Galatians

Galatia

Galatia 1

1 Aku, Paulus, menyampaikan salam kepada jemaah di negeri Galatia. Aku dilantik menjadi rasul oleh Yesus Kristus dan Allah Bapa kita yang telah membangkitkan Yesus daripada kematian. Aku menjadi rasul bukan dengan perantaraan manusia ataupun kerana dilantik oleh manusia. 2 Semua saudara Kristian di sini turut menyampaikan salam kepada jemaah di negeri Galatia. 3 Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. 4 Untuk menyelamatkan kita daripada zaman yang jahat ini, Kristus telah menyerahkan diri-Nya sebagai korban bagi dosa-dosa kita. Dia melakukannya untuk mentaati kehendak Allah Bapa kita. 5 Terpujilah Allah selama-lamanya! Amin. 6 Aku hairan terhadap tingkah laku kamu. Allah sudah memanggil kamu kerana rahmat Kristus. Tetapi dalam masa yang demikian singkat, kamu telah meninggalkan Dia lalu mengikut berita baik lain yang bukan daripada Allah. 7 Sebenarnya tidak ada berita baik lain. Tetapi aku berkata demikian kerana ada beberapa orang yang mengelirukan kamu dan cuba memutarbalikkan Berita Baik tentang Kristus. 8 Jika kami, ataupun malaikat dari syurga, mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kami khabarkan kepada kamu, biarlah orang itu dihukum oleh Allah! 9 Kami telah mengatakannya dahulu, dan sekarang aku mengatakannya sekali lagi: Orang yang mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kamu terima daripada kami, biarlah orang itu dihukum Allah! 10 Dengan berkata demikian, adakah aku mengharapkan sokongan manusia? Tentu tidak! Aku hanya menghendaki Allah mengatakan bahawa apa yang aku lakukan itu benar. Adakah aku berusaha untuk mengambil hati orang? Jika aku masih berbuat demikian, aku bukanlah hamba Kristus. 11 Saudara-saudaraku, kamu harus tahu bahawa Berita Baik yang aku khabarkan itu tidak berasal daripada manusia. 12 Aku tidak menerima Berita itu daripada manusia. Tiada seorang pun mengajarkannya kepadaku. Yesus Kristus sendirilah yang menyatakan Berita Baik itu kepadaku. 13 Tentu kamu telah mendengar tentang kehidupanku dahulu sebagai penganut agama Yahudi. Kamu mengetahui betapa kejamnya aku menganiaya jemaah Allah, dan dengan segala upaya aku berusaha untuk membinasakan mereka. 14 Aku lebih maju daripada kebanyakan orang Yahudi yang sebaya dengan aku dalam hal mengamalkan agama Yahudi. Aku sangat taat kepada adat istiadat nenek moyang kita. 15 Tetapi oleh sebab rahmat-Nya, Allah memilih aku sebelum aku dilahirkan dan memanggil aku untuk mengabdikan diri kepada-Nya. 16 Allah menunjukkan Anak-Nya kepadaku supaya aku dapat mengkhabarkan Berita Baik tentang Anak-Nya kepada orang bukan Yahudi. Pada masa itu aku tidak minta nasihat daripada sesiapa pun. 17 Aku tidak pergi ke Yerusalem untuk berjumpa dengan mereka yang telah menjadi rasul terlebih dahulu daripadaku. Sebaliknya aku segera pergi ke negeri Arab dan kemudian kembali ke Damsyik. 18 Hanya selepas tiga tahun barulah aku pergi ke Yerusalem untuk melawat Petrus dan tinggal dengan dia selama dua minggu. 19 Aku tidak berjumpa dengan rasul-rasul lain, kecuali Yakobus, saudara Tuhan. 20 Apa yang aku tulis ini benar. Allah tahu bahawa aku tidak berdusta. 21 Kemudian aku pergi ke kawasan-kawasan di Siria dan Kilikia. 22 Pada masa itu anggota jemaah Kristian di negeri Yudea tidak begitu mengenal aku. 23 Mereka hanya mendengar orang berkata, "Orang yang dahulu menganiaya kami, sekarang mengkhabarkan kepercayaan yang dahulu mahu dimusnahkannya.'' 24 Demikianlah mereka memuji Allah kerana aku.

Galatia 2

1 Empat belas tahun kemudian, aku kembali ke Yerusalem bersama dengan Barnabas, dan Titus turut menyertai kami. 2 Aku pergi ke Yerusalem kerana Allah menyatakan kehendak-Nya bahawa aku harus pergi. Dalam satu perjumpaan khas dengan para pemimpin Kristian di situ, aku menjelaskan Berita Baik yang aku khabarkan kepada orang bukan Yahudi. Aku tidak mahu usahaku, baik yang dahulu mahupun yang sekarang menjadi sia-sia. 3 Sahabatku Titus, meskipun dia seorang Yunani, tidak dipaksa supaya bersunat, 4 walaupun ada orang yang menginginkan hal itu. Mereka itu orang yang menyeludup ke dalam kumpulan kita dan berpura-pura menjadi saudara. Mereka mengintip kita untuk mengetahui kebebasan yang kita alami kerana bersatu dengan Kristus Yesus. Mereka mahu kita diperhamba semula. 5 Tetapi kami sama sekali tidak bersetuju dengan tuntutan mereka, kerana kami hendak menjaga kemurnian Berita Baik itu untuk kamu. 6 Mereka yang dianggap sebagai pemimpin Kristian, tidak menganjurkan apa-apa yang baru. Aku berkata demikian kerana aku tidak memandang kepada kedudukan mereka, kerana Allah pun tidak memandang kepada rupa orang. 7 Sebaliknya mereka mengaku bahawa Allah telah menugaskan aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi, sebagaimana Allah telah menugaskan Petrus mengkhabarkan Berita Baik kepada orang Yahudi. 8 Allah menjadikan aku rasul kepada orang bukan Yahudi, sebagaimana Allah menjadikan Petrus rasul kepada orang Yahudi. 9 Yakobus, Petrus, dan Yohanes, yang nampaknya menjadi pemimpin Kristian, mengaku bahawa Allah telah memberi aku tugas yang khas itu. Oleh itu mereka berjabat tangan dengan Barnabas dan aku sebagai tanda bahawa kami ini rakan sekerja. Lalu mereka dan kami bersetuju bahawa Barnabas dan aku akan bekerja di kalangan orang bukan Yahudi, sedangkan mereka di kalangan orang Yahudi. 10 Hanya satu permintaan mereka iaitu supaya kami sentiasa memperhatikan orang miskin di kalangan mereka. Perkara itu memang ingin aku lakukan. 11 Ketika Petrus datang ke Antiokhia, aku menentang dia di hadapan umum, kerana apa yang dilakukannya salah. 12 Pada mulanya Petrus makan dengan saudara-saudara bukan Yahudi. Tetapi setelah beberapa orang yang diutus oleh Yakobus tiba, Petrus menjauhkan diri daripada saudara bukan Yahudi dan tidak mahu duduk makan dengan mereka. Petrus takut akan orang yang berpendapat bahawa orang bukan Yahudi yang percaya kepada Kristus pun harus disunat. 13 Saudara Yahudi yang lain pula bersikap munafik seperti Petrus. Bahkan Barnabas pun terpengaruh untuk bersikap seperti mereka. 14 Ketika aku melihat sikap mereka tidak sesuai dengan ajaran Berita Baik yang benar itu, aku berkata kepada Petrus di hadapan semua orang di situ, "Kamu orang Yahudi, tetapi kamu hidup seperti orang bukan Yahudi. Mengapa kamu sekarang mahu memaksa orang bukan Yahudi hidup seperti orang Yahudi?'' 15 Memang benar kami ini dilahirkan sebagai orang Yahudi, dan bukan "orang bukan Yahudi yang berdosa''. 16 Meskipun demikian kami tahu bahawa orang berbaik semula dengan Allah kerana percaya kepada Yesus Kristus, dan bukan kerana mengikut Taurat. Kami pun percaya kepada Yesus Kristus, supaya kami berbaik semula dengan Allah melalui iman kami, bukan kerana kami mengikut Taurat. Dengan mengikut Taurat, tiada seorang pun dapat berbaik semula dengan Allah. 17 Dalam usaha kami untuk berbaik semula dengan Allah melalui hidup bersatu dengan Kristus, ternyata kami masih orang berdosa juga seperti orang bukan Yahudi. Adakah hal ini bererti bahawa Kristus yang menyebabkan kami berdosa? Tentu tidak! 18 Jika aku mula membina semula sistem Taurat yang telah aku runtuhkan, maka aku menunjukkan bahawa aku sudah melanggar hukum. 19 Terhadap Taurat, aku ini seperti sudah mati. Aku telah dimatikan oleh Taurat itu sendiri, supaya aku dapat hidup untuk Allah. Aku sudah disalibkan bersama-sama Kristus. 20 Yang hidup sekarang ini bukanlah aku, tetapi Kristus yang hidup dalam diriku. Hidup yang aku hayati sekarang ini adalah hidup dengan iman kepada Anak Allah yang mengasihi aku dan yang telah mengorbankan diri-Nya untuk aku. 21 Aku tidak menolak rahmat Allah. Jika hubungan orang dengan Allah menjadi baik semula kerana mengikut Taurat, hal itu bererti kematian Kristus sia-sia sahaja!

Galatia 3

1 Orang Galatia, kamu sungguh bodoh! Siapakah telah memukau kamu? Kematian Kristus pada kayu salib sudah aku jelaskan dengan seterang-terangnya kepada kamu! 2 Beritahulah aku satu hal ini: Adakah kamu menerima Roh Allah oleh sebab kamu mengikut Taurat, atau kerana kamu mendengar Berita Baik, lalu mempercayainya? 3 Mengapa kamu menjadi begitu bodoh? Setelah kamu memulakan hidup baru dengan Roh Allah, adakah kamu mahu menamatkannya dengan kekuatan sendiri? 4 Adakah semua yang sudah kamu alami tidak bererti apa-apa? Tentunya pengalaman itu mempunyai erti! 5 Allah mengurniakan Roh-Nya kepada kamu dan melakukan mukjizat-mukjizat antara kamu. Adakah Allah melakukan hal ini kerana kamu mengikut Taurat, atau kerana kamu mendengar Berita Baik lalu mempercayainya? 6 Apa yang telah berlaku kepada Abraham sangatlah mustahak. Di dalam Alkitab tertulis seperti ini, "Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.'' 7 Demikianlah kamu harus sedar bahawa orang yang percaya kepada Allah ialah orang yang benar-benar keturunan Abraham. 8 Alkitab telah memberitahu terlebih dahulu bahawa Allah memungkinkan orang bukan Yahudi berbaik semula dengan Allah, jika mereka percaya kepada-Nya. Di dalam Alkitab tertulis bahawa Berita Baik itu diberitahu kepada Abraham sebelum perkara itu berlaku, "Melalui engkau, Allah akan memberkati semua umat manusia di atas bumi.'' 9 Abraham percaya lalu dia diberkati. Demikianlah Allah memberkati semua orang yang percaya kepada-Nya, seperti Dia memberkati Abraham. 10 Mereka yang bergantung kepada Taurat, hidup di bawah kutukan. Di dalam Alkitab tertulis, "Orang yang tidak melakukan semua yang tertulis di dalam kitab Taurat, dikutuk oleh Allah!'' 11 Sekarang nyatalah bahawa tidak seorang pun dapat berbaik semula dengan Allah kerana mengikut Taurat. Hal ini tertulis di dalam Alkitab, "Hanya orang yang percaya kepada Allah sehingga hubungannya dengan Allah menjadi baik semula, akan hidup.'' 12 Tetapi Taurat tidak berdasarkan iman. Di dalam Alkitab tertulis, "Orang yang melakukan semua hukum Taurat akan hidup kerana Taurat itu.'' 13 Tetapi Kristus telah membebaskan kita daripada kutukan yang didatangkan oleh Taurat. Dia melakukan hal ini dengan membiarkan diri-Nya terkutuk kerana kita. Di dalam Alkitab tertulis, "Terkutuklah orang yang mati digantung pada pokok.'' 14 Kristus berbuat demikian supaya berkat yang dijanjikan oleh Allah kepada Abraham, juga boleh diberikan kepada orang bukan Yahudi. Dengan demikian kita yang percaya kepada Allah, dapat menerima Roh yang dijanjikan oleh Allah. 15 Saudara-saudaraku, biarlah aku gunakan contoh daripada pengalaman sehari-hari. Apabila dua orang mengikat janji, lalu menandatangani perjanjian itu, tidak seorang pun dapat membatalkannya ataupun menambahkan apa-apa. 16 Allah telah membuat janji-janji-Nya kepada Abraham dan kepada seorang keturunan Abraham. Di dalam Alkitab tidak tertulis, "dan kepada keturunanmu,'' yang bererti banyak orang. Yang tertulis adalah, "dan kepada seorang keturunanmu,'' yang bererti seorang sahaja, iaitu Kristus. 17 Inilah yang aku maksudkan: Allah telah membuat satu perjanjian dengan Abraham, dan Allah berjanji hendak memenuhinya. Taurat yang diberikan 430 tahun kemudian tidak dapat memansuhkan perjanjian itu ataupun membatalkan janji Allah. 18 Jika pemberian Allah diberi berdasarkan Taurat, maka pemberian itu tidak diberi berdasarkan janji Allah. Tetapi kerana Allah telah berjanji kepada Abraham, maka Allah memberikan pemberian itu kepadanya. 19 Jika demikian, apakah tujuan Taurat? Taurat diberikan untuk menunjukkan pelanggaran manusia. Taurat itu terus berlaku sehingga kedatangan seorang keturunan Abraham, yang disebut dalam janji Allah kepada Abraham. Taurat disampaikan oleh malaikat-malaikat dengan perantaraan seorang manusia. 20 Seorang perantara diperlukan apabila ada dua pihak. Tetapi Allah tidak memerlukan perantara, kerana Dia sendiri bertindak. 21 Adakah hal ini bererti bahawa Taurat berlawanan dengan janji-janji Allah? Tentu tidak! Jika manusia sudah menerima hukum agama yang dapat memberikan hidup, maka manusia dapat berbaik semula dengan Allah, melalui ketaatan kepada hukum agama itu. 22 Tetapi di dalam Alkitab tertulis bahawa semua umat manusia dikuasai oleh dosa. Oleh itu pemberian yang dijanjikan berdasarkan kepercayaan kepada Yesus Kristus, diberikan kepada mereka yang percaya. 23 Sebelum adanya kepercayaan kepada Kristus, Taurat menawan kita seperti orang tawanan, sehingga iman itu dinyatakan. 24 Dengan demikian Taurat itu menjadi seperti pengawas kita sehingga Kristus datang untuk memungkinkan kita berbaik semula dengan Allah, kerana kita percaya kepada Kristus. 25 Sekarang, kerana sudah tiba masanya manusia dapat percaya kepada Kristus, Taurat tidak perlu mengawasi kita. 26 Kerana kamu percaya kepada Kristus Yesus, maka kamu menjadi anak-anak Allah dan bersatu dengan Kristus Yesus. 27 Kamu semua telah dibaptis dan disatukan dengan Kristus. Oleh itu, sekarang kamu sudah menerima sifat-sifat Kristus sendiri. 28 Dalam hal ini tidak ada lagi perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi, antara abdi dengan orang bebas, antara lelaki dengan perempuan. Kamu semuanya menjadi satu kerana Kristus Yesus. 29 Jika kamu milik Kristus, maka kamu keturunan Abraham dan akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah.

Galatia 4

1 Tetapi perlu aku lanjutkan: Selama seorang ahli waris masih kanak-kanak, dia tidak berbeza dengan seorang abdi, meskipun sebenarnya anak itu memiliki segala-galanya. 2 Semasa ahli waris itu masih di bawah umur, beberapa orang wali akan menjaga dia dan mewakili dia dalam segala urusannya, sehingga dia mencapai umur yang sudah ditetapkan oleh bapanya. 3 Demikian juga dengan kita: selama kita masih belum dewasa, kita pun diperhamba oleh roh-roh yang menguasai dunia ini. 4 Tetapi pada saat yang tepat, Allah mengutus Anak-Nya sendiri ke dunia. Anak-Nya itu dilahirkan oleh seorang wanita dan hidup di bawah Taurat. 5 Dia diutus untuk membebaskan orang yang hidup di bawah Taurat, supaya kita boleh menjadi anak-anak Allah. 6 Kerana kamu anak-anak Allah, Allah menyuruh Roh Anak-Nya masuk ke dalam hati kita. Roh itulah yang menyebabkan kita berseru, "Bapa, ya Bapaku.'' 7 Dengan demikian kamu bukan lagi abdi, tetapi anak. Kerana kamu anak-Nya, Allah akan mengurniai kamu segala yang telah disediakan untuk anak-anak-Nya. 8 Dahulu kamu tidak mengenal Allah. Oleh itu kamu menjadi abdi kuasa-kuasa yang kamu anggap sebagai tuhan, tetapi sebenarnya sama sekali bukan Tuhan. 9 Tetapi sekarang kamu mengenal Allah, atau, lebih tepat lagi, Allah mengenal kamu. Mengapa kamu mahu kembali kepada roh-roh yang menguasai dunia ini? Roh-roh itu lemah dan tidak berguna. Mengapa kamu mahu diperhamba oleh roh-roh itu lagi? 10 Kamu merayakan hari, bulan, musim, dan tahun tertentu. 11 Aku khuatir akan kamu. Mungkinkah jerih payahku bagi kamu sia-sia sahaja? 12 Saudara-saudaraku, aku memohon supaya kamu menjadi seperti aku, kerana aku pun sudah menjadi seperti kamu. Kamu tidak pernah bersalah terhadap aku. 13 Masih ingatkah kamu, apa sebabnya aku mengkhabarkan Berita Baik kepada kamu pada kali pertama? Sebabnya adalah kerana aku jatuh sakit. 14 Tetapi pada masa itu kamu tidak menghina ataupun menolak aku, meskipun penyakitku merupakan ujian berat bagi kamu. Sebaliknya, kamu menyambut aku seperti kamu menyambut malaikat Allah. Kamu menyambut aku seperti kamu menyambut Kristus Yesus. 15 Pada waktu itu kamu sangat bersukacita dan aku tahu bahawa kamu rela berbuat apa sahaja, bahkan mencungkil mata untuk diberikan kepadaku. Tetapi apa yang telah berlaku sekarang? 16 Adakah sekarang kamu menganggap aku sebagai musuh kerana aku memberitahu kamu apa yang benar itu? 17 Semua orang lain itu berusaha dengan sungguh-sungguh supaya kamu memihak kepada mereka, tetapi tujuan mereka tidak baik. Mereka berniat memisahkan kamu daripada aku supaya kamu menumpukan perhatian kepada mereka sahaja. 18 Memang baik menumpukan perhatian kepada hal-hal yang baik, asalkan jangan hanya semasa aku bersama-sama kamu. 19 Anak-anak yang aku kasihi! Kerana kamu, sekali lagi aku menderita. Aku menderita seperti seorang ibu yang menderita pada masa melahirkan anak. Aku akan terus menderita sehingga kamu memiliki sifat-sifat Kristus. 20 Aku ingin sekali bersama-sama kamu sekarang, supaya aku boleh meluahkan isi hati dengan nada yang lebih lembut. Aku tidak tahu akan berbuat apa lagi dengan kamu. 21 Kepada kamu yang mahu diperhamba oleh Taurat, biarlah aku bertanya: Tidakkah kamu faham akan apa yang dikatakan oleh Taurat Musa? 22 Di dalam Taurat tertulis bahawa Abraham mempunyai dua orang anak lelaki. Yang seorang dilahirkan oleh abdi wanita dan yang seorang lagi oleh wanita bebas. 23 Anak Abraham daripada abdi wanita, dikandung dan dilahirkan seperti anak-anak lain. Tetapi anak Abraham daripada wanita bebas itu, lahir kerana dijanjikan oleh Allah. 24 Peristiwa itu dapat digunakan sebagai kiasan. Kedua-dua orang wanita itu ibarat dua perjanjian. Hagar melambangkan perjanjian yang dibuat di Gunung Sinai, dan anak-anaknya dilahirkan sebagai abdi. 25 Jika orang bercakap tentang Hagar, mereka bercakap tentang Gunung Sinai, di negeri Arab. Hagar juga melambangkan kota Yerusalem dengan semua penduduknya yang sekarang ini sudah menjadi abdi. 26 Tetapi Yerusalem yang di syurga itu bebas. Yerusalem itu seperti ibu kita. 27 Di dalam Alkitab tertulis, "Berbahagialah kamu, hai wanita mandul! Bersorak-sorailah dan bersukacitalah, hai kamu yang tidak pernah merasakan sakit bersalin! Wanita yang ditinggalkan suaminya akan mendapat lebih banyak anak daripada wanita yang hidup dengan suaminya.'' 28 Saudara-saudaraku, kamu anak-anak Allah yang dilahirkan kerana janji-Nya; sama seperti Ishak. 29 Pada masa itu, anak yang dilahirkan oleh Hagar menganiaya anak yang dilahirkan kerana janji yang dibuat oleh Roh Allah. Demikian juga sekarang. 30 Tetapi apakah yang tertulis di dalam Alkitab? Di situ tertulis, "Usirlah abdi wanita itu dengan anak lelakinya, kerana anak daripada abdi wanita itu tidak akan mewarisi harta bapanya bersama-sama anak lelaki daripada wanita bebas itu.'' 31 Demikianlah, saudara-saudaraku, kita ini bukannya anak daripada abdi wanita, melainkan anak daripada wanita bebas.

Galatia 5

1 Kita sekarang bebas, kerana Kristus telah membebaskan kita! Oleh itu pertahankanlah kebebasan kamu dan jangan biarkan diri kamu diperhamba lagi. 2 Dengarlah! Aku, Paulus, berkata kepada kamu: Jika kamu membenarkan orang menyunat kamu, hal ini bererti bahawa apa yang dilakukan oleh Kristus untuk kamu tidak bermakna apa-apa. 3 Sekali lagi aku memberikan peringatan kepada orang yang membiarkan dirinya disunat, bahawa dia wajib mentaati segenap Taurat itu! 4 Jika kamu berusaha untuk berbaik semula dengan Allah melalui ketaatan kepada Taurat, kamu telah memutuskan hubungan dengan Kristus. Dengan demikian kamu hidup di luar naungan rahmat Allah. 5 Tetapi bagi kami, kami berharap bahawa dengan pertolongan Roh Allah dan berdasarkan kepercayaan kami kepada Kristus, Allah memungkinkan kami berbaik semula dengan Dia. 6 Kerana pada masa kita bersatu dengan Kristus Yesus, bersunat atau tidak bersunat tidaklah menjadi soal. Yang penting hanyalah kepercayaan kepada Kristus, dan hal itu nyata dalam kasih kita kepada orang lain. 7 Dahulu kamu berjuang dengan baik. Siapakah yang menyebabkan kamu berhenti mentaati ajaran Tuhan? Siapakah yang sudah memujuk kamu? 8 Tentu bukan Allah, yang telah memanggil kamu. 9 Seperti kata orang, "Ragi yang sedikit boleh menjadikan seluruh adunan naik.'' 10 Meskipun demikian aku masih yakin bahawa kamu tidak akan mengikut pendirian lain, kerana kita semua sudah bersatu dengan Tuhan. Aku pun yakin bahawa orang yang mengacau fikiran kamu pasti akan dihukum oleh Allah. 11 Tetapi tentang aku, saudara-saudaraku, jika aku mengajarkan bahawa orang perlu bersunat, mengapa aku masih dimusuhi? Jika aku masih berbuat demikian, maka perkhabaranku tentang salib Kristus tidak seharusnya menimbulkan persoalan. 12 Aku berharap supaya semua orang yang mengacau fikiran kamu memisahkan diri daripada jemaah Kristian. 13 Saudara-saudaraku, kamu sudah dipanggil untuk menjadi orang bebas. Tetapi janganlah jadikan kebebasan itu alasan untuk membiarkan diri dikuasai oleh hawa nafsu. Sebaliknya, kamu harus saling mengasihi dan saling menolong, 14 kerana segenap Taurat tersimpul dalam satu perintah ini: "Kasihilah sesamamu manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.'' 15 Tetapi jika kamu berlaku seperti binatang, saling mencedera dan menyakiti, berwaspadalah. Jika tidak, kamu akan membinasakan satu sama lain. 16 Inilah maksudku: Biarlah Roh Allah memimpin hidup kamu dan janganlah hidup menurut keinginan tabiat manusia. 17 Hal itu demikian, kerana keinginan manusia bertentangan dengan keinginan Roh Allah, dan keinginan Roh Allah bertentangan dengan keinginan manusia. Kedua-duanya saling bermusuhan sehingga kamu tidak dapat melakukan apa yang kamu inginkan. 18 Tetapi jika Roh Allah memimpin kamu, kamu tidak dikuasai oleh Taurat. 19 Keinginan tabiat manusia nyata dalam semua perbuatan cabul, lucah, dan tidak senonoh; 20 dalam penyembahan berhala dan penggunaan ilmu sihir. Orang bermusuhan dan berkelahi; mereka cemburu, lekas marah, dan mementingkan diri sendiri. Mereka berpecah dan berpihak-pihak, 21 mereka iri hati, suka mabuk, berpesta liar, dan sebagainya. Aku memperingatkan kamu sekarang sebagaimana aku telah memperingatkan kamu dahulu: Orang yang melakukan perbuatan-perbuatan itu tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. 22 Sebaliknya, inilah hasilnya jika orang dipimpin oleh Roh Allah: Mereka saling mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, 23 rendah hati, dan dapat mengawal diri. Tidak ada hukum yang melarang perkara-perkara seperti itu. 24 Demikianlah, orang yang menjadi milik Kristus Yesus sudah mematikan tabiat manusia dengan segala nafsu dan keinginannya. 25 Roh Allah telah memberikan hidup baru kepada kita; oleh itu Dia juga harus menguasai hidup kita. 26 Kita tidak boleh menjadi sombong atau saling menyakiti hati, ataupun iri hati terhadap satu sama lain.

Galatia 6

1 Saudara-saudaraku, jika seseorang didapati melakukan sesuatu yang salah, hendaklah kamu yang hidup menurut pimpinan Roh Allah, membimbing orang itu kembali kepada jalan benar. Tetapi kamu harus melakukannya dengan lemah lembut. Berwaspadalah, supaya kamu sendiri tidak tergoda untuk berbuat hal yang sama. 2 Hendaklah kamu saling menolong memikul beban. Dengan cara demikian kamu akan mentaati perintah Kristus. 3 Jika seseorang menyangka dirinya penting, padahal tidak, orang itu menipu dirinya sendiri. 4 Tiap-tiap orang harus memeriksa kelakuannya sendiri, sama ada baik atau tidak. Jika baik, dia boleh berbangga dengan hal itu. Tetapi dia tidak perlu membandingkan apa yang dilakukannya dengan apa yang dilakukan orang lain, 5 kerana tiap-tiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing. 6 Orang yang sedang menerima ajaran Kristus, harus memberi gurunya bahagian sepatutnya daripada semua yang baik yang dimilikinya. 7 Janganlah tipu diri sendiri. Tidak seorang pun dapat memperbodohkan Allah. Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya. 8 Jika seorang menanam menurut tabiat manusianya, dia akan menuai kematian. Tetapi jika dia menanam menurut pimpinan Roh Allah, dia akan menuai hidup sejati dan kekal daripada Roh Allah. 9 Oleh itu, janganlah kita jemu melakukan perkara-perkara baik. Jika kita tidak berhenti-henti berbuat demikian, kelak kita akan menuai hasilnya. 10 Oleh itu, selama kita berpeluang, kita patut berbuat baik kepada semua orang, terutama sekali kepada saudara-saudara kita yang seiman. 11 Perhatikanlah bahagian ini yang aku tulis sendiri dengan huruf yang besar-besar! 12 Mereka yang berusaha untuk memaksa kamu bersunat adalah orang yang mahu membanggakan diri tentang hal-hal zahir. Tetapi mereka berbuat demikian supaya mereka tidak dianiaya oleh orang Yahudi oleh sebab salib Kristus. 13 Tetapi mereka yang membiarkan diri disunat, juga tidak mentaati Taurat. Mereka mahu kamu disunat supaya mereka boleh membanggakan diri bahawa kamu mentaati upacara penyunatan itu. 14 Tetapi aku hanya mahu membanggakan Tuhan kita Yesus Kristus yang sudah mati pada kayu salib. Oleh sebab Kristus sudah mati pada kayu salib, dunia ini tidak bererti apa-apa lagi bagiku. Aku seolah-olah sudah mati terhadap dunia ini. 15 Sama ada orang bersunat atau tidak, hal ini tidak menjadi soal. Yang penting adalah menjadi manusia baru. 16 Bagi mereka yang hidup dengan pendirian itu, dan juga bagi semua umat Allah, aku berdoa agar Allah mengurniai mereka kesejahteraan dan rahmat-Nya. 17 Akhirnya, janganlah seorang pun susahkan aku lagi, kerana bekas-bekas luka pada tubuhku membuktikan bahawa aku hamba Yesus. 18 Semoga Tuhan kita Yesus Kristus memberkati kamu semua. Amin.





AMAZING GRACE BIBLE INSTITUTE