdapat sebatang pokok sumber kehidupan, yang berbuah dua belas kali setahun, iaitu sekali sebulan. Daunnya digunakan untuk menyembuhkan bangsa-bangsa. 3 Di dalam kota itu tidak terdapat sesuatu pun yang kena kutuk Allah. Takhta Allah dan Anak Domba akan ada di dalam kota itu dan hamba-hamba-Nya akan menyembah Dia. 4 Mereka akan melihat wajah-Nya, dan nama-Nya akan ditulis pada dahi mereka. 5 Malam tiada lagi; lampu dan cahaya matahari pun tidak diperlukan, kerana Tuhan Allah sendiri akan menerangi mereka. Mereka akan memerintah sebagai raja selama-lamanya. 6 Kemudian malaikat itu berkata kepadaku, "Kata-kata ini benar dan dapat dipercayai. Tuhan Allah yang memberikan Roh-Nya kepada nabi-nabi, telah mengutus malaikat-Nya kepada hamba-hamba-Nya untuk menunjukkan apa yang mesti segera berlaku.'' 7 "Dengarlah!'' kata Yesus. "Aku akan segera datang! Berbahagialah orang yang mentaati kata-kata nubuat di dalam kitab ini!'' 8 Aku, Yohanes sudah mendengar dan melihat segala perkara ini. Setelah aku mendengar dan melihatnya, aku bersujud di hadapan malaikat yang menunjukkan segala perkara itu kepadaku. Aku hendak menyembah dia, 9 tetapi dia berkata kepadaku, "Janganlah sembah aku, kerana aku pun hamba seperti engkau dan seperti saudara-saudaramu para nabi itu, dan seperti semua orang yang mentaati kata-kata di dalam kitab ini. Sembahlah Allah!'' 10 Dia berkata lagi, "Janganlah rahsiakan kata-kata nubuat di dalam kitab ini, kerana sudah hampir masanya apabila semua perkara ini akan berlaku. 11 Orang yang jahat akan terus berbuat jahat; orang yang mencemarkan diri akan terus mencemarkan diri; orang yang melakukan kehendak Allah mesti terus melakukannya, dan orang yang mengabdikan diri kepada Allah mesti terus mengabdikan diri.'' 12 "Dengarlah!'' kata Yesus. "Aku akan segera datang! Aku akan membawa ganjaran untuk tiap-tiap orang menurut perbuatannya. 13 Akulah yang pertama dan yang terakhir, yang awal dan yang penghujung; Akulah Tuhan dari permulaan sampai penghabisan.'' 14 Berbahagialah orang yang mencuci jubah mereka sehingga bersih. Mereka berhak makan buah pokok sumber kehidupan dan masuk ke dalam kota melalui pintu gerbang. 15 Tetapi orang yang melakukan perbuatan cabul, orang yang mengamalkan ilmu ghaib, orang yang lucah, pembunuh, orang yang menyembah berhala, dan orang yang berdusta baik dengan kata-kata mahupun dengan perbuatan, tidak dibenarkan masuk ke dalam kota. 16 "Aku, Yesus, telah mengutus malaikat-Ku supaya mengisytiharkan perkara-perkara ini kepada jemaah. Aku keturunan Daud; Aku bintang timur yang terang itu.'' 17 Roh Allah dan Pengantin Perempuan berkata, "Marilah!'' Tiap-tiap orang yang mendengarnya juga mesti berkata, "Marilah!'' Marilah, sesiapa yang dahaga! Terimalah pemberian air yang memberikan hidup, hai kamu yang menginginkannya! 18 Aku, Yohanes, dengan sungguh-sungguh memperingatkan setiap orang yang mendengar kata-kata nubuat kitab ini: Jika seseorang menambahkan apa sahaja pada nubuat ini, Allah juga akan menambahkan hukumannya dengan malapetaka yang digambarkan di dalam kitab ini. 19 Jika seseorang mengurangkan kata-kata nubuat di dalam kitab ini, Allah juga akan mengambil balik hak orang itu untuk makan buah pokok sumber kehidupan dan haknya untuk tinggal di kota suci itu, seperti yang digambarkan di dalam kitab ini. 20 Dia yang memberikan semua kesaksian ini berkata, "Betul, Aku akan segera datang!'' Amin! Datanglah, ya Tuhan Yesus! 21 Semoga Tuhan Yesus memberkati setiap orang.





AMAZING GRACE BIBLE INSTITUTE