Acts

Kisah Rasul-Rasul

Kisah Rasul-Rasul 1

1 Saudara Teofilus yang terhormat. Di dalam kitab saya yang pertama, saya telah menerangkan segala perkara yang dilakukan dan diajarkan oleh Yesus, sejak Dia memulakan pekerjaan-Nya, 2 sehingga pada hari Dia diangkat ke syurga. Sebelum Yesus diangkat ke syurga, Dia dengan kuasa Roh Allah memberikan petunjuk kepada rasul-rasul yang telah dipilih-Nya. 3 Selama empat puluh hari setelah kematian-Nya, banyak kali Yesus menunjukkan diri dengan nyata sekali kepada rasul-rasul itu, sehingga tidak dapat diragukan lagi bahawa Dia benar-benar hidup. Mereka melihat Dia, dan Dia berkata-kata dengan mereka tentang Pemerintahan Allah. 4 Apabila mereka berkumpul, Yesus memberikan arahan ini kepada mereka, "Janganlah tinggalkan Yerusalem, tetapi tunggulah pemberian yang sudah dijanjikan oleh Bapa-Ku, dan yang sudah Aku beritahukan kamu dahulu. 5 Yohanes membaptis kamu dengan air, tetapi beberapa hari lagi kamu akan dibaptis dengan Roh Allah.'' 6 Apabila rasul-rasul itu berkumpul dengan Yesus, mereka bertanya kepada-Nya, "Tuhan, adakah sekarang Tuhan mahu memulihkan Pemerintahan bangsa Israel?'' 7 Yesus menjawab, "Kamu tidak perlu mengetahui masa dan waktu yang sudah ditetapkan oleh Bapa-Ku, kerana hal itu hak-Nya. 8 Tetapi kamu akan menerima kuasa, apabila Roh Allah datang kepada kamu. Lalu kamu akan menjadi saksi-saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea, dan Samaria, serta sampai ke hujung bumi.'' 9 Setelah Yesus berkata demikian, Dia diangkat ke syurga, sementara mereka memandang Dia. Lalu awan menutupi Dia daripada pandangan mereka. 10 Mereka masih memandang ke langit sementara Yesus diangkat, apabila dengan tiba-tiba dua orang berpakaian putih berdiri di sisi mereka. 11 "Hai orang Galilea,'' kata kedua-dua orang itu, "mengapa kamu berdiri menengadah ke langit? Yesus, yang kamu lihat diangkat ke syurga, akan kembali lagi dengan cara yang sama seperti yang kamu lihat tadi.'' 12 Kemudian rasul-rasul itu kembali ke Yerusalem dari Bukit Zaitun, yang kira-kira satu kilometer jauhnya dari bandar. 13 Setibanya di Yerusalem, mereka pergi ke rumah tempat mereka menumpang, lalu naik ke bilik di tingkat atas. Rasul-rasul itu Petrus, Yohanes, Yakobus dan Andreas, Filipus dan Tomas, Bartolomeus dan Matius, Yakobus anak Alfeus, Simon Patriot dan Yudas anak Yakobus. 14 Dengan sehati mereka sering berkumpul dan berdoa bersama-sama wanita-wanita, termasuk Maria ibu Yesus, dan saudara-saudara Yesus. 15 Beberapa hari kemudian, pengikut-pengikut Kristus berkumpul. Kira-kira seratus dua puluh orang pengikut hadir dan Petrus berdiri untuk berkata-kata. 16 Dia berkata, "Saudara-saudara! Apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku. Dahulu Roh Allah melalui Daud bernubuat tentang Yudas, yang memimpin kumpulan orang yang menangkap Yesus. 17 Yudas salah seorang daripada kita, kerana dia pun dipilih supaya bekerja bersama-sama kita.'' ( 18 Yudas membeli sebidang tanah dengan upah yang diterimanya kerana melakukan perbuatan jahat. Di situ dia jatuh lalu mati; perutnya terbelah dan isi perutnya terburai. 19 Semua orang yang tinggal di Yerusalem mendengar kejadian itu. Itulah sebabnya dalam bahasa mereka sendiri, mereka menamakan tanah itu Akeldama, yang bererti "Tanah Darah.'') 20 Petrus berkata lagi, "Hal itu berlaku, kerana di dalam kitab Mazmur tertulis, `Biarlah rumahnya menjadi kosong, janganlah tempat itu didiami orang.' Ada tertulis juga, `Hendaklah orang lain mengambil alih tugasnya.' 21 Oleh itu seseorang harus menyertai kita untuk menjadi saksi bahawa Tuhan Yesus sudah bangkit daripada kematian. Orang itu haruslah salah seorang daripada orang yang sentiasa bersama-sama kita, pada masa kita mengikut Tuhan Yesus ke serata tempat. 22 Dia harus sudah menyertai kita sejak Yohanes membaptis orang sehingga pada hari Yesus diangkat ke syurga.'' 23 Orang yang hadir di situ mencadangkan dua orang: Yusuf yang disebut Barsabas (dia juga dipanggil Yustus), dan Matias. 24 Lalu mereka berdoa, "Ya Tuhan, Engkau mengetahui hati semua orang. Yudas sudah meninggalkan tugasnya sebagai rasul dan sudah menerima ganjarannya. Tunjukkanlah yang mana antara dua orang ini yang akan Engkau pilih untuk menjalankan tugas itu bagi menggantikan Yudas.'' 26 Kemudian mereka menentukan pilihan dengan undi dan Matias terpilih menjadi rasul untuk menyertai sebelas orang rasul yang lain.

Kisah Rasul-Rasul 2

1 Apabila hari Pentakosta tiba, semua orang yang percaya kepada Kristus berkumpul di satu tempat. 2 Tiba-tiba terdengar bunyi dari langit seperti tiupan angin yang kuat. Bunyi itu memenuhi rumah tempat mereka sedang duduk. 3 Lalu mereka nampak sesuatu yang menyerupai lidah api yang menjalar dan menghinggapi setiap orang di situ. 4 Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah. Mereka mula berkata-kata dalam pelbagai bahasa lain, menurut apa yang diberikan oleh Roh Allah kepada mereka. 5 Pada waktu itu banyak orang Yahudi dari pelbagai negeri di seluruh dunia, tinggal di Yerusalem. Mereka orang yang menyembah Allah. 6 Apabila mendengar suara itu, banyak orang datang berkumpul di situ. Mereka terkejut mendengar pengikut-pengikut Kristus itu berkata-kata dalam bahasa yang digunakan oleh mereka masing-masing. 7 Orang ramai itu tercengang dan hairan lalu berkata, "Orang yang bertutur ini semuanya orang Galilea! 8 Tetapi mengapa kita mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa negeri kita masing-masing? 9 Kita orang dari Partia, Media, Elam; dari Mesopotamia, Yudea, dan Kapadokia; dari Pontus dan Asia, 10 dari Frigia dan Pamfilia, dari Mesir dan daerah-daerah Libia dekat Kirene. Ada antara kita yang datang dari Roma, 11 baik orang Yahudi mahupun orang bangsa lain yang menganut agama Yahudi; ada juga yang datang dari Kreta dan Arab. Tetapi kita semua mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa kita masing-masing tentang hal-hal luar biasa yang dilakukan oleh Allah!'' 12 Mereka semua hairan dan bingung, lalu bertanya sesama sendiri, "Apakah maknanya semua ini?'' 13 Tetapi ada juga orang yang mengolok-olokkan para pengikut Kristus dan berkata, "Semua orang ini mabuk!'' 14 Lalu Petrus berdiri bersama-sama sebelas orang rasul yang lain. Dengan suara lantang dia mula berkata kepada mereka, "Saudara-saudara orang Yahudi dan semua yang tinggal di Yerusalem! Dengarlah baik-baik dan benarkan saya menjelaskan hal ini. 15 Semua orang ini tidak mabuk seperti yang saudara-saudara sangka, kerana kini baru pukul sembilan pagi. 16 Tetapi hal ini sudah diberitahukan oleh Allah melalui Nabi Yoel: 17 Allah berfirman, `Inilah yang akan berlaku pada akhir zaman, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua orang. Anak-anak lelaki dan perempuan kamu akan memberitakan hal-hal yang Aku beritahukan mereka; orang muda kamu akan melihat hal-hal yang Aku perlihatkan kepada mereka, orang tua kamu akan mendapat mimpi yang Aku berikan kepada mereka. 18 Bahkan ke atas hamba-hamba-Ku baik lelaki mahupun perempuan, akan Aku curahkan Roh-Ku pada masa itu, dan mereka akan memberitakan hal-hal yang Aku beritahukan mereka. 19 Aku akan melakukan mukjizat di atas sana, di langit, dan keajaiban di bawah sini, di bumi. Kelak akan ada darah, api, dan asap tebal; 20 matahari akan menjadi gelap, dan bulan menjadi merah seperti darah, sebelum Hari Tuhan, hari yang besar dan mulia itu datang. 21 Pada masa itu, sesiapa yang berseru kepada Tuhan akan diselamatkan.' 22 Saudara-saudara orang Israel! Dengarlah kata-kata saya ini: Yesus orang Nasaret itu sudah diberikan tugas oleh Allah. Hal ini dinyatakan kepada saudara semua dengan mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Allah melalui Dia. Saudara-saudara mengetahui hal itu, kerana semua peristiwa itu berlaku di kalangan saudara. 23 Sesuai dengan rancangan-Nya sendiri, Allah sudah menentukan bahawa Yesus akan diserahkan kepada saudara-saudara. Saudara semua membunuh Dia ketika menyebabkan orang berdosa menyalibkan Dia. 24 Tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian. Allah membebaskan Dia daripada derita kematian, kerana tidak mungkin Dia dikuasai terus oleh kematian. 25 Daud pernah berkata tentang Yesus, `Aku sentiasa melihat Engkau Tuhan di hadapanku; Engkau mendampingi aku, sehingga tiada apa pun dapat menyusahkan aku. 26 Oleh itu aku bersukacita dan bergembira ketika berkata-kata; walaupun aku hanya manusia, tetapi aku tetap berharap kepada-Mu, 27 kerana Engkau tidak akan meninggalkan aku di dunia orang mati. Engkau tidak akan membiarkan tubuh hamba-Mu yang setia itu hancur. 28 Engkau sudah menunjukkan jalan yang menuju ke hidup sejati, dan aku bersukacita kerana Engkau menyertai aku.' 29 Saudara-saudara, saya harus berkata dengan jelas tentang nenek moyang kita Daud. Dia sudah meninggal dan dikuburkan, dan kuburnya masih ada antara kita sehingga sekarang. 30 Allah bersumpah bahawa Dia akan melantik salah seorang keturunan Daud menjadi raja, seperti Daud sendiri. Daud tahu akan janji Allah itu, kerana Daud pun seorang nabi. 31 Daud mengetahui apa yang akan dilakukan oleh Allah. Oleh itu Daud bernubuat tentang kebangkitan Penyelamat yang diutus oleh Allah. Daud berkata, `Dia tidak akan ditinggalkan di dunia orang mati; tubuh-Nya tidak akan hancur di kubur.' 32 Yesus inilah yang dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. Kami semua sudah menyaksikan hal itu. 33 Allah mengangkat Yesus ke tempat yang berkuasa di sebelah kanan Allah, dan Yesus menerima Roh Allah yang sudah dijanjikan oleh Bapa. Apa yang kamu lihat dan dengar sekarang ini adalah Roh itu yang sudah dicurahkan oleh Yesus ke atas kami. 34 Daud sendiri tidak naik ke syurga, tetapi dia berkata, `Tuhan berfirman kepada Tuhanku: Duduklah di sebelah kanan-Ku, 35 sehingga Aku menaklukkan musuh-Mu ke bawah kaki-Mu.' 36 Oleh itu semua orang Israel harus tahu bahawa Yesus yang saudara-saudara salibkan itu, ialah Dia yang sudah diangkat oleh Allah menjadi Tuhan dan Penyelamat!'' 37 Apabila orang ramai mendengar hal itu, mereka sangat gelisah. Lalu mereka bertanya kepada Petrus dan rasul-rasul yang lain, "Saudara-saudara, apakah yang harus kami lakukan?'' 38 Petrus menjawab, "Hendaklah setiap orang di kalangan saudara bertaubat daripada dosa, lalu dibaptis demi nama Yesus Kristus, supaya dosa saudara-saudara diampunkan lalu saudara semua akan menerima pemberian Allah, iaitu Roh Allah. 39 Allah menjanjikan hal itu untuk saudara-saudara dan keturunan saudara semua, serta untuk semua orang di tempat-tempat yang jauh -- iaitu sesiapa sahaja yang dipanggil oleh Tuhan Allah kita supaya datang kepada-Nya.'' 40 Demikianlah Petrus memberikan penjelasan kepada mereka. Dengan kata-kata lain, dia juga mendesak mereka supaya menyelamatkan diri daripada hukuman yang akan datang kepada orang jahat di negeri ini. 41 Banyak orang percaya kepada apa yang dikatakan oleh Petrus, lalu mereka dibaptis. Jumlah orang yang percaya kepada Kristus pada hari itu bertambah lagi dengan tiga ribu orang. 42 Dengan tekun mereka menerima ajaran daripada rasul-rasul. Mereka hidup bersaudara, makan bersama-sama, dan berdoa bersama-sama. 43 Banyak mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh rasul-rasul itu, sehingga semua orang kagum dan takut. 44 Semua pengikut Kristus berkumpul dengan penuh keakraban, dan mereka berkongsi milik. 45 Mereka menjual harta milik dan membahagi-bahagikan wang itu di kalangan mereka menurut keperluan masing-masing. 46 Tiap-tiap hari mereka berkumpul di Rumah Tuhan, dan mereka makan bersama di rumah mereka dengan sukacita dan rendah hati. 47 Mereka memuji Allah dan mereka dihormati oleh semua orang. Tiap-tiap hari Tuhan menambah bilangan mereka dengan orang yang diselamatkan oleh Allah.

Kisah Rasul-Rasul 3

1 Pada suatu hari, Petrus dan Yohanes pergi ke Rumah Tuhan pada pukul tiga petang, iaitu masa berdoa. 2 Di situ, di pintu yang disebut Pintu Indah, ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak dia dilahirkan. Tiap-tiap hari dia dibawa ke situ untuk meminta sedekah daripada orang yang masuk ke Rumah Tuhan. 3 Apabila dia nampak Petrus dan Yohanes sedang masuk ke Rumah Tuhan, dia meminta sedekah daripada mereka. 4 Mereka memandang dia, lalu Petrus berkata, "Pandanglah kami!'' 5 Kemudian orang itu memandang mereka dan berharap akan mendapat sesuatu daripada mereka. 6 Tetapi Petrus berkata kepadanya, "Aku sama sekali tidak mempunyai wang, tetapi apa yang ada padaku akan aku berikan kepadamu: dengan kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu, berjalanlah!'' 7 Lalu Petrus memegang tangan kanan orang lumpuh itu dan menolong dia bangun. Seketika itu juga kaki dan pergelangan kaki orang lumpuh itu menjadi kuat. 8 Lalu dia melompat bangun, dan mula berjalan ke sana ke mari. Kemudian dia masuk ke Rumah Tuhan bersama-sama Petrus dan Yohanes, sambil berjalan dan melompat-lompat serta memuji Allah. 9 Semua orang melihat dia berjalan dan memuji Allah. 10 Apabila mereka mengenali dia sebagai peminta sedekah yang biasa duduk di hadapan Pintu Indah di Rumah Tuhan, mereka hairan dan kagum melihat apa yang berlaku kepadanya. 11 Orang itu masih mengikuti Petrus dan Yohanes. Apabila mereka tiba di serambi yang disebut Serambi Salomo, semua orang berlari mengerumuni mereka kerana kagum. 12 Apabila Petrus melihat orang ramai itu, dia berkata kepada mereka, "Saudara-saudara orang Israel, mengapa saudara semua hairan akan perkara ini? Mengapa saudara-saudara merenung kami? Adakah saudara-saudara menyangka bahawa orang ini boleh berjalan kerana kuasa kami atau kerana kami taat kepada Allah? 13 Allah yang disembah oleh Abraham, Ishak, Yakub, dan nenek moyang kita, sudah mempermuliakan Hamba-Nya, Yesus. Yesus itulah yang saudara-saudara serahkan kepada pihak berkuasa, dan yang saudara-saudara tolak di hadapan Pilatus, meskipun Pilatus hendak membebaskan Dia. 14 Dia suci dan baik, tetapi saudara-saudara menolak Dia dan meminta Pilatus melepaskan seorang pembunuh. 15 Saudara-saudara membunuh Dia yang memberikan hidup sejati kepada semua orang! Tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian, dan kami menyaksikan perkara itu. 16 Dengan kuasa Yesus orang lumpuh ini dikuatkan. Apa yang saudara-saudara lihat dan saksikan ini berlaku kerana dia percaya kepada Yesus dan kuasa-Nya. Kerana orang itu percaya kepada Yesus, dia sembuh, seperti yang sudah saudara-saudara lihat sendiri. 17 Saudara-saudara, sekarang saya tahu, bahawa apa yang saudara-saudara dan para pemimpin saudara lakukan terhadap Yesus, tidak saudara-saudara fahami maknanya. 18 Dahulu kala melalui nabi-nabi, Allah memberitahu bahawa Penyelamat yang diutus-Nya harus menderita. Demikianlah perkara itu berlaku seperti yang dikehendaki-Nya. 19 Oleh itu, bertaubatlah daripada dosa dan kembalilah kepada Allah, supaya Dia menghapus dosa saudara-saudara. 20 Jika saudara-saudara bertaubat, saudara sekalian akan mengalami kesegaran rohani. Tuhan akan menyuruh Yesus datang kepada saudara-saudara, kerana Dia sudah ditetapkan oleh Tuhan untuk menjadi Penyelamat saudara-saudara. 21 Dia harus tinggal di syurga sehingga tiba masanya bagi Allah menjadikan semuanya baru, seperti yang difirmankan oleh Allah melalui nabi-nabi-Nya yang suci pada zaman dahulu. 22 Musa pernah berkata, `Tuhan, Allah kamu akan mengutus seorang nabi kepada kamu seperti Dia mengutus aku. Nabi itu akan datang daripada bangsa kamu sendiri. Kamu harus mendengar semua yang dikatakan-Nya. 23 Sesiapa yang tidak mahu mentaati kata-kata nabi itu, akan disingkirkan daripada umat Allah dan dibinasakan.' 24 Semua nabi yang menyampaikan berita daripada Allah, termasuk Nabi Samuel dan nabi-nabi yang kemudian daripadanya, memberitakan apa yang berlaku pada zaman ini. 25 Janji-janji Allah yang disampaikan oleh nabi-nabi itu untuk saudara-saudara juga. Dalam perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan nenek moyang saudara-saudara, Allah berfirman kepada Abraham, `Melalui keturunanmu Aku akan memberkati semua bangsa di bumi.' Perjanjian itu untuk saudara-saudara juga. 26 Demikianlah Allah memilih dan mengutus Hamba-Nya kepada saudara-saudara terlebih dahulu untuk memberkati saudara sekalian. Dia berbuat demikian dengan menyebabkan saudara sekalian bertaubat daripada cara hidup yang jahat.''

Kisah Rasul-Rasul 4

1 Petrus dan Yohanes masih berkata-kata kepada orang ramai, apabila imam-imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan beberapa orang Saduki datang. 2 Mereka marah kerana Petrus dan Yohanes mengajar orang ramai bahawa Yesus sudah dibangkitkan daripada kematian. Hal itu membuktikan bahawa orang mati akan dibangkitkan. 3 Oleh itu mereka menangkap kedua-dua orang rasul itu. Mereka ditahan di dalam penjara sehingga esok, kerana hari sudah petang. 4 Tetapi banyak orang yang mendengar perkhabaran itu percaya kepada Yesus. Bilangan mereka bertambah sehingga kira-kira lima ribu orang. 5 Pada hari berikutnya, para pemimpin bangsa Yahudi, pemimpin masyarakat Yahudi, dan guru Taurat berkumpul di Yerusalem. 6 Mereka menjumpai Imam Agung Hanas dan Kayafas, Yohanes, Aleksander, dan semua orang lain yang tergolong dalam keluarga Imam Agung itu. 7 Mereka menyuruh rasul-rasul itu berdiri di hadapan mereka, lalu bertanya, "Bagaimanakah kamu menyembuhkan orang lumpuh itu? Dengan kuasa apa atau dengan kuasa siapa kamu melakukan hal itu?'' 8 Petrus, yang dikuasai oleh Roh Allah, menjawab, "Tuan-tuan pemimpin bangsa Yahudi dan pemimpin masyarakat Yahudi! 9 Agaknya hari ini kami disoal kerana kami telah berbuat baik kepada orang lumpuh itu dan kerana tuan-tuan mahu tahu bagaimana dia disembuhkan. 10 Tuan-tuan dan semua orang Israel harus tahu bahawa orang ini yang berdiri di hadapan tuan-tuan sudah sembuh kerana kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu. Tuan-tuan sudah menyalibkan Dia, tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian. 11 Yesuslah yang dimaksudkan oleh ayat ini di dalam Alkitab, `Batu yang kamu, pembina bangunan buang, ternyata menjadi batu yang paling utama.' 12 Hanya melalui Yesus orang diselamatkan, kerana di seluruh dunia tiada orang lain yang mendapat kekuasaan daripada Allah untuk menyelamatkan kita.'' 13 Anggota-anggota Majlis Agama hairan melihat keberanian Petrus dan Yohanes, apabila mereka tahu bahawa kedua-dua orang rasul itu orang biasa yang tidak berpendidikan. Lalu mereka sedar bahawa kedua-dua orang itu sahabat karib Yesus. 14 Tetapi mereka tidak dapat berkata apa-apa, kerana mereka melihat orang yang disembuhkan itu, berdiri di situ bersama-sama Petrus dan Yohanes. 15 Oleh itu mereka menyuruh kedua-dua orang rasul itu keluar dari bilik Majlis Agama, lalu mula berunding. 16 Mereka bertanya, "Apa yang harus kita lakukan terhadap kedua-dua orang ini? Semua orang yang tinggal di Yerusalem tahu bahawa mukjizat yang luar biasa itu dilakukan oleh mereka. Kita tidak dapat menafikannya. 17 Tetapi supaya perkara ini tidak tersebar lebih luas lagi di kalangan orang ramai, baiklah kita berikan amaran kepada mereka supaya jangan berkata-kata lagi kepada sesiapa pun dengan nama Yesus.'' 18 Lalu mereka memanggil kedua-dua orang rasul itu masuk kembali, dan melarang mereka menyebut nama Yesus atau mengajar dengan nama-Nya. 19 Tetapi Petrus dan Yohanes menjawab, "Pertimbangkan sendiri mana yang benar di sisi Allah: Taat kepada tuan-tuan atau taat kepada Allah? 20 Kami tidak dapat berhenti berkata-kata tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.'' 21 Anggota-anggota Majlis Agama memberikan amaran yang lebih keras lagi, lalu membebaskan kedua-duanya. Mereka tidak dapat mencari alasan untuk menghukum Petrus dan Yohanes, kerana semua orang memuji-muji Allah bagi peristiwa itu. 22 Orang yang mengalami kesembuhan yang menghairankan itu berumur lebih daripada empat puluh tahun. 23 Setelah Petrus dan Yohanes dibebaskan, mereka kembali kepada sahabat-sahabat mereka dan menceritakan segala yang dikatakan oleh ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi. 24 Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar hal itu, dengan sehati mereka berdoa kepada Allah, "Ya Tuhan, Engkau sudah menjadikan langit, bumi, dan laut dengan segala isinya. 25 Dengan Roh-Mu, Engkau pernah berfirman melalui nenek moyang kami, Daud hamba-Mu, `Mengapa orang bukan Yahudi marah? Mengapa bangsa-bangsa lain membuat pakatan yang sia-sia? 26 Raja-raja dunia bersiap sedia untuk berperang, dan para penguasa berkumpul untuk melawan Tuhan dan Penyelamat yang diutus oleh Allah.' 27 Memang benar Herodes dan Pontius Pilatus mengadakan pertemuan dengan orang bukan Yahudi dan orang Israel di kota ini untuk melawan Yesus Hamba-Mu yang suci, yang Engkau jadikan Penyelamat. 28 Mereka bersatu untuk melakukan segala yang telah Engkau tetapkan terlebih dahulu akan berlaku. Engkau dapat menetapkan demikian kerana kekuasaan dan kehendak-Mu. 29 Tetapi sekarang, ya Tuhan, lihatlah bagaimana mereka mengancam kami. Tolonglah kami, hamba-hamba-Mu, memberitakan perkhabaran-Mu dengan penuh keberanian. 30 Tunjukkanlah kuasa-Mu supaya orang sakit disembuhkan. Hendaklah mukjizat dan keajaiban berlaku dengan kuasa Yesus, Hamba-Mu yang suci.'' 31 Setelah mereka selesai berdoa, tempat mereka berkumpul itu bergoncang. Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah, dan mula menyampaikan perkhabaran daripada Allah dengan penuh keberanian. 32 Semua pengikut Kristus hidup sehati dan sefikiran. Tidak seorang pun menganggap apa yang dimilikinya kepunyaannya sendiri. Mereka saling berkongsi milik. 33 Dengan kuasa yang besar, rasul-rasul itu memberikan kesaksian tentang kebangkitan Tuhan Yesus. Oleh itu Allah sangat memberkati mereka. 34 Tidak seorang pun di kalangan mereka kekurangan apa-apa. Mereka yang memiliki tanah atau rumah, menjual harta mereka. Lalu mereka menyerahkan hasil penjualan itu kepada rasul-rasul. 35 Kemudian wang itu dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang memerlukannya. 36 Begitu juga halnya dengan Yusuf. Dia seorang keturunan Lewi yang lahir di Siprus. Rasul-rasul juga menyebut dia Barnabas (yang bererti Penggalak.) 37 Dia menjual sebidang tanah yang dimilikinya, lalu membawa dan menyerahkan wangnya kepada rasul-rasul itu.

Kisah Rasul-Rasul 5

1 Ada seorang lelaki bernama Ananias. Dia dengan isterinya, Safira menjual sebidang tanah yang dimiliki oleh mereka. 2 Dengan persetujuan isterinya, Ananias menyimpan sebahagian wang itu untuk dirinya sendiri. Yang selebihnya diserahkannya kepada rasul-rasul. 3 Oleh itu Petrus berkata kepadanya, "Ananias, mengapa kamu membiarkan Iblis menguasai hatimu, sehingga kamu berdusta terhadap Roh Allah dengan menyimpan sebahagian daripada wang penjualan tanahmu itu? 4 Bukankah tanah itu milikmu, sebelum kamu menjualnya? Setelah kamu menjualnya, wangnya milikmu juga. Mengapa kamu berniat berbuat demikian? Kamu tidak berdusta terhadap manusia, tetapi terhadap Allah!'' 5 Sebaik sahaja Ananias mendengar kata-kata itu, dia jatuh lalu mati. Semua orang yang mendengar peristiwa itu menjadi takut. 6 Kemudian beberapa orang muda datang membalut mayat Ananias, lalu membawanya ke luar dan menguburkannya. 7 Kira-kira tiga jam kemudian isteri Ananias masuk. Dia tidak mengetahui apa yang telah berlaku. 8 Petrus berkata kepadanya, "Katakanlah, adakah wang ini seluruh hasil penjualan tanah yang kamu terima bersama-sama suamimu?'' "Ya,'' jawabnya, "memang itu semuanya.'' 9 Lalu Petrus berkata kepadanya, "Mengapa kamu dan suamimu berpakat untuk mencubai Roh Tuhan? Lihatlah, beberapa orang muda yang menguburkan suamimu ada di depan pintu. Mereka pun akan mengusungmu ke luar.'' 10 Seketika itu juga isteri Ananias jatuh dan mati di hadapan Petrus. Orang muda di situ masuk dan mendapati Safira sudah mati. Oleh itu mereka membawa mayatnya ke luar dan menguburnya di sebelah suaminya. 11 Dengan demikian jemaah dan semua orang lain yang mendengar peristiwa itu menjadi sangat takut. 12 Banyak mukjizat dan keajaiban dilakukan oleh rasul-rasul di kalangan orang ramai. Semua pengikut Yesus berkumpul di Serambi Salomo. 13 Tidak ada orang di luar kelompok itu berani berkumpul dengan pengikut-pengikut Yesus, walaupun masyarakat sangat menghormati mereka. 14 Tetapi bilangan mereka semakin bertambah, kerana banyak orang lelaki dan perempuan percaya kepada Tuhan. 15 Oleh sebab mukjizat yang dilakukan oleh para rasul, orang sakit dibaringkan di atas tilam atau tikar, lalu dibawa ke jalan supaya setidak-tidaknya mereka terkena bayang Petrus, apabila dia lalu di situ. 16 Banyak orang datang dari bandar-bandar di sekitar Yerusalem. Mereka membawa orang sakit dan orang yang dirasuk roh jahat, dan semua orang itu disembuhkan. 17 Kemudian Imam Agung dan semua pengikutnya, yang termasuk golongan orang Saduki tempatan mula bertindak terhadap para rasul, kerana iri hati. 18 Mereka menangkap rasul-rasul itu lalu memasukkan mereka ke dalam penjara awam. 19 Tetapi pada malam itu, malaikat Tuhan membuka pintu-pintu penjara itu lalu memimpin rasul-rasul itu ke luar. Malaikat itu berkata kepada mereka, 20 "Pergilah berdiri di Rumah Tuhan dan beritahu orang ramai tentang hidup yang baru ini.'' 21 Rasul-rasul itu menurut perintah malaikat itu. Pada waktu fajar mereka pergi ke Rumah Tuhan dan mula mengajar. Imam Agung dan para pengikutnya memanggil semua pemimpin masyarakat Yahudi untuk mengadakan mesyuarat Majlis Agama. Kemudian mereka memberikan perintah supaya rasul-rasul itu diambil dari penjara untuk dibawa menghadap mereka. 22 Tetapi apabila pegawai-pegawai itu tiba di penjara, mereka tidak mendapati rasul-rasul itu. Lalu mereka kembali dan melaporkan hal itu kepada Majlis Agama. 23 Mereka berkata, "Apabila kami tiba di penjara, kami mendapati pintu penjara masih terkunci baik-baik, dan pengawal-pengawal sedang berjaga di pintu. Tetapi apabila kami membuka pintu itu, kami tidak mendapati seorang pun di dalamnya.'' 24 Apabila ketua-ketua imam dan ketua pengawal Rumah Tuhan mendengar laporan itu, mereka bingung tentang apa yang mungkin berlaku terhadap rasul-rasul itu. 25 Kemudian seorang lelaki masuk dan memberitahu mereka, "Beberapa orang yang tuan-tuan tahan di penjara sedang mengajar orang ramai di Rumah Tuhan!'' 26 Oleh itu ketua pengawal Rumah Tuhan pergi dengan anak buahnya dan membawa rasul-rasul itu kembali. Tetapi mereka tidak menggunakan kekerasan, kerana mereka takut kalau-kalau orang ramai merejam mereka. 27 Mereka membawa rasul-rasul itu ke hadapan Majlis Agama. Lalu Imam Agung berkata, 28 "Dengan tegas kami melarang kamu mengajar berdasarkan ajaran orang itu. Tetapi sekarang lihatlah apa yang sudah kamu lakukan! Kamu menyebarkan ajaran kamu ke seluruh Yerusalem, dan kamu mahu mendakwa kami bertanggungjawab atas kematiannya.'' 29 Petrus dan rasul-rasul yang lain menjawab, "Kami harus taat kepada Allah dan bukan kepada manusia. 30 Yesus yang tuan-tuan salibkan, sudah dibangkitkan daripada kematian oleh Allah yang disembah nenek moyang kita. 31 Allah mengangkat Dia ke tempat yang berkuasa di sebelah kanan-Nya, untuk menjadi Pemimpin dan Penyelamat, supaya umat Israel mendapat peluang untuk bertaubat dan beroleh pengampunan dosa. 32 Kami menjadi saksi dalam semua perkara ini -- kami dan juga Roh Allah, yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang mentaati perintah-Nya.'' 33 Apabila anggota-anggota Majlis Agama mendengar kata-kata itu, mereka marah sekali sehingga mereka mahu menghukum mati rasul-rasul itu. 34 Tetapi di kalangan anggota Majlis Agama itu ada seorang Farisi bernama Gamaliel. Dia seorang guru Taurat yang sangat dihormati oleh semua orang. Dia berdiri lalu menyuruh orang membawa rasul-rasul itu ke luar sebentar. 35 Lalu dia berkata kepada Majlis Agama itu, "Saudara-saudara orang Israel! Fikirkan baik-baik apa yang hendak saudara-saudara lakukan terhadap semua orang itu. 36 Beberapa waktu dahulu, Teudas muncul dan menganggap dirinya seorang pemimpin yang besar. Kira-kira empat ratus orang mengikut dia. Tetapi dia terbunuh, lalu semua pengikutnya tercerai-cerai, dan pergerakannya lenyap. 37 Setelah itu Yudas, orang dari Galilea pun muncul pada masa pembancian. Dia mempengaruhi banyak orang, tetapi dia juga terbunuh, lalu semua pengikutnya tercerai-cerai. 38 Oleh itu tentang perkara ini sekarang, saya cadangkan supaya jangan ambil tindakan apa-apa terhadap semua orang itu. Biarkan mereka pergi. Jika apa yang dicadangkan dan dilakukan mereka itu daripada manusia, maka semuanya akan lenyap. 39 Tetapi jika semua itu datang daripada Allah, saudara-saudara tidak akan dapat mengalahkan mereka. Malah mungkin akan ternyata bahawa saudara-saudara melawan Allah.'' Nasihat Gamaliel diterima oleh Majlis Agama. 40 Rasul-rasul itu dipanggil, lalu dicambuk, kemudian dilarang mengajar lagi berdasarkan ajaran Yesus. Setelah itu mereka dibebaskan. 41 Apabila rasul-rasul itu meninggalkan Majlis Agama, mereka bersukacita kerana Allah menganggap mereka layak menanggung hukuman bagi Yesus. 42 Setiap hari, baik di Rumah Tuhan mahupun di rumah orang, mereka tidak berhenti-henti mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa Yesus itulah Penyelamat yang diutus oleh Allah.

Kisah Rasul-Rasul 6

1 Tidak berapa lama kemudian, apabila bilangan pengikut Yesus semakin bertambah, berlakulah pertengkaran antara orang Yahudi yang berbahasa Yunani dengan orang Yahudi yang berbahasa Ibrani. Orang Yahudi yang berbahasa Yunani berkata bahawa balu di kalangan mereka tidak menerima bantuan wang sehari-hari. 2 Oleh itu, dua belas orang rasul itu mengumpulkan semua pengikut Yesus dan berkata kepada mereka, "Tidak patut kami abaikan tugas mengkhabarkan firman Allah untuk mengurus masalah kewangan. 3 Oleh itu, pilihlah tujuh orang di kalangan saudara yang dikuasai oleh Roh Allah dan juga bijaksana. Lalu kami akan menugaskan mereka mengurus hal itu. 4 Kami sendiri akan menggunakan masa kami untuk berdoa dan memberitakan perkhabaran daripada Allah.'' 5 Semua orang itu bersetuju dengan cadangan rasul-rasul. Oleh itu mereka memilih Stefanus, seorang yang sangat percaya kepada Yesus dan dikuasai oleh Roh Allah. Mereka juga memilih Filipus, Prokhorus, Nikanor, Timon, Parmenas, dan Nikolaus dari Antiokhia. Nikolaus seorang bukan Yahudi yang sudah memeluk agama Yahudi. 6 Tujuh orang itu dihadapkan kepada rasul-rasul. Lalu rasul-rasul berdoa dan meletakkan tangan ke atas kepala mereka untuk melantik mereka melakukan tugas itu. 7 Dengan demikian perkhabaran daripada Allah semakin tersebar luas dan bilangan pengikut Yesus di Yerusalem pun bertambah-tambah. Banyak imam juga percaya kepada Yesus. 8 Stefanus sangat diberkati oleh Allah dan diberikan-Nya kuasa untuk melakukan mukjizat. Banyak mukjizat dan keajaiban yang dilakukannya di kalangan orang ramai. 9 Tetapi beberapa orang menentang dia. Mereka anggota rumah ibadat yang disebut Rumah Ibadat Orang Bebas. Anggota rumah ibadat itu terdiri daripada orang Yahudi dari Kirene dan Aleksandria. Mereka dengan beberapa orang Yahudi dari Kilikia dan Asia berdebat dengan Stefanus. 10 Tetapi Roh Allah memberi Stefanus kebijaksanaan untuk berkata-kata, sehingga mereka tidak dapat menyangkal kata-katanya. 11 Oleh itu mereka memberikan rasuah kepada beberapa orang supaya berkata, "Kami mendengar dia menghina Musa dan mengkufuri Allah!'' 12 Demikianlah mereka menghasut orang ramai, para pemimpin masyarakat Yahudi, dan guru-guru Taurat. Lalu mereka pergi menangkap Stefanus, dan membawa dia menghadap Majlis Agama. 13 Kemudian mereka menghadapkan beberapa orang yang memberikan kesaksian palsu tentang Stefanus. Mereka berkata, "Orang ini sentiasa menghina Rumah Tuhan yang suci dan Taurat Musa. 14 Kami mendengar dia berkata bahawa Yesus dari Nasaret itu akan meruntuhkan Rumah Tuhan dan mengubah semua adat istiadat yang sudah kita terima daripada Musa!'' 15 Mata semua orang yang duduk di Majlis Agama menumpu kepada Stefanus dan mereka nampak muka Stefanus kelihatan seperti muka malaikat.

Kisah Rasul-Rasul 7

1 Kemudian Imam Agung bertanya kepada Stefanus, "Betulkah semua tuduhan itu?'' 2 Stefanus menjawab, "Saudara-saudara dan bapa-bapa! Dengarkan saya! Sebelum nenek moyang kita Abraham berpindah ke Haran, Allah yang mulia menampakkan diri kepada dia di Mesopotamia. 3 Allah berfirman kepadanya, `Tinggalkanlah negerimu dan keluargamu. Pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu.' 4 Oleh itu Abraham meninggalkan negeri Kasdim lalu pergi tinggal di Haran. Setelah bapa Abraham meninggal, Allah memimpin Abraham berpindah ke negeri yang sekarang saudara-saudara dan bapa-bapa diami. 5 Pada masa itu Allah tidak memberikan sedikit bahagian pun daripada negeri ini kepada Abraham untuk menjadi miliknya. Tetapi Allah berjanji bahawa Dia akan memberikan tanah itu kepada Abraham untuk menjadi miliknya dan milik keturunannya. Pada masa itu, Abraham tidak mempunyai anak. 6 Tetapi Allah berfirman kepadanya, `Keturunanmu akan tinggal di negeri orang, dan mereka akan diperhamba serta ditindas selama empat ratus tahun. 7 Tetapi Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba mereka. Mereka akan keluar dari negeri itu dan akan menyembah Aku di tempat ini.' 8 Allah membuat perjanjian itu dengan Abraham. Lalu Allah menyuruh Abraham bersunat sebagai tanda dia menerima perjanjian itu. Demikianlah Abraham menyunat Ishak, seminggu setelah Ishak dilahirkan; Ishak menyunat Yakub, anaknya dan Yakub menyunat dua belas orang anak lelakinya. Anak-anak Yakub menjadi bapa-bapa bangsa kita. 9 Bapa-bapa bangsa kita iri hati terhadap Yusuf. Mereka menjual dia sebagai hamba di Mesir. Tetapi Allah menyertai dia, 10 dan menyelamatkan dia daripada segala kesusahan. Apabila Yusuf menghadap Firaun raja Mesir, Allah mengurniai dia budi dan kebijaksanaan, sehingga raja Mesir menjadikan dia gabenor negeri itu dan penguasa istananya. 11 Lalu berlakulah kebuluran di seluruh negeri Mesir dan Kanaan, sehingga mengakibatkan penderitaan yang berat. Nenek moyang kita tidak dapat memperolehi makanan. 12 Apabila Yakub mendengar berita bahawa ada gandum di Mesir, dia menyuruh anak-anaknya, nenek moyang kita, pergi ke sana untuk kali pertama. 13 Pada lawatan mereka yang kedua, Yusuf memberitahu saudara-saudaranya bahawa dia Yusuf. Barulah raja Mesir tahu akan keluarga Yusuf. 14 Yusuf mengirim berita kepada Yakub, dan meminta bapanya bersama dengan semua anggota keluarganya berpindah ke Mesir. Semuanya berjumlah tujuh puluh lima orang. 15 Yakub berpindah ke Mesir dan di situ dia serta nenek moyang kita meninggal. 16 Jenazah mereka dibawa ke Sikhem dan dikuburkan di kuburan yang dibeli oleh Abraham dengan sejumlah wang daripada suku Hamor. 17 Apabila sudah dekat masanya Allah memenuhi janji-Nya kepada Abraham, bilangan bangsa kita di Mesir semakin besar. 18 Akhirnya seorang raja lain yang tidak mengenal Yusuf mula memerintah di Mesir. 19 Raja itu memperdaya bangsa kita dan berlaku kejam terhadap nenek moyang kita. Raja itu memaksa mereka membuang bayi yang baru lahir supaya terlantar dan mati. 20 Pada masa itulah Musa lahir; dia bayi yang sangat comel. Dia dipelihara di rumah bapanya selama tiga bulan. 21 Apabila dia terpaksa dibuang, puteri raja Mesir mengambil dia dan memelihara dia sebagai anaknya sendiri. 22 Segala ilmu bangsa Mesir diajarkan kepada Musa dan dia menjadi seorang yang sangat berkuasa, baik dengan kata-kata mahupun perbuatannya. 23 Apabila Musa berumur empat puluh tahun, hatinya tergerak untuk pergi melawat bangsanya orang Israel. 24 Dia melihat seorang antara mereka sedang dianiaya oleh seorang Mesir. Dia menolong orang yang dianiaya itu dengan membunuh orang Mesir itu. ( 25 Musa menyangka bangsanya faham bahawa Allah akan menggunakan dia untuk membebaskan mereka, tetapi mereka tidak faham.) 26 Keesokan harinya dia melihat dua orang Israel berkelahi, dan dia cuba mendamaikan mereka. Dia berkata, `Kamu bersaudara. Mengapa kamu berkelahi?' 27 Tetapi orang yang memukul sahabatnya menolak Musa ke tepi, lalu bertanya, `Siapa yang menjadikan kamu pemimpin dan hakim kami? 28 Adakah kamu mahu membunuh aku seperti kamu membunuh orang Mesir itu kelmarin?' 29 Apabila Musa mendengar kata-kata itu, dia lari dari Mesir lalu tinggal di negeri Midian. Di sana dia beroleh dua orang anak lelaki. 30 Empat puluh tahun kemudian, satu malaikat menampakkan diri kepada Musa di dalam belukar yang bernyala, di padang gurun dekat Gunung Sinai. 31 Musa hairan melihat hal itu. Lalu dia menghampiri belukar itu supaya dapat melihat dengan lebih jelas. Tetapi dia mendengar suara Tuhan berfirman, 32 `Akulah Allah yang disembah nenek moyangmu; Akulah Allah Abraham, Ishak, dan Yakub.' Musa gementar kerana takut dan tidak berani melihat belukar itu lagi. 33 Lalu Tuhan berfirman pula, `Tanggalkan kasutmu, kerana tanah tempat engkau berdiri itu suci. 34 Aku sudah melihat dan memperhatikan betapa pahitnya penderitaan umat-Ku di Mesir. Aku sudah mendengar keluhan mereka, dan Aku sudah turun untuk membebaskan mereka. Sekarang marilah, Aku akan mengutus engkau ke Mesir.' 35 Musa inilah yang tidak diterima oleh kaum Israel. Mereka bertanya, `Siapa yang menjadikan kamu pemimpin dan hakim kami?' Tetapi dialah yang diutus oleh Allah untuk menjadi pemimpin dan pembebas, dengan pertolongan malaikat yang datang kepadanya di belukar yang bernyala itu. 36 Musa memimpin bangsa Israel keluar dari Mesir dengan melakukan berbagai-bagai mukjizat dan keajaiban di Mesir, di Laut Merah, dan kemudian di padang gurun selama empat puluh tahun. 37 Musa inilah yang berkata kepada bangsa Israel, `Allah akan mengutus seorang nabi kepada kamu, seperti Dia sudah mengutus aku. Nabi itu dipilih-Nya daripada bangsa kamu sendiri.' 38 Musa inilah yang menyertai bangsa Israel berhimpun di padang gurun. Dia di situ dengan nenek moyang kita dan dengan malaikat yang berkata-kata kepadanya di Gunung Sinai. Di situlah Allah mengurniai dia perkhabaran yang memberikan hidup, untuk disampaikan kepada kita. 39 Tetapi nenek moyang kita tidak mahu taat kepadanya. Mereka menolak dia dan ingin kembali ke Mesir. 40 Oleh itu mereka berkata kepada Harun, `Buatkan kita patung dewa yang boleh memimpin kita. Kita tidak tahu apa yang sudah berlaku terhadap Si Musa yang membawa kita keluar dari Mesir.' 41 Lalu mereka membuat berhala yang berupa lembu jantan, dan mereka mempersembahkan korban kepada berhala itu. Mereka mengadakan perjamuan bagi menghormati buatan mereka sendiri. 42 Oleh itu Allah meninggalkan mereka, dan sengaja membiarkan mereka menyembah bintang-bintang di langit. Hal itu seperti yang tertulis di dalam Kitab Nabi-Nabi, `Hai orang Israel! Bukannya untuk Aku kamu menyembelih dan mengorbankan binatang selama empat puluh tahun di padang gurun. 43 Khemah berhala Molokh itulah yang kamu usung, dengan patung Refan, bintang berhala kamu; itulah berhala yang kamu buat untuk disembah. Oleh itu Aku akan membuang kamu jauh ke seberang Babel.' 44 Nenek moyang kita mempunyai Khemah Tuhan yang bersama-sama mereka di padang gurun. Khemah itu dibuat seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa, dan menurut contoh yang ditunjukkan oleh Allah kepada Musa. 45 Kemudian, nenek moyang kita menerima khemah itu daripada bapa mereka. Khemah itu dibawa oleh mereka ketika mengikut Yosua merebut negeri kita ini daripada kekuasaan bangsa-bangsa yang diusir oleh Allah di hadapan mereka. Khemah itu di situ sehingga zaman Daud. 46 Daud menyenangkan hati Allah dan memohon izin daripada Allah untuk membina sebuah rumah bagi Allah yang disembah oleh Yakub. 47 Tetapi Salomo itulah yang membina rumah itu untuk Allah. 48 Tetapi Allah Yang Maha Tinggi tidak tinggal di dalam rumah buatan manusia, kerana di dalam kitab nabi tertulis, 49 `Langit takhta-Ku, dan bumi alas kaki-Ku. Rumah apakah yang mahu kamu bina untuk-Ku? Di manakah tempat kediaman-Ku? 50 Bukankah Aku sendiri yang menjadikan segala sesuatu?' begitulah firman Allah. 51 Alangkah kerasnya kepala saudara-saudara! Alangkah degilnya saudara semua, sehingga tidak mahu taat kepada Allah dan tidak mahu mendengar firman Allah! Saudara-saudara seperti nenek moyang saudara semua; saudara semua selalu melawan Roh Allah! 52 Adakah seorang nabi yang tidak dianiaya oleh nenek moyang saudara semua? Mereka membunuh pesuruh-pesuruh Allah yang dahulu kala mengumumkan kedatangan Hamba Allah yang melakukan kehendak-Nya. Sekarang saudara-saudara sudah mengkhianati dan membunuh Dia. 53 Saudara-saudara sudah menerima Taurat Allah yang disampaikan oleh malaikat-malaikat, tetapi saudara-saudara tidak mentaati Taurat itu!'' 54 Sementara anggota-anggota Majlis Agama mendengar semua yang dikatakan oleh Stefanus, mereka meradang dan marah sekali terhadapnya. 55 Tetapi Stefanus yang dikuasai oleh Roh Allah, menengadah ke langit. Dia melihat kemuliaan Allah, serta Yesus yang berdiri di tempat berkuasa di sebelah kanan Allah. 56 "Lihatlah,'' katanya, "saya melihat syurga terbuka dan Anak Manusia berdiri di sebelah kanan Allah!'' 57 Lalu anggota-anggota Majlis Agama berteriak-teriak sambil menutup telinga. Dengan serentak mereka menyerang Stefanus. 58 Mereka mengheret dia ke luar bandar lalu merejam dia. Orang yang menyaksikan peristiwa itu meletakkan pakaian mereka dekat kaki seorang muda bernama Saulus. 59 Sementara mereka melempari Stefanus dengan batu, Stefanus berseru kepada Tuhan, "Tuhan Yesus, terimalah diriku!'' 60 Lalu dia berlutut dan berseru dengan suara keras, "Ya Tuhan, ampunkanlah dosa mereka!'' Setelah berkata demikian, dia pun meninggal.

Kisah Rasul-Rasul 8

1 Saulus menyetujui pembunuhan itu. Pada hari itu juga, jemaah di Yerusalem mula menderita penganiayaan yang kejam. Semua pengikut Yesus, kecuali rasul-rasul, terpaksa melarikan diri ke seluruh daerah Yudea dan Samaria. 2 Beberapa orang yang takut akan Allah mengebumikan Stefanus. Mereka menangisi dia dengan sangat sedih. 3 Tetapi Saulus berusaha untuk membinasakan jemaah itu. Dia pergi dari rumah ke rumah, dan mengheret pengikut Yesus ke luar, baik lelaki mahupun perempuan, lalu memasukkan mereka ke dalam penjara. 4 Pengikut Yesus yang tercerai-cerai itu mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah ke serata tempat. 5 Filipus pergi ke kota yang terpenting di Samaria dan memberitahu orang di sana tentang Penyelamat yang diutus oleh Allah. 6 Apabila orang di situ mendengar Filipus berkata-kata dan melihat mukjizat yang dilakukannya, mereka memperhatikan baik-baik apa yang dikatakan oleh Filipus. 7 Sambil menjerit-jerit roh jahat keluar daripada banyak orang yang kerasukan. Banyak orang lumpuh dan tempang pun disembuhkan. 8 Oleh itu orang di Samaria sangat bersukacita. 9 Seorang lelaki bernama Simon tinggal di kota itu. Sudah beberapa lama dia mempesonakan orang Samaria dengan ilmu sihirnya. Dia mengaku dirinya seorang yang luar biasa. 10 Semua lapisan masyarakat di kota itu mendengarkan dia dengan penuh minat. Mereka berkata, "Tuhan yang disebut `Kekuasaan Besar' sudah menjelma dalam orang ini.'' 11 Mereka mendengarkan dia dengan penuh minat, kerana sudah lama sekali dia mempesonakan mereka dengan ilmu sihirnya. 12 Tetapi apabila mereka percaya kepada perkhabaran Filipus, iaitu Berita Baik tentang Pemerintahan Allah dan tentang Yesus Kristus, mereka dibaptis -- baik lelaki mahupun perempuan. 13 Simon sendiri pun percaya kepada perkhabaran Filipus, dan setelah dia dibaptis, dia mengikuti Filipus. Simon hairan melihat keajaiban dan mukjizat yang dilakukan oleh Filipus. 14 Rasul-rasul di Yerusalem mendengar berita bahawa orang Samaria sudah menerima firman Allah. Oleh itu mereka mengutus Petrus dan Yohanes ke sana. 15 Apabila Petrus dan Yohanes tiba, mereka berdoa bagi pengikut Yesus di situ supaya menerima Roh Allah, 16 kerana tidak seorang pun di kalangan mereka dikuasai oleh Roh Allah. Mereka baru dibaptis demi nama Tuhan Yesus sahaja. 17 Lalu Petrus dan Yohanes meletakkan tangan mereka ke atas kepala orang Samaria di situ, dan mereka pun menerima Roh Allah. 18 Simon melihat bahawa Roh Allah diberikan kepada orang apabila rasul-rasul meletakkan tangan ke atas kepala orang. Oleh itu, Simon menawarkan wang kepada Petrus dan Yohanes, 19 dan berkata, "Berikan kuasa itu kepada saya supaya orang menerima Roh Allah apabila saya meletakkan tangan saya ke atas kepala mereka.'' 20 Tetapi Petrus menjawab, "Terkutuklah kamu dan wangmu, kerana menyangka kurnia Allah dapat dibeli dengan wang! 21 Kamu tidak mempunyai bahagian dalam pekerjaan kami, kerana hatimu tidak tulus di sisi Allah. 22 Bertaubatlah daripada niatmu yang jahat itu, dan berdoalah supaya Tuhan mengampuni kamu daripada fikiran yang sesat itu! 23 Aku tahu bahawa kamu sungguh iri hati dan diperhamba oleh dosa.'' 24 Lalu Simon berkata kepada Petrus dan Yohanes, "Berdoalah kepada Tuhan bagi saya, supaya saya tidak ditimpa perkara-perkara yang saudara-saudara katakan itu.'' 25 Setelah Petrus dan Yohanes memberikan kesaksian tentang Yesus serta menyampaikan perkhabaran Tuhan, mereka kembali ke Yerusalem. Dalam perjalanan, mereka mengkhabarkan Berita Baik itu di banyak pekan di daerah Samaria. 26 Malaikat Tuhan berkata kepada Filipus, "Bersiap-siaplah dan pergilah ke arah selatan, 27 Lalu Filipus pun berangkat. Seorang sida-sida dari Etiopia sedang dalam perjalanan pulang ke negerinya. Dia seorang pegawai tinggi yang bertanggungjawab atas kekayaan Kandake, ratu negeri Etiopia. Pegawai itu pergi ke Yerusalem untuk menyembah Allah dan sekarang dia dalam perjalanan pulang. Dia duduk di dalam kereta kudanya, sambil membaca kitab Nabi Yesaya. 29 Roh Allah berkata kepada Filipus, "Pergi dekati kereta kuda itu.'' 30 Filipus segera pergi menghampiri kereta kuda itu, lalu mendengar pegawai tinggi itu sedang membaca kitab Nabi Yesaya. Filipus bertanya kepadanya, "Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?'' 31 Pegawai tinggi itu menjawab, "Bagaimana saya boleh faham jika tidak ada orang yang menerangkannya?'' Lalu dia mengajak Filipus menaiki kereta kudanya dan duduk dengan dia. 32 Inilah ayat-ayat yang dibacanya, "Dia seperti domba yang digiring untuk disembelih; seperti anak domba yang tidak mengembik ketika bulunya digunting; demikianlah Dia tidak berkata sepatah pun. 33 Dia dihina dan diperlakukan dengan tidak adil. Nyawanya dicabut dari muka bumi, sehingga tiada seorang pun dapat menceritakan keturunannya.'' 34 Pegawai tinggi itu berkata kepada Filipus, "Tolong beritahu, siapakah yang dimaksudkan oleh nabi itu? Dirinya sendiri atau orang lain?'' 35 Lalu Filipus mula berkata-kata. Melalui ayat-ayat itu Filipus memberitahu dia Berita Baik tentang Yesus. 36 Dalam perjalanan, mereka sampai ke suatu tempat yang berair. Pegawai itu berkata, "Lihatlah, di sini ada air. Adakah sebab yang menghalang saya dibaptis?'' 37 Filipus berkata, "Tuan boleh dibaptis, asal sahaja tuan percaya kepada Yesus dengan sepenuh hati.'' Pegawai tinggi itu menjawab, "Saya percaya bahawa Yesus Kristus Anak Allah.'' 38 Lalu pegawai itu memberikan perintah supaya kereta kudanya dihentikan. Kemudian Filipus dan pegawai itu turun ke dalam air dan Filipus membaptis dia. 39 Apabila mereka keluar dari air, Roh Tuhan mengambil Filipus dari situ. Pegawai tinggi itu tidak nampak dia lagi, lalu meneruskan perjalanan dengan sukacita. 40 Filipus mendapati dirinya di Asdod. Dia meneruskan perjalanan sambil mengkhabarkan Berita Baik tentang Yesus di semua bandar sehingga dia tiba di Kaisarea.

Kisah Rasul-Rasul 9

1 Sementara itu Saulus meneruskan ancamannya untuk membunuh pengikut-pengikut Tuhan. Saulus pergi kepada Imam Agung, 2 dan meminta surat kuasa untuk ditunjukkan kepada pemimpin rumah-rumah ibadat orang Yahudi di Damsyik. Dengan demikian, jika di situ dia menjumpai pengikut-pengikut Yesus, dia boleh menangkap mereka, baik lelaki mahupun perempuan, dan membawa mereka ke Yerusalem. 3 Dalam perjalanannya ke Damsyik, apabila dia sudah dekat kota itu, tiba-tiba cahaya dari langit memancar di sekeliling Saulus. 4 Dia jatuh ke tanah lalu mendengar suara berkata kepadanya, "Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku?'' 5 Saulus bertanya, "Siapakah tuan?'' Suara itu menjawab, "Aku Yesus, yang engkau aniaya. 6 Bangunlah dan masuklah ke bandar. Di situ engkau akan diberitahu apa yang harus engkau lakukan.'' 7 Orang yang seperjalanan dengan Saulus berhenti dan terdiam. Mereka mendengar suara itu tetapi tidak melihat sesiapa pun. 8 Saulus berdiri lalu membuka matanya, tetapi dia tidak dapat melihat apa-apa. Oleh itu mereka memegang tangannya dan memimpin dia masuk ke Damsyik. 9 Tiga hari lamanya dia tidak dapat melihat, dan selama itu dia tidak makan atau minum. 10 Seorang pengikut Yesus bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam penglihatan, dia melihat Tuhan berkata kepadanya, "Ananias!'' "Ya Tuhan,'' jawab Ananias. 11 Tuhan berkata kepadanya, "Bersiap-siaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Bertanyalah tentang seorang bernama Saulus dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa, 12 dan dalam penglihatan, dia melihat seorang lelaki bernama Ananias datang meletakkan tangan padanya supaya dia boleh melihat semula.'' 13 Ananias menjawab, "Ya Tuhan, banyak orang sudah memberitahu aku tentang orang ini. Dia sudah melakukan banyak perkara yang kejam terhadap umat-Mu di Yerusalem. 14 Sekarang dia datang ke Damsyik dengan kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyembah Engkau.'' 15 Tetapi Tuhan berkata kepadanya, "Pergilah, kerana Aku sudah memilih dia untuk mengabdikan diri kepada-Ku, supaya dia memberitakan nama-Ku kepada bangsa-bangsa bukan Yahudi, raja-raja, dan umat Israel. 16 Semua penderitaan yang harus dialaminya kerana Aku, akan Aku tunjukkan kepadanya.'' 17 Oleh itu Ananias pergi dan masuk ke rumah itu lalu meletakkan tangannya pada Saulus. "Saudara Saulus,'' katanya, "Tuhan sudah mengutus saya -- Yesus yang menampakkan diri kepada saudara dalam perjalanan ke mari, sudah mengutus saya ke sini supaya saudara boleh melihat semula dan dikuasai oleh Roh Allah.'' 18 Pada saat itu juga sesuatu seperti sisik ikan jatuh daripada mata Saulus dan dia dapat melihat semula. Lalu dia bangkit dan dibaptis. 19 Setelah dia makan, pulihlah kekuatannya. Saulus tinggal beberapa hari dengan pengikut-pengikut Yesus di Damsyik. 20 Dia terus pergi ke rumah-rumah ibadat dan mula mengisytiharkan berita bahawa Yesus Anak Allah. 21 Semua orang yang mendengar kata-kata Saulus menjadi hairan. Mereka berkata sesama sendiri, "Dialah orang di Yerusalem yang membunuh semua orang yang menyembah Yesus. Dia datang ke sini untuk menangkap dan membawa pengikut Yesus kepada ketua-ketua imam.'' 22 Tetapi Saulus semakin kuat pengaruhnya. Bukti-bukti yang dikemukakannya bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah begitu meyakinkan, sehingga orang Yahudi yang tinggal di Damsyik tidak dapat membantah lagi. 23 Beberapa hari kemudian, orang Yahudi bersepakat hendak membunuh Saulus. 24 Tetapi rancangan mereka diketahui oleh Saulus. Siang malam mereka menunggu di pintu gerbang kota untuk membunuh dia. 25 Tetapi pada suatu malam, pengikut-pengikut Saulus menurunkan dia dengan sebuah keranjang ke kaki tembok kota melalui tingkap. 26 Saulus pergi ke Yerusalem dan berusaha bergabung dengan pengikut-pengikut Yesus di situ. Tetapi mereka takut akan dia, kerana mereka tidak percaya bahawa dia benar-benar sudah menjadi pengikut Yesus. 27 Kemudian Barnabas menyambut dia dan membawa dia kepada rasul-rasul. Barnabas memberitahu mereka bahawa Saulus sudah melihat Tuhan dalam perjalanan ke Damsyik, dan bahawa Tuhan sudah berkata-kata kepadanya. Dia juga memberitahu mereka bahawa dengan berani Saulus mengajar di Damsyik demi nama Yesus. 28 Oleh itu Saulus tinggal bersama-sama mereka, dan mengajar dengan berani di seluruh Yerusalem dengan nama Tuhan. 29 Dia juga berbincang dan berdebat dengan orang Yahudi yang berbahasa Yunani, dan mereka cuba membunuh dia. 30 Apabila saudara-saudara seiman mengetahui hal itu, mereka membawa Saulus ke Kaisarea dan kemudian menghantar dia ke Tarsus. 31 Dengan demikian tenteramlah jemaah di seluruh Yudea, Galilea, dan Samaria. Jemaah itu menghormati Allah dan dengan pertolongan Roh Allah, jemaah itu bertambah kuat dan bertambah banyak. 32 Petrus berkunjung ke serata tempat. Pada suatu hari dia melawat umat Tuhan yang tinggal di Lida. 33 Di situ dia berjumpa dengan seorang lelaki bernama Eneas, yang lumpuh dan tidak dapat bangun dari katilnya selama lapan tahun. 34 Petrus berkata kepadanya, "Hai Eneas, Yesus Kristus menyembuhkan kamu. Bangunlah dan kemaskan katilmu.'' Pada saat itu juga Eneas bangun. 35 Semua penduduk di Lida dan Dataran Saron melihat Eneas, lalu mereka semua percaya kepada Tuhan. 36 Di Yope ada seorang wanita bernama Tabita. Dia percaya kepada Yesus. (Dalam bahasa Yunani namanya Dorkas, yang bererti `rusa.') Dia menggunakan masanya untuk melakukan hal-hal baik dan menolong orang miskin. 37 Pada waktu itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya diletakkan di bilik di tingkat atas. 38 Yope tidak berapa jauh dari Lida. Apabila pengikut-pengikut Yesus di Yope mendengar bahawa Petrus di Lida, mereka mengutus dua orang kepadanya dengan berita, "Cepatlah datang ke mari.'' 39 Petrus bersiap lalu mengikut mereka. Apabila dia tiba di situ, dia dibawa ke bilik di tingkat atas. Sambil menangis semua balu di situ mengerumuni Petrus dan menunjukkan pakaian dan jubah yang telah dijahit oleh Dorkas bagi mereka, semasa dia masih hidup. 40 Petrus menyuruh mereka semua keluar. Lalu dia berlutut dan berdoa. Kemudian dia menghampiri jenazah itu dan berkata, "Tabita, bangunlah!'' Tabita membuka matanya dan apabila dia nampak Petrus, dia pun duduk. 41 Petrus memegang tangannya dan menolong dia berdiri. Kemudian Petrus memanggil semua pengikut Yesus di situ termasuk balu-balu, lalu menyerahkan Tabita yang sudah hidup itu kepada mereka. 42 Berita itu tersebar ke seluruh Yope, dan banyak orang percaya kepada Tuhan. 43 Petrus tinggal di Yope dengan seorang penyamak kulit bernama Simon untuk beberapa hari lamanya.

Kisah Rasul-Rasul 10

1 Seorang lelaki bernama Kornelius tinggal di Kaisarea. Dia kapten pasukan tentera Roma yang disebut Pasukan Italia. 2 Dia takut akan Allah; dia dan keluarganya menyembah Allah. Dia sering menolong orang Yahudi yang miskin, dan dia sentiasa berdoa kepada Allah. 3 Pada suatu hari kira-kira pukul tiga petang, dalam suatu penglihatan, dengan jelas dia melihat malaikat Tuhan datang kepadanya dan berkata, "Kornelius!'' 4 Kornelius memandang malaikat itu dengan ketakutan lalu bertanya, "Ada apa, tuan?'' Malaikat itu menjawab, "Doamu dan kemurahan hatimu sudah diterima oleh Allah dan Allah mengabulkan doamu. 5 Sekarang suruhlah beberapa orang ke Yope untuk memanggil seorang bernama Simon Petrus. 6 Dia sedang menumpang di rumah seorang penyamak kulit bernama Simon, yang tinggal di tepi pantai.'' 7 Setelah malaikat itu pergi, Kornelius memanggil dua orang hamba yang bekerja di rumahnya dan salah seorang pengawal peribadinya, yang juga takut akan Allah. 8 Dia memberitahu mereka apa yang sudah berlaku, lalu menyuruh mereka pergi ke Yope. 9 Keesokan harinya, semasa mereka masih dalam perjalanan dan hampir tiba di Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah pada tengah hari untuk berdoa. 10 Dia lapar dan hendak makan. Sementara makanan disediakan, dia mendapat suatu penglihatan. 11 Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain lebar diturunkan ke bumi, tergantung pada keempat-empat sudutnya. 12 Di dalamnya terdapat segala macam binatang berkaki empat, binatang menjalar dan burung-burung liar. 13 Lalu ada suara berkata kepadanya, "Petrus, bangunlah! Sembelihlah binatang itu dan makanlah!'' 14 Petrus menjawab, "Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis.'' 15 Tetapi suara itu berkata lagi, "Jangan anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah.'' 16 Perkara itu berulang sehingga tiga kali, lalu kain itu terangkat kembali ke langit. 17 Petrus termenung memikirkan makna penglihatan itu. Pada masa itu orang yang disuruh oleh Kornelius sudah menjumpai rumah Simon, dan mereka sedang berdiri di muka pintu. 18 Mereka memanggil dan bertanya sama ada seorang tamu bernama Simon Petrus menumpang di situ. 19 Petrus masih berusaha untuk memahami makna penglihatan itu, apabila Roh Allah berkata kepadanya, "Dengarlah! Tiga orang sedang mencari kamu. 20 Cepatlah turun ke bawah dan jangan ragu-ragu mengikut mereka, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.'' 21 Petrus turun ke bawah dan berkata kepada mereka, "Sayalah yang saudara-saudara cari. Mengapa saudara-saudara datang?'' 22 Mereka menjawab, "Kapten Kornelius menyuruh kami ke mari. Dia orang baik dan dia takut akan Allah. Dia sangat dihormati oleh semua orang Yahudi. Malaikat Allah menyuruh dia menjemput tuan ke rumahnya supaya dia boleh mendengar apa yang akan tuan katakan.'' 23 Lalu Petrus menjemput mereka menginap di situ. Keesokan harinya Petrus bersiap-siap dan pergi dengan mereka. Beberapa orang pengikut Yesus dari Yope pun pergi dengan dia. 24 Sehari sesudah itu, mereka tiba di Kaisarea. Kornelius bersama-sama sanak saudara dan sahabat-sahabat karib yang telah dijemputnya, sedang menunggu mereka. 25 Apabila Petrus tiba, Kornelius menyambut dia dan sujud di hadapannya. 26 Tetapi Petrus menyuruh dia bangun, "Bangunlah,'' katanya, "saya sendiri pun manusia.'' 27 Sementara bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk ke dalam rumah dan mendapati banyak orang sudah berkumpul di situ. 28 Petrus berkata kepada mereka, "Saudara-saudara sendiri tahu bahawa orang Yahudi dilarang oleh agama mereka untuk melawat atau berhubungan dengan orang bukan Yahudi. Tetapi Allah sudah menunjukkan bahawa saya tidak boleh menganggap seseorang pun najis atau haram. 29 Itulah sebabnya apabila saya dijemput, saya tidak berkeberatan datang. Katakanlah, mengapa tuan meminta saya datang?'' 30 Kornelius menjawab, "Tiga hari yang lalu, kira-kira pada pukul tiga petang saya sedang berdoa di rumah. Tiba-tiba seorang lelaki yang pakaiannya bersinar-sinar berdiri di hadapan saya. 31 Dia berkata, `Kornelius! Allah sudah mendengar doamu, dan ingat akan kemurahan hatimu. 32 Suruhlah orang pergi ke Yope untuk memanggil seorang bernama Simon Petrus. Dia menumpang di rumah seorang penyamak kulit bernama Simon, yang tinggal di tepi pantai.' 33 Itulah sebabnya saya segera menyuruh orang memanggil tuan, dan tuan sungguh baik hati kerana sudi ke mari. Sekarang kami berkumpul di sini di hadapan Allah, untuk mendengar apa sahaja yang akan tuan katakan seperti yang diperintahkan oleh Tuhan.'' 34 Lalu Petrus berkata, "Sekarang barulah saya sedar bahawa Allah memperlakukan semua orang dengan sama rata. 35 Sesiapa yang menghormati Allah dan berbuat apa yang benar, diterima oleh Allah, walau apa pun bangsanya. 36 Saudara-saudara tahu akan perkhabaran yang disampaikan oleh Allah kepada bangsa Israel. Khabar itu Berita Baik tentang kedamaian melalui Yesus Kristus, Tuhan semua orang. 37 Saudara-saudara mengetahui apa yang telah berlaku di seluruh Yudea, mulai dari Galilea, setelah baptisan yang diberitakan oleh Yohanes. 38 Saudara-saudara tahu bahawa Allah telah memilih Yesus orang Nasaret itu dan memberi Dia Roh Allah dan kekuasaan. Yesus pergi ke serata tempat untuk berbuat baik dan menyembuhkan semua orang yang dikuasai oleh Iblis, kerana Allah menyertai Yesus. 39 Kami saksi yang sudah melihat segala sesuatu yang dilakukan-Nya di negeri Yudea mahupun di Yerusalem. Kemudian mereka menyalibkan Dia dan membunuh Dia. 40 Tetapi pada hari ketiga Allah membangkitkan Dia daripada kematian, dan memperlihatkan Dia. 41 Dia tidak dilihat oleh semua orang; tetapi hanya oleh kami yang sudah dipilih oleh Allah untuk menjadi saksi-saksi-Nya. Kami makan dan minum dengan Dia, sesudah Dia bangkit daripada kematian. 42 Dia menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik itu kepada semua orang, dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang diutus oleh Allah untuk menjadi hakim orang yang masih hidup dan yang sudah mati. 43 Semua nabi berkata-kata tentang Dia. Mereka berkata bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus, dosanya akan diampunkan dengan kekuasaan Yesus.'' 44 Sementara Petrus berkata-kata, Roh Allah turun dan menguasai semua orang yang mendengar perkhabaran itu. 45 Beberapa orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan menyertai Petrus dari Yope, hairan melihat Allah mengurniakan Roh-Nya kepada orang bukan Yahudi juga. 46 Mereka mendengar semua orang itu bertutur dalam bahasa-bahasa yang ajaib serta memuji-muji kebesaran Allah. Lalu Petrus berkata, 47 "Lihatlah, semua orang ini sudah menerima Roh Allah seperti kita. Bolehkah sesiapa menghalangi mereka dibaptis dengan air?'' 48 Oleh itu Petrus menyuruh mereka dibaptis demi nama Yesus Kristus. Kemudian mereka meminta supaya Petrus tinggal dengan mereka untuk beberapa hari.

Kisah Rasul-Rasul 11

1 Rasul-rasul dan pengikut-pengikut Yesus di seluruh Yudea mendengar bahawa orang bukan Yahudi pun sudah menerima firman Allah. 2 Apabila Petrus pergi ke Yerusalem, orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan masih berpegang kepada upacara bersunat, mencela Petrus. Mereka berkata, 3 "Kamu menumpang di rumah orang bukan Yahudi yang tidak bersunat. Bahkan kamu makan bersama-sama mereka!'' 4 Oleh itu Petrus memberikan laporan lengkap tentang apa yang sudah berlaku. Dia melaporkan hal itu mulai dari permulaan, 5 "Aku sedang berdoa di kota Yope, lalu melihat suatu penglihatan. Aku melihat sesuatu seperti kain lebar diturunkan dari langit, tergantung pada keempat-empat sudutnya, lalu berhenti di sisiku. 6 Semasa aku memperhatikan bahagian dalamnya, aku nampak binatang berkaki empat, binatang liar, binatang menjalar, dan burung-burung liar. 7 Lalu aku mendengar suara berkata kepadaku, `Bangunlah Petrus! Sembelihlah binatang itu dan makanlah!' 8 Tetapi aku menjawab, `Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis.' 9 Suara itu berkata lagi dari langit, `Janganlah anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah!' 10 Peristiwa itu berulang tiga kali dan akhirnya semuanya terangkat kembali ke langit. 11 Pada saat itu juga, tiga orang dari Kaisarea yang diutus kepadaku, tiba di rumah tempat aku menginap. 12 Roh Allah menyuruh aku mengikut mereka dengan tidak ragu-ragu. Enam orang saudara seiman dari Yope, menyertai aku ke Kaisarea, dan kami semua masuk ke rumah Kornelius. 13 Kornelius memberitahu kami bahawa dia melihat satu malaikat berdiri di rumahnya dan berkata, `Suruhlah orang pergi ke Yope untuk memanggil seorang lelaki bernama Simon Petrus. 14 Dia akan menyampaikan berita yang boleh menyelamatkan engkau dan keluargamu.' 15 Apabila aku mula bercakap, Roh Allah datang kepada mereka, seperti yang berlaku kepada kita pada mulanya. 16 Kemudian aku teringat bahawa Tuhan pernah berkata, `Yohanes membaptis dengan air, tetapi kamu akan dibaptis dengan Roh Allah.' 17 Nyatalah bahawa Allah mengurniai orang bukan Yahudi itu, pemberian yang seperti kita terima pada masa kita percaya kepada Tuhan Yesus Kristus. Siapakah aku ini sehingga cuba menghalang Allah?'' 18 Apabila mereka mendengar hal itu, mereka tidak mencela Petrus lagi. Lalu mereka memuji Allah dan berkata, "Jika demikian, Allah juga memberikan peluang kepada orang bukan Yahudi untuk bertaubat dan beroleh hidup sejati!'' 19 Pada masa Stefanus dibunuh, orang yang percaya kepada Yesus tercerai-cerai kerana dianiaya. Ada yang lari sampai ke Fenisia, Siprus, dan Antiokhia. Mereka memberitakan perkhabaran daripada Allah kepada orang Yahudi sahaja. 20 Tetapi beberapa orang pengikut Yesus yang berasal dari Siprus dan Kirene, pergi ke Antiokhia. Mereka mengkhabarkan Berita Baik tentang Tuhan Yesus kepada orang bukan Yahudi. 21 Kuasa Tuhan menyertai mereka sehingga banyak orang percaya kepada Tuhan dan mengikut Dia. 22 Jemaah di Yerusalem mendengar peristiwa itu. Oleh itu mereka mengutus Barnabas ke Antiokhia. 23 Apabila dia tiba di Antiokhia dan melihat Allah memberkati orang di situ, dia bersukacita. Lalu dia menggalakkan mereka semua supaya tetap setia kepada Tuhan dengan sepenuh hati. 24 Barnabas seorang yang baik, dikuasai oleh Roh Allah dan sangat percaya kepada Tuhan, dan banyak orang mengikut Tuhan. 25 Kemudian Barnabas pergi ke Tarsus untuk mencari Saulus. 26 Apabila dia menjumpai Saulus, Barnabas membawa Saulus ke Antiokhia, dan selama setahun mereka berkumpul dengan jemaah di situ sambil mengajar banyak orang. Di Antiokhia, untuk kali pertama pengikut-pengikut Yesus disebut orang Kristian. 27 Pada waktu itu, beberapa orang nabi dari Yerusalem datang ke Antiokhia. 28 Seorang daripada mereka bernama Agabus. Dia berdiri dan dengan kuasa Roh Allah, Agabus bernubuat bahawa kebuluran yang teruk akan berlaku di seluruh dunia. (Kebuluran itu berlaku pada masa pemerintahan Kaisar Klaudius.) 29 Semua pengikut Yesus di situ bersetuju untuk mengirim bantuan kepada saudara-saudara seiman yang tinggal di Yudea; masing-masing akan memberikan bantuan menurut kemampuannya. 30 Mereka melakukan hal itu, lalu mengutus Barnabas dan Saulus untuk membawa wang itu kepada pemimpin-pemimpin jemaah.

Kisah Rasul-Rasul 12

1 Pada masa itu Raja Herodes mula menganiaya beberapa orang daripada jemaah. 2 Dengan perintah Raja Herodes, Yakobus, saudara Yohanes dipenggal kepalanya. 3 Apabila Raja Herodes melihat bahawa perkara itu menyenangkan hati orang Yahudi, Raja Herodes melanjutkan perbuatannya yang jahat dengan menangkap Petrus. (Hal ini berlaku pada waktu Perayaan Roti Tidak Beragi.) 4 Setelah Petrus ditangkap, dia dimasukkan ke dalam penjara. Di situ dia dijaga oleh empat kumpulan askar, dan setiap kumpulan terdiri daripada empat orang askar. Raja Herodes bercadang mengadili Petrus di hadapan umum apabila perayaan Paska berakhir. 5 Oleh itu Petrus ditahan di penjara, tetapi jemaah tekun berdoa kepada Allah bagi Petrus. 6 Pada malam sebelum Raja Herodes menghadapkan Petrus kepada orang ramai, Petrus tidur terbelenggu dengan dua rantai yang diikatkan kepada dua orang askar; seorang askar pada setiap sisinya. Di pintu penjara, askar-askar pengawal juga sedang bertugas. 7 Tiba-tiba malaikat Tuhan berdiri di situ dan cahaya bersinar di dalam bilik penjara itu. Malaikat itu menggoyang-goyang Petrus dan membangunkan dia, lalu berkata, "Cepat bangun!'' Pada saat itu juga jatuhlah rantai dari tangan Petrus. 8 Malaikat itu berkata lagi, "Ikat tali pinggangmu dan pakailah kasut.'' Petrus pun berbuat demikian. Kemudian malaikat itu berkata pula, "Pakailah jubahmu dan ikutlah aku.'' 9 Petrus mengikut malaikat itu keluar dari penjara. Tetapi Petrus tidak tahu sama ada perbuatan malaikat itu benar-benar berlaku atau tidak. Petrus menyangka semua itu hanya suatu penglihatan. 10 Mereka melalui tempat penjagaan yang pertama, kemudian yang kedua dan akhirnya tiba di pintu besi yang menuju ke bandar. Pintu itu terbuka dengan sendirinya, lalu mereka keluar. Mereka berjalan melalui suatu lorong, lalu tiba-tiba malaikat itu meninggalkan Petrus. 11 Barulah Petrus menyedari apa yang sudah berlaku kepada dirinya. Dia berkata, "Sekarang aku tahu bahawa semuanya benar-benar berlaku. Tuhan telah mengirim malaikat-Nya untuk melepaskan aku daripada kuasa Raja Herodes dan daripada segala sesuatu yang akan dilakukan orang Yahudi kepadaku.'' 12 Apabila Petrus menyedari keadaannya, dia pergi ke rumah Maria, ibu Yohanes Markus. Banyak orang berkumpul di situ dan sedang berdoa. 13 Petrus mengetuk pintu luar, dan seorang hamba perempuan bernama Rode datang untuk membuka pintu. 14 Dia mengenali suara Petrus, tetapi kerana terlalu gembira dia cepat-cepat masuk kembali tanpa membuka pintu. Dia memberitahu bahawa Petrus berdiri di luar. 15 "Kamu gila!'' kata mereka. Tetapi Rode berkeras mengatakan orang itu Petrus. Oleh itu mereka berkata, "Dia itu malaikatnya!'' 16 Sementara itu Petrus terus-menerus mengetuk pintu. Akhirnya mereka membuka pintu, dan apabila mereka melihat Petrus, mereka hairan sekali. 17 Petrus memberikan isyarat dengan tangan supaya mereka tenang. Lalu dia menceritakan bagaimana Tuhan sudah membawa dia keluar dari penjara. Kemudian Petrus berkata, "Beritahukan hal ini kepada Yakobus dan saudara-saudara yang lain.'' Kemudian dia meninggalkan tempat itu dan pergi ke tempat lain. 18 Pagi berikutnya berlakulah kegemparan di kalangan askar-askar itu. Apakah yang sudah berlaku terhadap Petrus? 19 Raja Herodes menyuruh orang mencari Petrus, tetapi mereka tidak dapat menjumpai dia. Lalu Raja Herodes memberikan perintah supaya askar-askar pengawal itu disoal siasat lalu dihukum mati. Setelah itu Raja Herodes meninggalkan Yudea lalu tinggal di Kaisarea untuk beberapa waktu. 20 Raja Herodes sangat murka terhadap orang Tirus dan Sidon. Oleh itu mereka datang bersama untuk menghadap Raja Herodes. Mula-mula mereka meyakinkan Blastus, orang yang mengepalai istana Raja Herodes, supaya memihak mereka. Kemudian mereka pergi menghadap Raja Herodes dan minta berdamai, kerana bekalan makanan negeri mereka bergantung kepada negeri Raja Herodes. 21 Pada hari yang sudah ditetapkan, Raja Herodes mengenakan pakaian kebesaran lalu bersemayam di takhta dan menyampaikan ucapan kepada rakyat. 22 Orang ramai yang mendengar ucapan Raja Herodes berseru, "Dewalah yang berkata-kata, bukan manusia.'' 23 Pada saat itu juga malaikat Tuhan memukul Raja Herodes, kerana raja tidak menghormati Allah. Raja Herodes dimakan cacing lalu mangkat. 24 Sementara itu firman Allah semakin tersebar luas dan banyak orang percaya kepada Yesus. 25 Setelah Barnabas dan Saulus menyelesaikan tugas, mereka kembali dari Yerusalem dan membawa serta Yohanes Markus.

Kisah Rasul-Rasul 13

1 Di kalangan jemaah di Antiokhia terdapat beberapa orang nabi dan guru: Barnabas, Simeon yang digelar Si Hitam, Lukius dari Kirene, Menahem yang dibesarkan bersama-sama Gabenor Herodes, dan Saulus. 2 Sementara mereka beribadat kepada Tuhan dan berpuasa, Roh Allah berkata kepada mereka, "Pilihlah Barnabas dan Saulus khas untuk-Ku, supaya mereka menjalankan tugas yang sudah Aku tetapkan bagi mereka.'' 3 Setelah berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan ke atas kepala Barnabas dan Saulus, lalu mengutus mereka berdua. 4 Barnabas dan Saulus pergi ke Seleukia, kerana diutus oleh Roh Allah. Dari sana mereka belayar ke pulau Siprus. 5 Apabila mereka tiba di Salamis, mereka menyampaikan firman Allah di rumah ibadat orang Yahudi. Yohanes Markus menolong mereka dalam tugas itu. 6 Mereka menjelajah seluruh pulau itu, sehingga tiba di Pafos. Di situ mereka berjumpa dengan seorang ahli sihir bernama Bar-Yesus, seorang Yahudi yang menganggap dirinya sebagai nabi. 7 Dia sahabat Sergius Paulus, gabenor pulau itu, seorang yang cerdik dan bijaksana. Gabenor itu menjemput Barnabas dan Saulus, kerana dia ingin mendengar firman Allah. 8 Tetapi Barnabas dan Saulus ditentang oleh Elimas ahli sihir itu (itulah namanya dalam bahasa Yunani), kerana Elimas cuba menghalang gabenor itu percaya kepada Yesus. 9 Tetapi Saulus -- yang juga disebut Paulus -- dikuasai oleh Roh Allah, dan menatap ahli sihir itu. 10 Lalu Paulus berkata, "Kamu anak Iblis! Kamu musuh segala apa yang baik. Kamu penuh dengan tipu muslihat. Kamu berdusta mengenai ajaran tentang Tuhan! 11 Tuhan akan menghukum kamu sekarang juga. Kamu akan menjadi buta, dan tidak dapat melihat cahaya matahari untuk sementara waktu.'' Pada saat itu juga Elimas merasa kabus gelap menutupi matanya, sehingga dia berjalan sambil meraba-raba mencari orang yang dapat menuntunnya. 12 Apabila gabenor itu melihat apa yang sudah berlaku, dia percaya kepada Yesus, kerana sangat mengagumi ajaran Tuhan. 13 Paulus dan rakan-rakannya belayar dari Pafos ke kota Perga di daerah Pamfilia. Di situ Yohanes Markus meninggalkan mereka lalu kembali ke Yerusalem. 14 Mereka melanjutkan perjalanan dari Perga ke kota Antiokhia di Pisidia. Pada hari Sabat mereka masuk ke rumah ibadat lalu duduk di situ. 15 Setelah Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi dibacakan, para pemimpin rumah ibadat itu menyuruh orang berkata kepada Paulus dan rakannya, "Saudara-saudara, jika ada nasihat untuk menggalakkan orang di sini, silalah katakan.'' 16 Paulus berdiri lalu memberikan isyarat dengan tangan, dan mula berkata, "Saudara-saudara bangsa Israel dan semua saudara lain di sini yang taat kepada Allah, dengarlah! 17 Allah orang Israel telah memilih nenek moyang kita dan menjadikan mereka bangsa yang besar, semasa mereka tinggal di Mesir sebagai orang asing. Allah membawa mereka keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya yang besar. 18 Dia bersabar terhadap mereka selama empat puluh tahun di padang gurun. 19 Dia memusnahkan tujuh bangsa di tanah Kanaan dan menjadikan negeri itu milik umat-Nya. 20 Semua itu berlangsung selama 450 tahun. Setelah itu Allah mengurniai mereka hakim-hakim sehingga masa Nabi Samuel. 21 Apabila mereka meminta seorang raja, Allah memberi mereka Saul anak Kis daripada suku Benyamin untuk menjadi raja selama empat puluh tahun. 22 Setelah Allah menyingkirkan dia daripada kedudukannya, Allah menjadikan Daud raja mereka. Inilah yang dikatakan oleh Allah tentang Daud, `Aku mendapati Daud anak Isai seorang yang menyenangkan hati-Ku. Dia orang yang akan melakukan segala kehendak-Ku.' 23 Yesuslah keturunan Daud, dan Allah menjadikan Dia Penyelamat bangsa Israel, seperti yang dijanjikan-Nya. 24 Sebelum Yesus memulakan tugas-Nya, Yohanes menyeru supaya semua orang Israel bertaubat daripada dosa lalu dibaptis. 25 Apabila Yohanes hampir menyelesaikan tugasnya, dia berkata kepada orang ramai, `Siapakah aku ini menurut pendapat kamu? Aku bukan orang yang kamu tunggu-tunggu. Dengarlah baik-baik! Dia akan datang kemudian, dan aku tidak layak membuka kasut-Nya.' 26 Saudara-saudara keturunan Abraham, dan semua saudara lain di sini yang taat kepada Allah! Allah sudah mengirim berita penyelamatan itu kepada kita. 27 Orang yang tinggal di Yerusalem dan pemimpin-pemimpin mereka tidak sedar bahawa Dialah Penyelamat itu. Mereka tidak memahami ajaran nabi-nabi yang dibacakan setiap hari Sabat, sehingga mereka menghukum Yesus. Tetapi melalui perbuatan mereka itu berlakulah apa yang sudah dikatakan oleh nabi-nabi. 28 Meskipun mereka tidak mempunyai alasan apa-apa untuk menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus, namun mereka meminta Pilatus menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. 29 Setelah mereka melakukan semua yang tertulis di dalam Alkitab tentang Dia, mereka menurunkan jenazah-Nya dari salib dan meletakkannya di dalam kubur. 30 Tetapi Allah membangkitkan Dia daripada kematian. 31 Kemudian selama beberapa hari Dia menampakkan diri kepada mereka yang dahulu berjalan bersama-sama Dia dari Galilea ke Yerusalem. Sekarang mereka menjadi saksi bagi-Nya kepada bangsa Israel. 32 Oleh itu kami di sini untuk menyampaikan Berita Baik ini kepada kamu. Apa yang dijanjikan oleh Allah kepada nenek moyang kita, 33 sudah dilakukan-Nya bagi kita, iaitu keturunan mereka, dengan membangkitkan Yesus daripada kematian. Seperti yang tertulis di dalam Kitab Mazmur fasal dua, `Engkaulah Anak-Ku, pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.' 34 Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian; Dia tidak akan mengalami kematian lagi. Tentang hal ini Allah berfirman, `Aku akan memberkati kamu dengan berkat yang suci, seperti yang Aku janjikan kepada Daud.' 35 Begitu juga dalam ayat lain Dia berfirman, `Engkau tidak akan membiarkan Hamba-Mu yang setia itu reput di dalam kubur.' 36 Pada masa hidupnya, Daud melakukan kehendak Allah, lalu Daud meninggal, dikuburkan dengan nenek moyangnya dan jenazahnya reput. 37 Tetapi hal ini tidak berlaku terhadap Dia yang dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. 38 Oleh itu, saudara-saudara, ketahuilah bahawa melalui Yesus berita tentang pengampunan dosa sudah disampaikan kepada saudara semua. Setiap orang yang percaya kepada-Nya dibebaskan daripada segala dosa yang tidak dapat dihapus oleh Taurat Musa. 40 Berwaspadalah supaya apa yang dikatakan nabi-nabi ini tidak berlaku kepada saudara semua, 41 `Dengarlah hai orang yang menghina Allah! Kamu akan kehairanan lalu binasa! Apa yang Aku lakukan pada masa ini tidak akan kamu percayai, meskipun orang menerangkannya kepada kamu!' '' 42 Apabila Paulus dan Barnabas meninggalkan rumah ibadat itu, orang Yahudi meminta mereka datang kembali pada hari Sabat yang berikutnya, untuk memberitahu mereka perkara-perkara itu lagi. 43 Apabila perhimpunan di rumah ibadat berakhir, banyak orang Yahudi dan orang bangsa lain yang menganut agama Yahudi, mengikut Paulus dan Barnabas. Rasul-rasul itu menasihati mereka supaya terus-menerus hidup bersandar kepada rahmat Allah. 44 Pada hari Sabat berikutnya, hampir semua orang di bandar itu datang mendengar firman Tuhan. 45 Apabila orang Yahudi melihat orang ramai itu, mereka iri hati. Mereka menentang kata-kata Paulus dan menghina dia. 46 Tetapi Paulus dan Barnabas berkata-kata dengan lebih berani lagi. Mereka berkata, "Firman Allah memang harus disampaikan kepada kamu terlebih dahulu. Tetapi kerana kamu menolak firman-Nya, dan menganggap diri kamu tidak layak menerima hidup sejati dan kekal, kami akan meninggalkan kamu lalu pergi kepada bangsa lain. 47 Hal itu demikian kerana inilah perintah yang diberikan oleh Tuhan kepada kami, `Aku sudah menetapkan supaya kamu menjadi cahaya bagi bangsa bukan Yahudi, dan melalui kamu, Allah akan menyelamatkan seluruh dunia.' '' 48 Apabila orang bukan Yahudi mendengar kata-kata itu, mereka bersukacita dan memuji firman Tuhan. Mereka yang sudah dipilih oleh Allah untuk menerima hidup sejati dan kekal, pun percaya kepada Yesus. 49 Firman Tuhan tersebar ke serata tempat di daerah itu. 50 Tetapi orang Yahudi menghasut pembesar-pembesar kota itu dan wanita-wanita terkemuka bangsa asing yang takut akan Allah. Mereka mula menganiaya Paulus dan Barnabas, dan menghalau mereka berdua dari daerah itu. 51 Rasul-rasul itu mengebaskan debu pada kaki mereka di hadapan orang di situ sebagai amaran, lalu pergi ke Ikonium. 52 Tetapi pengikut-pengikut Yesus di Antiokhia sangat bersukacita dan mereka dikuasai oleh Roh Allah.

Kisah Rasul-Rasul 14

1 Hal yang sama juga berlaku di Ikonium. Paulus dan Barnabas masuk ke rumah ibadat orang Yahudi dan berkata-kata sedemikian rupa sehingga banyak orang Yahudi dan orang bangsa lain percaya kepada Yesus. 2 Tetapi orang Yahudi yang tidak mahu percaya kepada Yesus, menghasut orang bangsa lain sehingga mereka membenci orang yang percaya kepada Yesus. 3 Rasul-rasul tinggal lama di situ dan berkata-kata dengan berani tentang Tuhan. Tuhan pun membuktikan bahawa perkhabaran mereka tentang kasih-Nya itu benar dengan memberi mereka kuasa melakukan mukjizat dan perkara-perkara yang luar biasa. 4 Penduduk di bandar itu terbahagi menjadi dua golongan: ada yang berpihak kepada orang Yahudi dan ada yang berpihak kepada rasul-rasul itu. 5 Lalu orang Yahudi dan orang bukan Yahudi bersama-sama para pemimpin mereka bersepakat untuk menganiaya dan merejam rasul-rasul itu. 6 Apabila rasul-rasul mengetahui hal itu, mereka lari ke Listra dan Derbe, bandar-bandar di Likaonia dan ke daerah di sekitarnya. 7 Di situ mereka mengkhabarkan Berita Baik itu. 8 Di Listra ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak lahir dan dia tidak pernah berjalan. 9 Dia duduk di situ dan mendengarkan kata-kata Paulus. Paulus melihat bahawa orang itu dapat disembuhkan kerana dia percaya. Oleh itu Paulus menatap dia 10 dan berkata dengan suara lantang, "Berdirilah tegak!'' Orang itu melompat berdiri dan mula berjalan. 11 Apabila orang ramai melihat apa yang telah dilakukan oleh Paulus, mereka mula berseru dalam bahasa Likaonia, "Lihatlah, dewa-dewa sudah menjadi seperti manusia dan turun ke dunia.'' 12 Barnabas dinamakan Zeus, dan Paulus dinamakan Hermes kerana dia yang berkata-kata. 13 Imam dewa Zeus, yang kuilnya terletak di luar bandar, datang membawa lembu jantan dan bunga ke pintu gerbang. Dia dan orang ramai hendak mempersembahkan korban kepada rasul-rasul itu. 14 Apabila Barnabas dan Paulus mendengar apa yang akan dilakukan oleh orang di situ, mereka mengoyak-ngoyak pakaian lalu berlari ke tengah-tengah orang ramai sambil berseru, 15 "Mengapa kamu melakukan hal ini? Kami pun manusia seperti kamu semua! Kami datang di sini untuk mengkhabarkan Berita Baik supaya kamu meninggalkan berhala-berhala yang tidak berguna itu, lalu datang kepada Allah yang hidup, Pencipta langit, bumi, dan laut serta semua yang ada di dalamnya. 16 Pada masa yang lampau Allah membiarkan semua orang mengikut kemahuan masing-masing. 17 Tetapi Allah sentiasa memberikan bukti-bukti tentang diri-Nya dengan perkara-perkara baik yang dilakukan-Nya. Dia mengurniai kamu hujan dari langit serta hasil bumi pada musimnya. Dia mengurniai kamu makanan serta menyenangkan hati kamu.'' 18 Walaupun rasul-rasul berkata demikian, masih sukar juga mereka mencegah orang ramai mempersembahkan korban kepada mereka. 19 Beberapa orang Yahudi yang datang dari Antiokhia di Pisidia dan juga dari Ikonium mempengaruhi orang ramai sehingga berpihak kepada mereka. Mereka merejam Paulus, lalu menyeret dia ke luar bandar. Mereka menyangka Paulus sudah mati. 20 Tetapi apabila pengikut Yesus di situ berkumpul di sekeliling Paulus, dia bangun lalu masuk kembali ke bandar. Keesokan harinya dia dan Barnabas berangkat ke Derbe. 21 Di Derbe, Paulus dan Barnabas mengkhabarkan Berita Baik dan banyak orang menjadi pengikut Yesus. Kemudian mereka kembali ke Listra, lalu pergi ke Ikonium dan kemudian ke Antiokhia di Pisidia. 22 Mereka menguatkan hati pengikut-pengikut di situ dan menggalakkan mereka supaya tetap percaya kepada Yesus. Rasul-rasul itu berkata, "Kita harus mengalami banyak penderitaan supaya kita dapat menikmati Pemerintahan Allah.'' 23 Paulus dan Barnabas melantik pemimpin-pemimpin bagi setiap jemaah, lalu dengan berdoa dan berpuasa mereka menyerahkan jemaah kepada pemeliharaan Tuhan yang dipercayai oleh mereka. 24 Setelah Paulus dan Barnabas menjelajah daerah Pisidia, mereka sampai ke Pamfilia. 25 Mereka mengkhabarkan Berita Baik di Perga, lalu mereka pergi ke Atalia. 26 Dari situ mereka belayar kembali ke Antiokhia. Dahulu di kota itu mereka diserahkan kepada Allah yang akan memelihara mereka dengan penuh kasih, supaya dapat menjalankan tugas yang sekarang sudah diselesaikan. 27 Apabila mereka tiba di Antiokhia, mereka mengumpulkan jemaah di situ dan menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh Allah melalui mereka. Mereka memberitahu bahawa Allah sudah membuka jalan supaya orang bukan Yahudi percaya kepada Yesus. 28 Paulus dan Barnabas tinggal lama dengan pengikut-pengikut Yesus di situ.

Kisah Rasul-Rasul 15

1 Beberapa orang dari Yudea datang ke Antiokhia dan mula mengajar pengikut Yesus di situ, "Kamu tidak dapat diselamatkan jika kamu tidak disunat menurut Taurat Musa.'' 2 Tetapi Paulus dan Barnabas menentang keras ajaran mereka itu. Akhirnya Paulus dan Barnabas dipilih supaya pergi ke Yerusalem dengan beberapa orang lain dari Antiokhia untuk membincangkan masalah itu dengan rasul-rasul dan para pemimpin jemaah di situ. 3 Lalu jemaah di Antiokhia menghantar mereka sampai ke luar bandar. Sementara mereka melalui daerah Fenisia dan Samaria, mereka memberitahu bahawa orang bukan Yahudi sudah percaya kepada Allah. Berita ini menggembirakan semua pengikut Yesus di situ. 4 Apabila Paulus dan Barnabas tiba di Yerusalem, mereka disambut oleh jemaah, para rasul, dan pemimpin jemaah. Lalu Paulus dan Barnabas menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh Allah melalui mereka. 5 Tetapi beberapa orang Farisi yang percaya kepada Yesus, berdiri dan berkata, "Orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus harus disunat dan diwajibkan menurut Taurat Musa.'' 6 Lalu para rasul dan pemimpin jemaah berkumpul untuk membincangkan masalah itu. 7 Setelah berbincang lama sekali, akhirnya Petrus berdiri dan berkata, "Saudara-saudara tentu tahu bahawa beberapa waktu yang lalu Allah memilih saya daripada kalangan saudara untuk mengkhabarkan Berita Baik itu kepada orang bukan Yahudi, supaya mereka pun boleh mendengar dan percaya. 8 Allah yang mengenal hati manusia sudah menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada orang bukan Yahudi dengan mengurniakan Roh Allah kepada mereka seperti yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita. 9 Allah tidak membeza-bezakan orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi. Dia mengampunkan dosa mereka kerana mereka percaya. 10 Oleh itu, mengapakah saudara-saudara mahu mencubai Allah dengan membebani pengikut-pengikut ini dengan kewajipan berat yang baik nenek moyang kita mahupun kita sendiri tidak sanggup melakukannya? 11 Janganlah berbuat demikian! Kita percaya dan diselamatkan kerana rahmat Tuhan Yesus; demikianlah Allah menyelamatkan mereka juga.'' 12 Semua orang yang berkumpul di situ diam, sementara mendengarkan laporan Barnabas dan Paulus tentang segala mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Allah di kalangan orang bukan Yahudi melalui mereka. 13 Setelah mereka selesai memberikan laporan, Yakobus berkata, "Saudara-saudara, dengarlah! 14 Simon baru sahaja menerangkan bagaimana Allah pada mulanya menunjukkan kasih-Nya kepada orang bukan Yahudi dengan memilih suatu kelompok di kalangan mereka untuk menjadi umat-Nya. 15 Hal ini sesuai dengan nubuat nabi-nabi, kerana di dalam Alkitab tertulis, 16 `Setelah itu Aku akan kembali, firman Tuhan, Aku akan membina semula rumah Daud yang sudah roboh, dan memperbaiki runtuhannya. Aku akan menegakkannya semula, 17 supaya semua orang yang lain akan mencari Aku, semua bangsa lain yang bukan Yahudi sudah Aku panggil untuk menjadi umat-Ku. 18 Demikianlah firman Tuhan yang telah menyatakan hal ini sejak dahulu.' '' 19 Yakobus melanjutkan kata-katanya, "Menurut pendapat saya, kita tidak boleh menyusahkan orang bukan Yahudi yang percaya kepada Allah. 20 Sebaliknya, kita harus menulis sepucuk surat untuk menasihati mereka supaya tidak makan makanan yang najis di sisi agama kerana sudah dipersembahkan kepada berhala, atau makan daging binatang yang mati dicekik, atau makan darah. Mereka harus menjauhkan diri juga daripada perbuatan cabul. 21 Hal itu demikian, kerana sejak dahulu Taurat Musa telah dibacakan di rumah-rumah ibadat pada setiap hari Sabat, dan diberitakan di setiap kota.'' 22 Kemudian para rasul dan pemimpin jemaah bersama-sama jemaah itu membuat keputusan untuk memilih beberapa orang di kalangan mereka dan mengutus mereka ke Antiokhia bersama-sama Paulus dan Barnabas. Lalu mereka memilih Silas dan Yudas yang juga disebut Barsabas. Kedua-dua orang itu sangat dihormati oleh pengikut Yesus di Yerusalem. 23 Sepucuk surat yang berbunyi sebagai berikut dikirim melalui mereka, "Kepada semua saudara yang berasal daripada bangsa bukan Yahudi, yang tinggal di Antiokhia, Siria, dan Kilikia. Salam daripada kami, rasul-rasul, pemimpin-pemimpin jemaah, dan jemaah di sini. 24 Kami mendengar bahawa beberapa orang daripada kalangan kami sudah menyusahkan dan membingungkan saudara semua dengan ajaran mereka. Padahal kami tidak menyuruh mereka melakukan hal itu. 25 Oleh itu kami bermesyuarat dan bersetuju memilih beberapa orang lalu mengutus mereka kepada saudara semua. Mereka akan pergi dengan Barnabas dan Paulus. 26 Kedua-dua orang saudara yang kami kasihi itu sudah mempertaruhkan nyawa kerana mengabdikan diri kepada Tuhan kita Yesus Kristus. 27 Kami mengutus Yudas dan Silas, lalu mereka akan memberitahukan hal yang sama, seperti yang kami tuliskan dalam surat ini. 28 Roh Allah dan kami bersetuju bahawa kami tidak perlu membebani saudara semua dengan kewajipan lain, kecuali yang mustahak sahaja: 29 Janganlah makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala; jangan makan darah; jangan makan daging binatang yang mati dicekik, dan jauhkan diri daripada perbuatan cabul. Jika saudara semua tidak melakukan perkara-perkara itu, saudara-saudara berbuat yang betul. Sekian sahaja dan salam bahagia.'' 30 Mereka yang diutus itu berangkat ke Antiokhia. Di situ mereka mengumpulkan semua pengikut Yesus lalu menyampaikan surat itu. 31 Apabila jemaah membaca surat itu, mereka bersukacita kerana surat itu menggalakkan mereka. 32 Yudas dan Silas, yang kedua-duanya nabi, bercakap lama sekali dengan mereka untuk memberikan semangat dan keberanian. 33 Setelah Yudas dan Silas tinggal di situ beberapa lama, jemaah di Antiokhia menyuruh mereka kembali dengan sejahtera kepada orang yang mengutus mereka. 34 Tetapi Silas mengambil keputusan untuk tetap tinggal di situ. 35 Paulus dan Barnabas pun tinggal di Antiokhia beberapa lama. Di situ mereka mengajar dan menyampaikan firman Tuhan bersama-sama banyak orang lain. 36 Beberapa lama kemudian Paulus berkata kepada Barnabas, "Marilah kita lawat semula saudara-saudara yang percaya kepada Yesus di semua kota yang sudah kita sampaikan firman Tuhan. Marilah kita lihat sama ada mereka tetap percaya kepada Tuhan.'' 37 Barnabas hendak membawa Yohanes Markus, 38 tetapi Paulus tidak bersetuju untuk membawanya, kerana Markus meninggalkan mereka di Pamfilia, dan tidak menyertai mereka menyelesaikan tugas. 39 Oleh itu Paulus dan Barnabas bertengkar dengan sengit sehingga akhirnya mereka berpisah. Barnabas membawa Markus bersama-samanya lalu belayar ke Siprus. 40 Paulus memilih Silas, lalu berangkat dengan dia setelah jemaah di Antiokhia menyerahkan mereka kepada rahmat Tuhan. 41 Mereka menjelajahi daerah Siria dan Kilikia, serta menguatkan jemaah di situ.

Kisah Rasul-Rasul 16

1 Paulus meneruskan perjalanan ke Derbe dan kemudian ke Listra. Seorang pengikut Yesus bernama Timotius tinggal di situ. Ibunya, orang Yahudi yang sudah percaya kepada Yesus; tetapi bapanya orang Yunani. 2 Semua pengikut Yesus yang tinggal di Listra dan Ikonium memuji Timotius. 3 Paulus hendak membawa Timotius dengannya. Oleh itu Paulus menyunat Timotius, kerana semua orang Yahudi di daerah itu tahu bahawa bapa Timotius orang Yunani. 4 Di setiap kota yang dikunjungi, mereka menyampaikan peraturan yang sudah ditetapkan oleh para rasul dan pemimpin jemaah di Yerusalem. Jemaah dinasihati supaya menurut peraturan itu. 5 Oleh itu iman jemaah semakin teguh dan setiap hari bilangan mereka semakin bertambah. 6 Kerana Roh Allah tidak membenarkan mereka memberitakan firman Allah di wilayah Asia, mereka menjelajah daerah Frigia dan Galatia. 7 Apabila mereka tiba di perbatasan Misia, mereka mencuba masuk ke wilayah Bitinia, tetapi Roh Yesus tidak membenarkan mereka. 8 Oleh itu mereka terus pergi ke Troas melalui Misia. 9 Pada malam itu dalam suatu penglihatan Paulus melihat seorang Makedonia berdiri di hadapannya dan memohon, "Marilah datang ke Makedonia dan tolonglah kami!'' 10 Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami bersependapat bahawa Allah telah menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik kepada orang di situ. Oleh itu kami segera bersiap-siap untuk berangkat ke Makedonia. 11 Kami meninggalkan Troas lalu langsung belayar ke Samotrake, dan hari berikutnya ke Neapolis. 12 Dari situ kami menuju ke Filipi, sebuah kota di daerah pertama negeri Makedonia. Filipi juga jajahan Empayar Roma. Di situ kami tinggal beberapa hari. 13 Pada hari Sabat kami ke luar bandar dan pergi ke tepi sungai, kerana kami berfikir di situ terdapat tempat orang Yahudi berdoa. Kami duduk dan bercakap dengan wanita-wanita yang berkumpul di situ. 14 Salah seorang pendengar kami bernama Lidia, pedagang kain ungu yang mahal. Dia berasal dari Tiatira dan dia mengasihi Allah. Oleh itu Tuhan membuka fikirannya sehingga dia menyambut ajaran Paulus. 15 Lidia dan seisi rumahnya dibaptis. Setelah itu dia menjemput kami ke rumahnya. Dia berkata, "Jika saudara-saudara yakin bahawa saya benar-benar percaya kepada Tuhan, marilah menumpang di rumah saya.'' Dia mendesak supaya kami pergi ke rumahnya. 16 Pada suatu hari, kami sedang pergi ke tempat orang berdoa, apabila kami berjumpa dengan seorang hamba wanita. Dia dirasuk oleh roh jahat yang membolehkan dia meramalkan peristiwa yang akan datang. Dengan meramalkan nasib orang, dia mendatangkan keuntungan yang besar bagi pemilik-pemiliknya. 17 Wanita itu mengikuti Paulus dan kami sambil berseru, "Mereka hamba Allah Yang Maha Tinggi! Mereka datang untuk memberitahu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!'' 18 Selama beberapa hari wanita itu terus-menerus berseru demikian, sehingga Paulus menjadi marah, lalu berpaling dan berkata kepada roh itu, "Demi nama Yesus Kristus aku memerintah engkau keluar daripada wanita ini!'' Pada saat itu juga roh itu meninggalkan wanita itu. 19 Apabila pemilik-pemiliknya sedar bahawa kesempatan untuk mendapat wang sudah lenyap, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret kedua-dua mereka menghadap pihak berkuasa di padang kota. 20 Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Roma dan berkata, "Kedua-dua orang ini orang Yahudi. Mereka menyebabkan kekacauan di kota kita. 21 Mereka mengajarkan adat resam yang bertentangan dengan hukum kita. Kita orang Roma dan tidak dapat menerima atau menurut adat resam itu!'' 22 Orang ramai pun turut menyerang Paulus dan Silas. Pegawai-pegawai kerajaan mengoyak pakaian Paulus dan Silas lalu menyuruh orang mencambuk mereka. 23 Setelah mereka dicambuk dengan teruk, mereka dimasukkan ke dalam penjara. Ketua penjara disuruh menjaga mereka dengan ketat. 24 Setelah menerima perintah itu, ketua penjara itu menahan mereka di bilik penjara yang paling dalam, dan mengenakan pasung pada kaki mereka. 25 Kira-kira tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan puji-pujian kepada Allah. Orang tahanan yang lain mendengar mereka. 26 Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat sekali, sehingga asas penjara itu bergoncang. Semua pintu penjara terbuka dan rantai yang membelenggu semua orang tahanan pun terlepas. 27 Ketua penjara itu terjaga, dan apabila dia nampak pintu-pintu penjara terbuka, dia menyangka semua orang tahanan sudah lari. Oleh itu dia menghunus pedang untuk membunuh diri. 28 Tetapi Paulus berseru dengan kuat sekali, "Jangan bunuh diri! Kami semua masih di sini!'' 29 Ketua penjara itu meminta suluh lalu lari ke dalam, dan dengan gementar dia menjatuhkan diri pada kaki Paulus dan Silas. 30 Kemudian ketua penjara itu membawa mereka keluar dan berkata, "Tuan-tuan, apakah yang harus saya lakukan supaya diselamatkan?'' 31 Paulus dan Silas menjawab, "Percayalah kepada Tuhan Yesus, lalu kamu akan diselamatkan -- kamu dan keluargamu!'' 32 Lalu Paulus dan Silas menerangkan firman Tuhan kepada ketua penjara itu dan kepada semua orang di rumahnya. 33 Pada malam itu juga, ketua penjara itu membawa mereka ke suatu tempat dan membasuh luka-luka mereka. Lalu dia dan keluarganya dibaptis. 34 Kemudian dia membawa Paulus dan Silas ke rumahnya lalu memberi mereka makanan. Ketua penjara itu dan keluarganya bersukacita kerana mereka sekarang percaya kepada Allah. 35 Keesokan paginya, pegawai-pegawai kerajaan Roma menyuruh pegawai-pegawai polis ke penjara untuk menyampaikan perintah supaya Paulus dan Silas dibebaskan. 36 Ketua penjara itu memberitahu Paulus, "Pergilah dengan sejahtera, kerana pegawai-pegawai kerajaan sudah memberikan perintah supaya tuan berdua dibebaskan.'' 37 Tetapi Paulus berkata kepada pegawai-pegawai polis itu, "Kami warganegara Roma! Kami tidak didapati bersalah, tetapi kami sudah dicambuk di hadapan orang ramai, lalu dimasukkan ke dalam penjara. Sekarang mereka mahu menyuruh kami pergi dengan diam-diam! Kami tidak mahu! Pegawai-pegawai kerajaan Roma itu sendiri harus ke mari dan membebaskan kami.'' 38 Pegawai-pegawai polis itu melaporkan hal itu kepada pegawai-pegawai kerajaan Roma. Apabila mereka mendengar bahawa Paulus dan Silas warganegara Roma, mereka takut. 39 Oleh itu mereka datang meminta maaf. Kemudian mereka memimpin Paulus dan Silas keluar dari penjara, dan meminta supaya mereka meninggalkan kota itu. 40 Paulus dan Silas meninggalkan penjara itu lalu pergi ke rumah Lidia. Di situ mereka berjumpa dengan pengikut-pengikut Yesus, dan setelah menggalakkan orang di situ, Paulus dan Silas berangkat.

Kisah Rasul-Rasul 17

1 Paulus dan Silas meneruskan perjalanan melalui Amfipolis dan Apolonia, lalu tiba di Tesalonika. Di situ terdapat rumah ibadat orang Yahudi. 2 Seperti yang biasa dilakukan oleh Paulus, dia pergi ke rumah ibadat, dan berbincang dengan orang di situ tentang ayat-ayat Alkitab. Dia melakukan hal itu selama tiga hari Sabat berturut-turut. 3 Dia menjelaskan ayat-ayat Alkitab itu dan membuktikan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan dan bangkit daripada kematian. Paulus berkata bahawa Yesus yang diberitakannya kepada mereka itu Penyelamat yang diutus oleh Allah. 4 Beberapa orang antara mereka percaya kepada kata-kata Paulus lalu mengikut Paulus dan Silas; begitu juga sebilangan besar orang Yunani yang takut akan Allah, dan banyak lagi wanita terkemuka. 5 Tetapi orang Yahudi iri hati, lalu mengumpulkan pengacau di jalan-jalan dan membentuk kumpulan perusuh. Lalu mereka menimbulkan kekacauan di seluruh kota itu dan menyerbu rumah Yason untuk mencari Paulus dan Silas. Mereka hendak membawa Paulus dan Silas menghadap orang ramai. 6 Tetapi apabila mereka tidak dapat menjumpai Paulus dan Silas, mereka menyeret Yason dan beberapa orang pengikut Yesus lainnya ke hadapan pihak berkuasa di kota itu dan berseru, "Semua orang ini sudah menimbulkan kekacauan di serata tempat. Sekarang mereka datang ke kota kita, 7 dan Yason menyambut mereka di rumahnya. Mereka semua melanggar hukum Kaisar Roma, kerana mereka berkata bahawa ada raja lain yang bernama Yesus.'' 8 Dengan kata-kata itu mereka menimbulkan kegemparan di kalangan orang ramai dan pihak berkuasa kota itu. 9 Lalu pihak berkuasa menyuruh Yason dan pengikut Yesus lainnya membayar ikat jamin. Setelah itu mereka dibenarkan pergi. 10 Pada malam itu pengikut Yesus di kota itu menyuruh Paulus dan Silas pergi ke Berea. Sebaik sahaja tiba di situ, mereka pergi ke rumah ibadat orang Yahudi. 11 Fikiran orang di situ lebih terbuka daripada fikiran orang di Tesalonika. Mereka suka sekali mendengar perkhabaran tentang Yesus, dan tiap-tiap hari mereka mengkaji Alkitab untuk mengetahui sama ada ajaran Paulus itu benar. 12 Banyak antara mereka percaya kepada Yesus. Banyak wanita Yunani yang terkemuka, dan orang lelaki Yunani yang percaya kepada Yesus. 13 Apabila orang Yahudi di Tesalonika mendengar bahawa Paulus mengkhabarkan firman Allah di Berea juga, mereka pun datang dan mula menghasut orang ramai supaya merusuh. 14 Dengan segera pengikut Yesus di situ menghantar Paulus ke pantai, tetapi Silas dan Timotius tetap tinggal di Berea. 15 Setelah menghantar Paulus sampai ke Atena, pengikut Yesus dari Berea kembali dengan membawa arahan daripada Paulus supaya Silas dan Timotius menyusul dia secepat mungkin. 16 Sementara Paulus menantikan Silas dan Timotius di Atena, hatinya sedih melihat kota itu penuh dengan berhala. 17 Oleh itu dia berbincang dengan orang Yahudi di rumah ibadat dan dengan orang bukan Yahudi yang menyembah Allah. Setiap hari Paulus berbincang dengan sesiapa sahaja yang lalu di padang kota dan mahu mendengarkan dia. 18 Beberapa orang guru yang mengikut faham Epikuros dan faham Stoa, berdebat dengan Paulus. Beberapa orang antara mereka bertanya, "Orang ini tahu apa? Pengetahuannya cetek, tetapi berlagak pandai!'' Yang lain menjawab, "Nampaknya dia bercakap tentang dewa bangsa asing.'' Mereka berkata demikian kerana Paulus berkata-kata tentang Yesus dan tentang kebangkitan daripada kematian. 19 Oleh itu mereka membawa Paulus ke mesyuarat Areopagus. Di situ mereka berkata, "Kami ingin mendengar ajaran baru yang kamu beritakan itu. 20 Beberapa perkara yang kamu kemukakan itu aneh pada pendengaran kami. Oleh itu kami ingin mengetahui maknanya.'' ( 21 Mereka berkata demikian, kerana semua orang Atena dan orang bangsa asing yang tinggal di situ suka sekali menghabiskan masa dengan mendengar dan menceritakan hal-hal yang paling mutakhir.) 22 Lalu Paulus berdiri di hadapan orang yang berkumpul di Areopagus dan berkata, "Saudara-saudara orang Atena! Saya melihat bahawa dalam segala hal, saudara-saudara sangat menghormati dewa-dewa. 23 Pada masa saya menjelajahi bandar dan melihat tempat ibadat saudara semua, saya menjumpai sebuah mazbah yang bertuliskan, `Kepada Allah Yang Tidak Dikenal'. Sebenarnya, Allah yang saudara-saudara sembah tetapi tidak saudara-saudara kenal, Dialah yang sekarang saya beritakan kepada saudara semua. 24 Allah yang menjadikan dunia ini dengan segala isinya, Dialah Tuhan langit dan bumi. Dia tidak tinggal di dalam kuil-kuil yang dibuat oleh manusia. 25 Dia juga tidak memerlukan pertolongan manusia, kerana Dialah yang memberikan hidup dan nafas serta segala sesuatu kepada manusia. 26 Daripada seorang manusia, Dia menjadikan semua bangsa dan menyuruh mereka mendiami seluruh bumi. Sejak permulaan Dia juga menetapkan masa dan tempat mereka boleh hidup. 27 Allah berbuat demikian supaya mereka mencari Dia, dan mudah-mudahan mereka menjumpai Dia semasa mereka mencari-cari Dia. Tetapi sebenarnya Allah tidak jauh daripada kita masing-masing, 28 dan kerana Dia, kita hidup dan bergerak dan ada di dunia ini. Beberapa orang penyair saudara semua juga berkata, `Kita semua anak-Nya.' 29 Kerana kita anak Allah, kita tidak boleh menganggap Allah seperti patung yang dibuat daripada emas atau perak atau batu, yang direka bentuk menurut kemahiran manusia. 30 Allah tidak mahu mengingat masa kita tidak mengenal Dia dahulu, tetapi sekarang Dia menyuruh semua orang di seluruh dunia bertaubat daripada cara hidup yang jahat. 31 Hal itu demikian kerana Dia sudah menetapkan suatu hari untuk mengadili seluruh dunia ini dengan adil. Tugas itu akan dilakukan oleh satu orang yang sudah dipilih-Nya. Supaya semua orang yakin akan hal itu, Allah sudah membangkitkan orang itu daripada kematian!'' 32 Apabila orang di situ mendengar Paulus berkata tentang kebangkitan daripada kematian, beberapa orang antara mereka mengolok-olokkan dia. Tetapi yang lain berkata, "Kami ingin mendengar saudara bercakap tentang hal ini lagi.'' 33 Lalu Paulus meninggalkan mesyuarat itu. 34 Beberapa orang mengikut Paulus dan percaya kepada Yesus. Antara mereka termasuk Dionisius, anggota mesyuarat Areopagus dan seorang wanita bernama Damaris serta beberapa orang lain.

Kisah Rasul-Rasul 18

1 Setelah itu Paulus meninggalkan Atena dan pergi ke Korintus. 2 Di situ dia berjumpa dengan seorang Yahudi bernama Akwila, yang dilahirkan di negeri Pontus. Akwila baru sahaja datang dari Italia dengan isterinya, Priskila. Mereka datang ke Korintus kerana Kaisar Klaudius mengusir semua orang Yahudi dari Roma. Paulus pergi menjumpai Akwila dan Priskila, 3 lalu tinggal dan bekerja bersama-sama mereka, kerana mereka dan Paulus sama-sama menyara hidup dengan membuat khemah. 4 Setiap hari Sabat, Paulus mengadakan perbincangan dengan orang yang berkumpul di rumah ibadat untuk meyakinkan orang Yahudi mahupun orang Yunani tentang Yesus. 5 Setelah Silas dan Timotius tiba dari Makedonia, Paulus menggunakan seluruh masanya untuk memberitakan perkhabaran daripada Allah. Dia memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah. 6 Tetapi mereka menentang dan menghina Paulus. Oleh itu Paulus mengebaskan debu daripada pakaiannya sebagai amaran kepada mereka dan berkata, "Jika kamu binasa, kamu sendiri yang bertanggungjawab. Aku tidak bertanggungjawab terhadap hal itu. Mulai sekarang aku akan pergi kepada orang bukan Yahudi.'' 7 Lalu Paulus meninggalkan mereka dan pergi tinggal di rumah seorang bukan Yahudi yang bernama Titius Yustus. Dia menyembah Allah, dan rumahnya di sebelah rumah ibadat itu. 8 Krispus, ketua rumah ibadat itu dengan semua anggota keluarganya percaya kepada Tuhan Yesus. Banyak orang lain di Korintus juga mendengar berita daripada Allah, dan mereka percaya kepada Yesus lalu dibaptis. 9 Pada suatu malam dalam suatu penglihatan, Tuhan berfirman kepada Paulus, "Janganlah takut! Berkata-katalah terus dan jangan berhenti, 10 kerana Aku menyertai engkau. Tidak seorang pun dapat mencederakan engkau, kerana banyak orang di kota ini umat-Ku.'' 11 Oleh itu Paulus tinggal di Korintus selama setahun setengah, dan mengajarkan perkhabaran daripada Allah kepada orang di situ. 12 Semasa Galio menjadi gabenor negeri Akhaya, orang Yahudi bersatu padu untuk menangkap Paulus dan membawa dia ke hadapan gabenor untuk diadili. 13 Mereka mengajukan tuduhan ini, "Orang ini berusaha mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bertentangan dengan hukum kami!'' 14 Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata kepada orang Yahudi di situ, "Jika perkara ini tentang kesalahan atau perbuatan jenayah, bolehlah aku bersabar dan mendengarkan aduan kamu. 15 Tetapi kamu bertengkar tentang kata dan nama serta hukum kamu sendiri. Oleh itu kamu harus menyelesaikan masalah itu sendiri. Aku tidak mahu mengadili perkara semacam ini!'' 16 Lalu Galio mengusir mereka ke luar. 17 Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua rumah ibadat itu lalu memukul dia di hadapan mahkamah. Tetapi Galio sama sekali tidak mempedulikan hal itu. 18 Paulus tinggal dengan pengikut Yesus di Korintus selama beberapa hari lagi. Kemudian dia meninggalkan mereka lalu belayar dengan Priskila dan Akwila ke Siria. Sebelum bertolak, Paulus mencukur rambutnya di Kengkrea kerana telah bernazar. 19 Apabila mereka tiba di Efesus, Paulus meninggalkan Priskila dan Akwila. Kemudian dia masuk ke rumah ibadat dan mengadakan perbincangan dengan orang Yahudi. 20 Mereka meminta supaya Paulus tinggal lebih lama di situ, tetapi Paulus tidak mahu. 21 Pada waktu berangkat, Paulus berkata kepada mereka, "Jika diperkenankan oleh Allah, aku akan kembali.'' Setelah itu dia belayar dari Efesus. 22 Apabila dia tiba di Kaisarea, dia melanjutkan perjalanan ke Yerusalem untuk memberikan salam kepada jemaah di situ, lalu dia pergi ke Antiokhia. 23 Setelah tinggal beberapa lama di Antiokhia dia mengunjungi daerah Galatia dan Frigia untuk meneguhkan iman semua pengikut Yesus di situ. 24 Pada waktu itu seorang Yahudi bernama Apolos, yang lahir di Aleksandria, datang ke Efesus. Dia pandai berpidato dan sangat memahami isi Alkitab. 25 Dia telah mendalami ajaran tentang Yesus. Dengan penuh kesungguhan, dia mengisytiharkan dan mengajarkan ajaran tentang Yesus dengan betul. Tetapi dia hanya mengetahui baptisan yang diajarkan oleh Yohanes. 26 Dengan berani Apolos mula berkata-kata di rumah ibadat. Apabila Priskila dan Akwila mendengar dia, mereka membawa dia ke rumah. Mereka menerangkan penyelamatan Allah melalui Yesus dengan lebih tepat lagi. 27 Kemudian Apolos mahu pergi ke Akhaya. Oleh itu pengikut Yesus di Efesus menolong dia dengan menulis sepucuk surat kepada pengikut Yesus di Akhaya, supaya mereka menyambut Apolos. Apabila Apolos tiba di situ, dia sangat menolong orang yang dengan rahmat Allah, percaya kepada Yesus. 28 Dengan penuh wibawa Apolos mengalahkan orang Yahudi dalam perdebatan di hadapan umum. Dengan mengutip ayat-ayat Alkitab, dia membuktikan bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah.

Kisah Rasul-Rasul 19

1 Sementara Apolos tinggal di Korintus, Paulus menjelajah kawasan pedalaman daerah itu lalu tiba di Efesus. Di situ dia berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus. 2 Dia bertanya kepada mereka, "Sudahkah kamu menerima Roh Allah pada waktu kamu percaya kepada Yesus?'' Mereka menjawab, "Kami belum pernah mendengar bahawa ada Roh Allah.'' 3 "Jika demikian, dengan baptisan apakah kamu dibaptis?'' tanya Paulus. "Dengan baptisan seperti yang diajarkan oleh Yohanes,'' jawab mereka. 4 Lalu Paulus berkata, "Yohanes membaptis orang untuk menyatakan mereka sudah bertaubat daripada dosa. Dia memberitahu orang Israel supaya percaya kepada Orang yang akan datang kemudian daripadanya; Orang itu Yesus.'' 5 Apabila mereka mendengar hal itu, mereka dibaptis demi nama Tuhan Yesus. 6 Ketika Paulus meletakkan tangannya ke atas kepala mereka, Roh Allah menguasai mereka, lalu mereka bertutur dalam bahasa-bahasa yang ajaib, serta menyampaikan perkhabaran Allah. 7 Mereka semuanya kira-kira dua belas orang. 8 Selama tiga bulan, dengan berani Paulus terus-menerus berkata-kata kepada orang di rumah ibadat. Dia berbincang dengan mereka dan berusaha untuk meyakinkan mereka tentang Pemerintahan Allah. 9 Tetapi beberapa orang antara mereka degil dan tidak mahu percaya. Di hadapan semua orang mereka mencerca rancangan Allah untuk menyelamatkan manusia melalui Yesus. Oleh itu Paulus meninggalkan mereka, lalu pergi dengan beberapa orang pengikut Yesus lainnya ke dewan syarahan Tiranus. Setiap hari Paulus mengadakan perbincangan di situ. 10 Perkara ini berlaku selama dua tahun sehingga semua orang yang tinggal di wilayah Asia, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi mendengar firman Tuhan. 11 Allah melakukan mukjizat yang luar biasa melalui Paulus. 12 Bahkan sapu tangan dan kain yang pernah dipakai oleh Paulus pun dibawa kepada orang sakit, lalu mereka sembuh dan roh jahat keluar daripada mereka. 13 Beberapa orang Yahudi yang pergi ke serata tempat dan mengusir roh jahat, cuba menggunakan nama Tuhan Yesus untuk mengusir roh jahat. Mereka berkata kepada roh-roh jahat, "Aku mengusir kamu demi nama Yesus yang diberitakan oleh Paulus.'' 14 Tujuh orang lelaki, iaitu anak-anak ketua imam Yahudi bernama Skewa berbuat demikian. 15 Tetapi roh jahat berkata kepada mereka, "Yesus aku kenal, Paulus pun aku kenal, tetapi siapakah kamu?'' 16 Lalu orang yang dirasuk roh jahat itu menyerang mereka dengan ganas dan mengalahkan mereka. Dia mencederakan mereka dan mengoyak-ngoyak pakaian mereka, sehingga mereka lari dari rumahnya. 17 Semua orang Yahudi dan orang bukan Yahudi yang tinggal di Efesus mendengar peristiwa itu, lalu mereka menjadi takut. Oleh itu nama Tuhan Yesus semakin dipuji-puji. 18 Banyak orang yang sudah percaya kepada Yesus, datang ke hadapan umum untuk mengakui perbuatan jahat mereka pada masa lampau. 19 Mereka yang biasa mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan buku-buku mereka dan membakar semua itu di hadapan orang ramai. Apabila dijumlahkan, harga semua buku itu kira-kira lima puluh ribu keping wang perak. 20 Melalui semua peristiwa yang luar biasa itu firman Tuhan semakin tersebar luas dan semakin banyak orang percaya kepada Yesus. 21 Setelah semua peristiwa itu berlaku, Paulus mengambil keputusan untuk pergi ke Makedonia dan Akhaya lalu terus ke Yerusalem. "Setelah aku pergi ke sana,'' katanya, "aku harus pergi ke Roma juga.'' 22 Oleh itu Paulus mengutus Timotius dan Erastus, dua orang daripada pembantunya, pergi ke Makedonia terlebih dahulu. Sementara itu Paulus tinggal lebih lama di wilayah Asia. 23 Pada masa itulah berlaku rusuhan yang besar di Efesus kerana ajaran tentang Yesus. 24 Di kota itu ada seorang tukang perak bernama Demetrius, yang biasa membuat model kuil Dewi Artemis. Usahanya mendatangkan penghasilan yang besar bagi pekerja-pekerjanya. 25 Oleh itu dia mengumpulkan semua pekerjanya dan pekerja tukang perak yang lain, lalu berkata, "Saudara-saudara tahu bahawa kekayaan kita datangnya daripada pekerjaan ini. 26 Sekarang saudara sekalian sudah melihat dan mendengar apa yang dilakukan oleh Si Paulus itu. Dia berkata bahawa berhala yang dibuat oleh manusia sama sekali bukan dewa. Dia berjaya meyakinkan banyak orang, bukan sahaja di Efesus, bahkan hampir di seluruh wilayah Asia. 27 Hal itu membahayakan kerana perniagaan kita akan mendapat nama buruk. Bukan itu sahaja, bahkan orang tidak akan menghormati kuil Dewi Artemis lagi dan kebesarannya pun akan lenyap. Padahal Dewi Artemis disembah oleh semua orang di Asia dan di seluruh dunia!'' 28 Apabila mereka mendengar hal itu, mereka sangat marah dan mula berseru, "Hidup Artemis, dewi orang Efesus!'' 29 Rusuhan itu meluas ke seluruh kota. Kumpulan perusuh itu menangkap Gayus dan Aristarkhus, orang Makedonia yang menemani Paulus dalam perjalanannya, lalu menyeret mereka ke stadium kota itu. 30 Paulus sendiri mahu menghadap orang ramai untuk berkata-kata kepada mereka, tetapi pengikut Yesus di situ tidak membenarkan dia. 31 Beberapa orang pegawai kerajaan di daerah itu, yang bersahabat dengan Paulus, menyuruh orang memberitahu Paulus supaya tidak masuk ke stadium itu. 32 Sementara itu, orang yang berkumpul di stadium menjadi kacau-bilau. Ada yang berteriak begini dan ada yang berteriak begitu, kerana kebanyakan orang tidak tahu mengapa mereka datang di situ. 33 Beberapa orang menyangka bahawa Aleksander yang bertanggungjawab, kerana orang Yahudi menyuruh dia tampil ke muka. Aleksander memberikan isyarat dengan tangan supaya diberikan peluang untuk membela diri di hadapan orang ramai. 34 Tetapi apabila mereka melihat bahawa dia orang Yahudi, selama dua jam mereka berseru dengan serentak, "Hidup Artemis, dewi orang Efesus!'' 35 Akhirnya setiausaha kota berjaya menenteramkan orang ramai. Dia berkata, "Hai penduduk Efesus! Semua orang tahu bahawa Efesuslah kota yang memelihara kuil Dewi Artemis dan batu suci yang jatuh dari langit. 36 Tidak seorang pun dapat menafikan hal itu. Oleh itu bertenanglah dan jangan buat apa-apa dengan terburu-buru. 37 Saudara-saudara membawa kedua-dua orang ini ke mari, walaupun mereka tidak merompak kuil, ataupun menghina dewi kita. 38 Jika Demetrius dan pekerja-pekerjanya mahu mendakwa sesiapa, biarlah mereka membawa perkara itu ke mahkamah. Pada hari-hari tertentu orang boleh datang ke mahkamah dan para pegawai pun ada di situ. 39 Tetapi jika ada apa-apa lagi yang saudara-saudara kehendaki, hal itu harus diselesaikan dalam mesyuarat umum yang sah. 40 Oleh sebab apa yang berlaku hari ini, kita akan dituduh mengadakan rusuhan. Kita tidak mempunyai alasan untuk membenarkan rusuhan ini.'' 41 Setelah berkata demikian, setiausaha kota itu menyuruh mereka pulang.

Kisah Rasul-Rasul 20

1 Setelah keadaan di Efesus tenteram semula, Paulus mengumpulkan pengikut Yesus di situ lalu menggalakkan mereka. Kemudian dia mengucapkan selamat tinggal dan meneruskan perjalanan ke Makedonia. 2 Dia mengunjungi daerah Makedonia dan dengan banyak ajaran Paulus menggalakkan pengikut Yesus di situ. Kemudian dia pergi ke Akhaya. 3 Di situ dia tinggal selama tiga bulan. Dia sedang bersiap-siap untuk pergi ke Siria, apabila dia mendengar bahawa orang Yahudi berkomplot untuk membunuh dia. Oleh itu, Paulus mengambil keputusan untuk kembali melalui Makedonia. 4 Sopater anak Pirus yang berasal dari Berea pergi bersama-sama dia, begitu juga Aristarkhus dan Sekundus dari Tesalonika, Gayus dari Derbe, Tikhikus dan Trofimus dari daerah Asia, dan Timotius. 5 Mereka pergi terlebih dahulu lalu menunggu kami di Troas. 6 Setelah Perayaan Roti Tidak Beragi, kami belayar meninggalkan Filipi. Lima hari kemudian kami berjumpa dengan mereka di Troas. Di situ kami tinggal selama seminggu. 7 Pada petang Sabtu kami berkumpul untuk makan bersama-sama saudara seiman. Kerana Paulus akan berangkat esoknya, dia mengajar orang di situ. Dia berkata-kata terus sehingga tengah malam. 8 Banyak pelita dinyalakan di dalam bilik di tingkat atas, tempat kami berhimpun. 9 Seorang pemuda bernama Eutikhus duduk di jendela. Kerana Paulus tidak berhenti-henti berkata-kata, pemuda itu mengantuk lalu tertidur di jendela itu dan akhirnya jatuh ke tanah dari tingkat ketiga. Apabila mereka mengangkatnya, dia sudah mati. 10 Tetapi Paulus turun, lalu merebahkan diri ke atas pemuda itu dan memeluk dia. Paulus berkata, "Janganlah khuatir, dia masih hidup!'' 11 Kemudian Paulus naik kembali, lalu membahagikan roti dan makan bersama. Setelah lama bercakap dengan mereka, sehingga matahari terbit, Paulus berangkat. 12 Mereka membawa pemuda yang hidup itu pulang ke rumah dan mereka sangat terhibur. 13 Kami pergi ke kapal lalu belayar terlebih dahulu ke Asos. Di situ kami akan menyambut Paulus naik ke kapal. Dia menyuruh kami belayar terlebih dahulu kerana dia mahu ke Asos melalui jalan darat. 14 Setelah Paulus tiba di Asos, kami membawa dia naik ke kapal lalu bertolak ke Metilene. 15 Dari sana kami belayar pula, dan esoknya tiba di pulau Khios. Lusanya kami tiba di Samos dan sehari kemudian di Miletus. 16 Paulus mengambil keputusan supaya tidak singgah di Efesus, agar tidak membuang masa di daerah Asia. Dia ingin cepat-cepat tiba di Yerusalem, jika boleh sebelum hari Pentakosta. 17 Dari Miletus, Paulus mengirim berita ke Efesus, meminta supaya pemimpin-pemimpin jemaah di situ datang menjumpai dia. 18 Apabila mereka tiba, Paulus berkata kepada mereka, "Kamu mengetahui cara hidupku selama aku bersama-sama kamu, sejak hari pertama aku tiba di daerah Asia. 19 Dengan rendah hati dan dengan mencucurkan air mata, aku mengabdikan diri sebagai hamba Tuhan, di tengah-tengah penderitaan yang aku alami kerana rancangan jahat orang Yahudi. 20 Kamu tahu bahawa aku tidak pernah merahsiakan apa-apa yang berguna bagi kamu, semasa aku berkhutbah dan mengajar di tempat-tempat awam dan di rumah-rumah. 21 Baik kepada orang Yahudi mahupun bukan Yahudi, aku memberikan amaran supaya mereka bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah serta percaya kepada Yesus, Tuhan kita. 22 Sekarang untuk mentaati perintah Roh Allah, aku akan pergi ke Yerusalem tanpa mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku di situ. 23 Aku hanya tahu bahawa di setiap kota, Roh Allah telah memberitahu aku bahawa aku akan mengalami penderitaan dan akan dipenjarakan. 24 Tetapi aku tidak mengambil berat sama ada aku hidup atau mati. Aku hanya ingin menyelesaikan tugas yang aku terima daripada Tuhan Yesus. Aku diberikan tugas untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang rahmat Allah. 25 Aku sudah mengunjungi kamu semua dan memberitakan Pemerintahan Allah. Sekarang aku tahu bahawa tidak seorang pun daripada kamu akan berjumpa dengan aku lagi. 26 Oleh itu dengan sungguh-sungguh aku berkata kepada kamu pada hari ini: Jika sesiapa antara kamu binasa kelak, hal itu bukan tanggungjawabku. 27 Aku tidak pernah melalaikan tugas untuk menjelaskan segala kehendak Allah kepada kamu. 28 Hendaklah kamu menjaga diri serta menjaga jemaah yang sudah diserahkan kepada pemeliharaan kamu oleh Roh Allah. Jagalah jemaah Allah 29 Aku tahu bahawa setelah aku pergi, serigala buas akan datang ke tengah-tengah kamu. Jemaah yang kamu jaga akan menjadi mangsa serigala. 30 Bahkan akan tiba masanya apabila beberapa orang di kalangan kamu sendiri akan memberitakan berita yang tidak betul untuk menyesatkan pengikut Yesus sehingga mengikut mereka. 31 Berwaspadalah! Ingatlah bahawa selama tiga tahun, siang malam dengan mencucurkan air mata, aku telah mengajar setiap orang di kalangan kamu. 32 Sekarang aku menyerahkan kamu kepada pemeliharaan Allah. Perkhabaran tentang rahmat Allah juga akan memelihara kamu. Allah dapat menguatkan kamu dan mengurniai kamu berkat yang telah disediakan-Nya untuk semua umat-Nya. 33 Aku tidak pernah mengingini wang atau pakaian sesiapa pun. 34 Kamu sendiri tahu bahawa dengan tangan sendiri, aku bekerja untuk mencukupi keperluanku dan rakan-rakanku. 35 Dalam segala perkara aku sudah memberikan teladan kepada kamu bahawa dengan bekerja keras seperti ini, kita harus menolong orang yang lemah. Ingatlah akan kata-kata Tuhan Yesus, `Lebih berbahagia memberi daripada menerima.' '' 36 Apabila Paulus selesai berkata-kata, dia berlutut dengan mereka semua lalu berdoa. 37 Sambil menangis mereka memeluk Paulus dan mengucapkan selamat tinggal. 38 Mereka amat sedih kerana Paulus berkata bahawa mereka tidak akan berjumpa dengan dia lagi. Kemudian mereka menghantar dia sampai ke kapal.

Kisah Rasul-Rasul 21

1 Setelah kami mengucapkan selamat tinggal kepada pemimpin-pemimpin jemaah dari Efesus itu, kami berangkat. Kami terus belayar ke Kos; esoknya kami tiba di Rodes. Dari situ kami belayar ke Patara. 2 Di Patara kami menjumpai kapal yang akan bertolak ke Fenisia. Kami menaiki kapal itu lalu belayar 3 sampai ke tempat kami dapat melihat pulau Siprus. Kapal itu belayar terus menuju ke arah selatan sehingga sampai di Siria. Kami mendarat di Tirus, kerana di situ kapal akan memunggah muatan. 4 Di situ kami berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus dan kami tinggal dengan mereka selama seminggu. Dengan pimpinan Roh Allah mereka memberitahu Paulus supaya jangan pergi ke Yerusalem. 5 Tetapi apabila tiba masanya kami melanjutkan perjalanan, kami pun berangkat. Semua pengikut Yesus itu bersama-sama anak dan isteri mereka menghantar kami sampai ke luar kota. Di tepi pantai kami semua berlutut lalu berdoa. 6 Setelah bersalam-salaman kami menaiki kapal dan mereka pulang ke rumah. 7 Kami melanjutkan perjalanan dan belayar dari Tirus ke Ptolemais. Di situ kami memberikan salam kepada saudara-saudara yang percaya kepada Yesus, dan tinggal dengan mereka selama sehari. 8 Keesokan harinya kami berangkat pula, lalu tiba di Kaisarea. Di situ kami menumpang di rumah seorang penginjil bernama Filipus. Dia salah seorang daripada tujuh orang yang dipilih untuk menolong para rasul di Yerusalem. 9 Dia mempunyai empat orang anak perempuan yang belum berkahwin dan mereka memberitakan perkhabaran daripada Allah. 10 Setelah beberapa hari kami di situ, seorang nabi bernama Agabus datang dari Yudea. 11 Dia datang kepada kami lalu mengambil tali pinggang Paulus. Dengan tali pinggang itu Agabus mengikat kaki dan tangannya sendiri lalu berkata, "Inilah yang dikatakan oleh Roh Allah: Pemilik tali pinggang ini akan diikat seperti ini oleh orang Yahudi di Yerusalem dan mereka akan menyerahkan dia kepada orang bukan Yahudi.'' 12 Apabila kami mendengar kata-kata itu, kami dan semua saudara lain memohon Paulus supaya jangan pergi ke Yerusalem. 13 Tetapi dia menjawab, "Mengapa kamu menangis seperti ini sehingga menyebabkan aku bersedih hati? Aku sudah bersedia bukan sahaja untuk diikat di Yerusalem, tetapi juga untuk mati di situ kerana Tuhan Yesus.'' 14 Kerana Paulus tidak mahu mendengarkan kami, kami pun berhenti melarang dia. Kami berkata, "Biarlah kehendak Tuhan berlaku.'' 15 Setelah kami tinggal di situ beberapa lama, kami mengemaskan barang lalu berangkat ke Yerusalem. 16 Beberapa orang pengikut Yesus dari Kaisarea mengikut kami dan menghantar kami ke rumah Manason, kerana di rumah dialah kami akan menginap. Manason berasal dari Siprus dan sudah lama menjadi pengikut Yesus. 17 Apabila kami tiba di Yerusalem, pengikut-pengikut Yesus di situ menyambut kami dengan sukacita. 18 Keesokan harinya Paulus pergi bersama-sama kami menjumpai Yakobus; semua pemimpin jemaah pun hadir. 19 Paulus memberikan salam kepada mereka, lalu memberitahukan segala sesuatu yang sudah dilakukan oleh Allah melalui dia di kalangan orang bukan Yahudi. 20 Setelah mendengar laporan Paulus, mereka semua memuji Allah. Kemudian mereka berkata kepada Paulus, "Saudara Paulus, dengarlah! Di sini ada beribu-ribu orang Yahudi yang sudah percaya kepada Yesus, dan mereka mentaati Taurat Musa dengan setia. 21 Tetapi mereka sudah diberitahu bahawa saudara mengajar semua orang Yahudi yang tinggal di kalangan orang bukan Yahudi supaya tidak menurut Taurat Musa, tidak menyunat anak-anak mereka ataupun menurut adat istiadat orang Yahudi. 22 Mereka tentu sudah mendengar bahawa saudara sudah tiba di sini. Apakah yang harus kita lakukan sekarang? 23 Kami mahu saudara melakukan hal ini. Di sini ada empat orang yang sudah bernazar. 24 Pergilah dengan mereka dan lakukanlah upacara penyucian diri, dan bayarlah biaya mereka juga. Kemudian mereka boleh mencukur rambut. Dengan cara demikian semua orang akan tahu bahawa apa yang didengar oleh mereka tentang saudara tidak benar, kerana saudara pun taat kepada Taurat Musa. 25 Tetapi bagi orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus, kami telah mengirim sepucuk surat kepada mereka tentang keputusan kami. Mereka tidak boleh makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala, atau makan darah, atau makan daging binatang yang mati dicekik, dan mereka juga harus menjauhkan diri daripada perbuatan cabul.'' 26 Oleh itu, Paulus pergi dengan empat orang itu dan esoknya dia menjalankan upacara penyucian diri bersama-sama mereka. Kemudian Paulus masuk ke Rumah Tuhan dan mengumumkan bilangan hari apabila upacara penyucian itu akan selesai dan korban akan dipersembahkan bagi masing-masing. 27 Apabila jangka waktu tujuh hari hampir berakhir, beberapa orang Yahudi dari daerah Asia melihat Paulus di dalam Rumah Tuhan. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus. 28 Mereka berseru, "Hai orang Israel, tolong! Inilah orang yang pergi ke serata tempat dan mengajar semua orang menentang bangsa Israel, Taurat Musa, dan Rumah Tuhan ini. Malahan sekarang dia membawa orang bukan Yahudi ke dalam Rumah Tuhan. Dia telah menajiskan tempat yang suci ini!'' ( 29 Mereka berkata demikian, kerana mereka nampak Trofimus orang Efesus itu bersama-sama Paulus di kota. Mereka menyangka Paulus telah membawa dia ke dalam Rumah Tuhan.) 30 Seluruh kota itu menjadi kacau-bilau; semua orang berlari bersama-sama dan menangkap Paulus lalu menyeret dia keluar dari Rumah Tuhan. Dengan segera pintu Rumah Tuhan ditutup. 31 Sementara perusuh-perusuh itu cuba membunuh Paulus, komandan pasukan Roma diberitahu bahawa seluruh Yerusalem sedang merusuh. 32 Dengan segera komandan membawa beberapa orang pegawai tentera serta askar, lalu cepat-cepat pergi ke tempat huru-hara itu. Semasa orang ramai itu melihat komandan dengan askarnya, mereka berhenti memukul Paulus. 33 Komandan itu menghampiri Paulus lalu menangkap dia, dan menyuruh orang membelenggu dia dengan dua rantai. Lalu komandan itu bertanya, "Siapakah orang ini, dan apa yang sudah dilakukannya?'' 34 Sesetengah orang ramai menjawab begini dan sesetengah yang lain menjawab begitu. Keadaan begitu kacau sehingga komandan itu tidak dapat mengetahui apa yang sebenarnya sudah berlaku. Oleh itu dia menyuruh askarnya membawa Paulus ke dalam kubu. 35 Mereka membawa dia sampai ke tangga, lalu askar-askar itu harus menggotong Paulus kerana orang ramai yang merusuh itu mengamuk. 36 Perusuh-perusuh itu mengikuti Paulus sambil berseru, "Bunuh dia!'' 37 Apabila askar-askar hampir sampai ke kubu, Paulus berkata kepada komandan itu, "Bolehkah saya bercakap sebentar dengan tuan?'' Komandan itu berkata, "Kamu dapat berbahasa Yunani! 38 Jika demikian kamu bukan orang Mesir yang tempoh hari memulakan pemberontakan dan memimpin empat ribu orang pengganas bersenjata pergi ke padang gurun.'' 39 Paulus berkata, "Saya orang Yahudi yang dilahirkan di Tarsus di negeri Kilikia. Saya warga kota yang penting itu. Tolong izinkan saya berucap kepada orang ramai ini.'' 40 Komandan itu mengizinkan dia berbuat demikian. Oleh itu Paulus berdiri di tangga dan memberikan isyarat dengan tangan supaya orang ramai diam. Apabila mereka tenang, Paulus berkata-kata kepada mereka dalam bahasa Ibrani.

Kisah Rasul-Rasul 22

1 Paulus berkata, "Bapa-bapa dan saudara sekalian, dengarkanlah apa yang akan saya katakan untuk membela diri.'' 2 Apabila mereka mendengar Paulus berkata-kata dalam bahasa Ibrani, mereka lebih tenang lagi. Paulus melanjutkan kata-katanya, 3 "Saya orang Yahudi; saya dilahirkan di Tarsus di negeri Kilikia, dan dibesarkan di Yerusalem sebagai murid Gamaliel. Saya diajar dengan teliti tentang Taurat nenek moyang kita, dan saya mengabdikan diri kepada Allah seperti saudara sekalian pada hari ini. 4 Saya menganiaya pengikut ajaran baru itu sehingga mereka mati. Saya menangkap orang lelaki dan perempuan, lalu memasukkan mereka ke dalam penjara. 5 Imam Agung dan semua anggota Majlis Agama dapat memberikan kesaksian bahawa saya tidak berdusta. Saya diberikan mereka surat-surat yang ditujukan kepada orang Yahudi di Damsyik. Dengan surat itu saya dibenarkan menangkap pengikut ajaran baru itu lalu membawa mereka ke Yerusalem untuk dihukum.'' 6 "Semasa saya dalam perjalanan dan hampir tiba di Damsyik, pada kira-kira tengah hari, tiba-tiba cahaya terang dari langit memancar di sekeliling saya. 7 Saya rebah ke tanah lalu mendengar suara berkata kepada saya, `Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku?' 8 Lalu saya bertanya, `Siapakah tuan?' `Aku Yesus orang Nasaret yang engkau aniaya,' jawab-Nya. 9 Semua orang yang bersama-sama saya nampak cahaya itu, tetapi mereka tidak mendengar suara yang berkata-kata kepada saya. 10 Saya bertanya pula, `Apakah yang harus saya lakukan, tuan?' Tuhan menjawab, `Bangunlah dan masuklah ke Damsyik. Di situ engkau akan diberitahu semuanya yang sudah ditetapkan oleh Allah yang harus engkau lakukan.' 11 Saya menjadi buta kerana cahaya terang itu. Oleh itu teman seperjalanan saya memegang tangan saya dan memimpin saya masuk ke Damsyik. 12 Di situ ada seorang bernama Ananias. Dia seorang yang takut akan Allah dan mentaati Taurat kita. Dia sangat dihormati oleh semua orang Yahudi yang tinggal di Damsyik. 13 Dia datang dan berdiri di sisi saya, lalu berkata, `Saudara Saulus, saudara dapat melihat lagi!' Pada saat itu juga saya dapat melihat semula, lalu saya memandang dia. 14 Dia berkata, `Allah yang disembah nenek moyang kita sudah memilih saudara supaya mengetahui kehendak Allah, dan melihat Yesus, Hamba Allah yang melakukan kehendak Allah, serta mendengar suara Yesus sendiri. 15 Saudara akan menjadi saksi untuk mengkhabarkan apa yang sudah saudara lihat dan dengar kepada setiap orang. 16 Sekarang janganlah tunggu lebih lama lagi. Bangunlah dan mintalah orang membaptis saudara. Berserulah kepada Tuhan supaya dosa saudara dihapuskan.' '' 17 "Saya kembali ke Yerusalem dan sementara saya berdoa di Rumah Tuhan, saya melihat suatu penglihatan. 18 Dalam penglihatan itu saya melihat Tuhan berkata kepada saya, `Cepat tinggalkan Yerusalem, kerana orang di sini tidak mahu menerima kesaksianmu tentang Aku.' 19 Saya berkata, `Ya Tuhan, mereka tahu bahawa aku sudah masuk ke rumah ibadat untuk menangkap dan memukul orang yang percaya kepada-Mu. 20 Apabila saksi-Mu Stefanus direjam, aku sendiri ada di situ dan menyetujui pembunuhan itu. Bahkan aku menjaga pakaian semua orang yang membunuh dia.' 21 Tetapi Tuhan berkata lagi, `Pergilah, kerana Aku akan menyuruh engkau ke tempat yang jauh, kepada orang bukan Yahudi.' '' 22 Sehingga saat itu, orang ramai mendengarkan kata-kata Paulus. Tetapi kemudian mereka mula berseru dengan kuat, "Hapuskan dia! Bunuh dia! Dia tidak layak hidup!'' 23 Mereka berteriak-teriak sambil mengebaskan pakaian sehingga debu berterbangan di udara. 24 Komandan pasukan Roma memerintahkan askar-askarnya membawa Paulus ke dalam kubu. Dia menyuruh mereka mencambuk Paulus untuk mengetahui alasan orang Yahudi berteriak sedemikian rupa terhadap dia. 25 Tetapi waktu Paulus telah diikat untuk dicambuk, Paulus berkata kepada pegawai tentera yang berdiri di situ, "Bolehkah seorang warganegara Roma dicambuk sebelum dia diadili?'' 26 Apabila pegawai tentera itu mendengar hal ini, dia pergi kepada komandan itu dan berkata, "Apa yang sudah tuan lakukan? Orang ini warganegara Roma!'' 27 Oleh itu komandan itu pergi kepada Paulus dan bertanya, "Katakanlah, adakah kamu warganegara Roma?'' "Ya,'' kata Paulus. 28 Komandan itu berkata pula, "Saya menjadi warganegara Roma dengan membayar wang yang banyak.'' Paulus menjawab, "Tetapi saya dilahirkan sebagai warganegara Roma.'' 29 Dengan segera askar-askar yang hendak menyoal Paulus berundur. Komandan itu pun takut apabila dia tahu bahawa Paulus warganegara Roma, dan kerana dia sudah merantai Paulus. 30 Tetapi komandan itu hendak mengetahui alasan sebenar yang menyebabkan orang Yahudi menuduh Paulus. Oleh itu, keesokan harinya komandan itu memanggil ketua-ketua imam dan semua anggota Majlis Agama supaya berkumpul. Kemudian dia membuka rantai yang mengikat Paulus lalu menghadapkan Paulus kepada mereka semua.

Kisah Rasul-Rasul 23

1 Paulus menatap anggota-anggota Majlis Agama lalu berkata, "Saudara-saudara! Sehingga hari ini, hati nurani saya tidak menyalahkan saya tentang kehidupan saya di sisi Allah.'' 2 Imam Agung Ananias menyuruh orang yang berdiri dekat Paulus menampar mulut Paulus. 3 Paulus berkata kepadanya, "Allah pasti akan menampar tuan, yang seperti tembok berkapur putih. Tuan duduk di situ menghakimi saya menurut Taurat, tetapi tuan sendiri melanggar Taurat apabila menyuruh orang menampar saya!'' 4 Beberapa orang yang di sebelah Paulus berkata kepadanya, "Kamu menghina Imam Agung Allah!'' 5 Paulus menjawab, "Saudara-saudara, saya tidak tahu bahawa dia Imam Agung. Memang di dalam Alkitab ada tertulis, `Janganlah hina pemimpin bangsa kamu.' '' 6 Paulus melihat bahawa sebahagian daripada Majlis Agama itu terdiri daripada orang Saduki dan sebahagian lagi orang Farisi. Oleh itu dia berseru kepada Majlis Agama, "Saudara-saudara, saya orang Farisi, bapa saya pun orang Farisi. Saya diadili di sini kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.'' 7 Sebaik sahaja Paulus berkata demikian, orang Farisi dan orang Saduki mula bertengkar, lalu perhimpunan itu berpecah menjadi dua kelompok. ( 8 Hal itu berlaku kerana orang Saduki tidak percaya akan kebangkitan orang mati, dan tidak percaya akan adanya malaikat atau roh. Tetapi orang Farisi percaya akan ketiga-tiganya.) 9 Lalu berlakulah pertengkaran yang sengit. Beberapa orang Farisi yang menjadi guru Taurat berdiri dan membantah dengan keras, "Orang ini tidak bersalah sedikit pun! Barangkali memang ada roh atau malaikat yang berkata-kata kepadanya!'' 10 Pertengkaran itu menjadi begitu sengit sehingga komandan itu takut kalau-kalau Paulus akan diserbu oleh mereka. Dia menyuruh askar-askarnya mengambil Paulus dari tengah-tengah mereka dan membawa dia ke kubu. 11 Pada malam itu, Tuhan berdiri di sisi Paulus dan berkata, "Tabahkanlah hatimu! Engkau sudah memberikan kesaksianmu tentang Aku di Yerusalem. Engkau harus memberikan kesaksian di Roma juga.'' 12 Pagi-pagi keesokan harinya, beberapa orang Yahudi berkumpul untuk merancangkan suatu pakatan. Mereka bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus. 13 Lebih daripada empat puluh orang termasuk dalam pakatan itu. 14 Mereka pergi kepada ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi, lalu berkata, "Kami sudah bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga kami membunuh Paulus. 15 Oleh itu saudara-saudara dan anggota-anggota Majlis Agama hendaklah mengirim sepucuk surat kepada komandan Roma, untuk meminta dia membawa Paulus datang menghadap saudara semua, seolah-olah hendak memeriksa perkaranya lagi dengan lebih teliti. Kami akan bersiap-siap untuk membunuh dia sebelum dia sampai ke sini.'' 16 Tetapi anak lelaki saudara perempuan Paulus mendengar berita tentang pakatan itu. Oleh itu dia masuk ke kubu dan memberitahu Paulus hal itu. 17 Kemudian Paulus memanggil seorang pegawai tentera dan berkata kepadanya, "Bawalah pemuda ini kepada komandan; dia mahu memberitahukan sesuatu kepadanya.'' 18 Pegawai tentera itu membawa pemuda itu kepada komandan dan berkata, "Paulus, orang tahanan itu, memanggil saya. Dia menyuruh saya membawa pemuda ini kepada tuan, kerana dia mahu memberitahukan sesuatu kepada tuan.'' 19 Komandan itu memegang tangan pemuda itu, lalu membawa dia ke samping dan bertanya, "Apa yang hendak kamu beritahu saya?'' 20 Pemuda itu menjawab, "Orang Yahudi telah bersepakat meminta tuan membawa Paulus menghadap Majlis Agama esok, seolah-olah Majlis Agama hendak memeriksa perkaranya lagi dengan lebih teliti. 21 Janganlah percaya kepada mereka, kerana lebih daripada empat puluh orang akan bersembunyi untuk menunggu dia. Mereka sudah bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus. Sekarang mereka sudah siap dan sedang menunggu jawapan tuan.'' 22 Komandan itu berkata, "Jangan beritahu sesiapa pun bahawa kamu sudah melaporkan hal ini kepada saya.'' Lalu dia menyuruh pemuda itu pulang. 23 Kemudian komandan itu memanggil dua orang pegawai tenteranya dan berkata, "Siapkan dua ratus orang askar, tujuh puluh orang askar berkuda, dan dua ratus orang askar bertombak. Mereka harus berangkat ke Kaisarea pada pukul sembilan malam ini juga. 24 Juga siapkan beberapa ekor kuda untuk Paulus, dan jagalah keselamatannya sehingga dia sampai kepada Gabenor Feliks.'' 25 Lalu komandan itu menulis sepucuk surat yang berbunyi seperti berikut: 26 "Yang Terutama Gabenor Feliks. Salam daripada Klaudius Lisias. 27 Orang Yahudi sudah menangkap orang ini dan hendak membunuh dia. Tetapi saya mendapati dia warganegara Roma. Oleh itu, saya dengan pasukan saya pergi menyelamatkan dia. 28 Saya mahu mengetahui alasan mereka menuduh dia, maka saya membawa dia kepada Majlis Agama mereka. 29 Saya mendapati tuduhan mereka bersangkutan dengan hukum mereka sendiri. Dia tidak melakukan apa-apa yang patut dihukum dengan hukuman mati ataupun hukuman penjara. 30 Apabila saya diberitahu bahawa orang Yahudi sudah berkomplot untuk membunuh dia, dengan segera saya menghantar dia kepada Tuan Gabenor. Saya menyuruh para pendakwanya mengemukakan tuduhan mereka terhadap dia kepada Tuan Gabenor.'' 31 Askar-askar itu menjalankan tugas mereka dan membawa Paulus ke Antipatris pada malam itu juga. 32 Keesokan harinya askar yang berjalan kaki kembali ke kubu, tetapi askar yang berkuda meneruskan perjalanan dengan Paulus. 33 Apabila mereka tiba di Kaisarea, mereka menyampaikan surat itu kepada gabenor dan menyerahkan Paulus kepadanya. 34 Gabenor membaca surat itu lalu bertanya kepada Paulus dari mana asalnya. Apabila gabenor mengetahui bahawa Paulus berasal dari Kilikia, 35 gabenor berkata, "Baiklah! Saya akan memeriksa perkara kamu apabila pendakwa-pendakwa kamu tiba.'' Lalu gabenor memberikan perintah supaya Paulus ditahan di dalam istana yang dahulu dibina oleh Raja Herodes.

Kisah Rasul-Rasul 24

1 Lima hari kemudian, Imam Agung Ananias dan beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi serta seorang peguam bernama Tertulus pergi ke Kaisarea. Mereka menghadap Gabenor Feliks dan mengemukakan tuduhan terhadap Paulus. 2 Apabila Paulus dipanggil menghadap, Tertulus menuduh Paulus seperti berikut, "Tuan Yang Terutama! Oleh sebab pimpinan tuan yang bijaksana, kami terus-menerus mengalami kesejahteraan di negeri ini. Banyak pembaharuan pun sudah dilaksanakan untuk kebaikan negeri kami. 3 Kami menghargai semuanya itu dan kami sangat berterima kasih kepada tuan. 4 Supaya tidak membuang banyak masa tuan, saya memohon supaya tuan sudi mendengarkan pengaduan kami yang ringkas ini. 5 Kami dapati orang ini pengacau yang berbahaya. Dia menimbulkan kekacauan di kalangan orang Yahudi di seluruh dunia dan dia pemimpin kumpulan orang Nasaret. 6 Dia cuba menajiskan Rumah Tuhan, lalu kami menangkap dia. Kami bercadang menghakimi dia menurut Taurat kami sendiri. 7 Tetapi Komandan Lisias merampas dia daripada kami. 8 Dia memberikan perintah supaya pendakwa-pendakwanya menghadap tuan. Jika tuan menyoal orang ini, tuan sendiri dapat mengetahui kebenaran segala tuduhan kami.'' 9 Orang Yahudi di situ juga turut menuduh Paulus dan mengatakan bahawa semua yang dikatakan oleh Tertulus itu benar. 10 Gabenor itu memberikan isyarat kepada Paulus bahawa dia boleh bercakap. Oleh itu Paulus berkata, "Saya tahu bahawa tuan telah menjadi hakim negeri ini selama bertahun-tahun. Oleh itu saya bersukacita kerana dapat membela diri di hadapan tuan. 11 Tuan dapat mengetahui hal itu sendiri, bahawa tidak lebih daripada dua belas hari yang lalu, saya pergi ke Yerusalem untuk beribadat. 12 Orang Yahudi tidak mendapati saya bertengkar dengan sesiapa pun ataupun menimbulkan rusuhan, baik di dalam Rumah Tuhan mahupun di rumah ibadat ataupun di tempat lain di kota. 13 Mereka pun tidak dapat membuktikan tuduhan yang dikemukakan kepada tuan terhadap saya. 14 Saya mengaku di hadapan tuan bahawa saya menyembah Allah yang disembah oleh nenek moyang kami menurut ajaran Yesus, yang dianggap salah oleh mereka. Tetapi saya percaya juga kepada segala yang tertulis di dalam Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi. 15 Seperti mereka, saya berharap kepada Allah bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian -- orang baik, mahupun orang jahat! 16 Oleh itu saya berusaha sebaik-baiknya supaya hati nurani saya sentiasa bersih di sisi Allah dan di hadapan manusia. 17 Setelah beberapa tahun meninggalkan Yerusalem, saya kembali ke situ untuk membawa wang sumbangan bagi bangsa saya dan untuk mempersembahkan korban kepada Allah. 18 Apabila saya sedang melakukan perkara itu, mereka melihat saya di Rumah Tuhan setelah saya selesai melakukan upacara penyucian diri. Tidak ada orang ramai menyertai saya, dan tidak ada kekacauan berlaku di situ pada waktu itu. 19 Tetapi beberapa orang Yahudi dari daerah Asia ada di situ. Sebenarnya mereka yang harus menghadap tuan dan mengajukan tuduhan mereka, jika ada tuduhan terhadap saya. 20 Atau biarlah semua orang ini memberitahukan kesalahan saya yang didapati oleh mereka pada masa saya dibawa menghadap Majlis Agama. 21 Mereka mendapati satu perkara sahaja: Saya mengatakan hal ini di hadapan mereka, `Hari ini saya diadili kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.' '' 22 Kemudian Feliks, yang banyak pengetahuannya tentang ajaran Yesus, mengakhiri pembicaraan itu. Feliks berkata, "Apabila Komandan Lisias datang, saya akan memutuskan perkara ini.'' 23 Lalu gabenor memerintahkan pegawai tentera yang menjaga Paulus supaya mengawal dia tetapi memberi dia kebebasan yang terhad, serta membenarkan sahabat-sahabat Paulus memberikan apa yang diperlukannya. 24 Beberapa hari kemudian, Gabenor Feliks datang dengan isterinya Drusila, seorang Yahudi. Feliks menyuruh orang memanggil Paulus, kemudian Feliks mendengarkan Paulus berkata-kata tentang kepercayaan kepada Kristus Yesus. 25 Tetapi apabila Paulus melanjutkan ucapannya tentang apa yang baik, tentang hal mengawal diri, dan tentang hukuman pada Hari Kiamat, Feliks menjadi takut lalu berkata, "Kamu boleh pergi sekarang. Saya akan memanggil kamu lagi jika ada kesempatan.'' 26 Sementara itu Feliks juga berharap Paulus akan memberi dia wang. Oleh itu dia seringkali memanggil Paulus dan bercakap dengan dia. 27 Setelah dua tahun, Perkius Festus menggantikan Feliks sebagai gabenor. Kerana Feliks ingin mengambil hati orang Yahudi, dia membiarkan Paulus tinggal di dalam penjara.

Kisah Rasul-Rasul 25

1 Tiga hari setelah Gabenor Festus tiba di daerah itu, dia pergi dari Kaisarea ke Yerusalem. 2 Di situ ketua-ketua imam dan pemimpin orang Yahudi mengemukakan tuduhan mereka terhadap Paulus. Mereka memohon pertolongan Festus supaya 3 menghantar Paulus ke Yerusalem, kerana mereka sudah berkomplot untuk membunuh dia di perjalanan. 4 Tetapi Festus menjawab, "Paulus ditahan di Kaisarea dan saya sendiri pun akan segera kembali ke sana. 5 Biarlah pemimpin-pemimpin kamu pergi dengan saya ke Kaisarea, lalu mendakwa dia jika dia memang bersalah.'' 6 Festus tinggal di Yerusalem kira-kira lapan atau sepuluh hari lagi, lalu dia kembali ke Kaisarea. Keesokan harinya dia duduk sebagai hakim di mahkamah dan memberikan perintah supaya Paulus dibawa menghadap. 7 Apabila Paulus tiba, orang Yahudi yang datang dari Yerusalem berdiri di sekelilingnya dan mula mengemukakan tuduhan-tuduhan berat, yang tidak dapat dibuktikan oleh mereka. 8 Tetapi Paulus membela diri dengan berkata, "Saya tidak bersalah terhadap Taurat Musa, atau terhadap Rumah Tuhan, ataupun terhadap Kaisar Roma.'' 9 Tetapi Festus hendak mengambil hati orang Yahudi. Oleh itu dia bertanya kepada Paulus, "Mahukah kamu pergi ke Yerusalem supaya saya boleh mengadili kamu di sana?'' 10 Paulus menjawab, "Saya berdiri di hadapan mahkamah Kaisar Roma, dan di sinilah saya harus diadili. Tuan sendiri tahu bahawa saya tidak bersalah terhadap orang Yahudi. 11 Jika saya sudah melanggar hukum dan melakukan sesuatu yang patut dijatuhi hukuman mati, saya rela mati. Tetapi jika tuduhan mereka tidak benar, tidak seorang pun boleh menyerahkan saya kepada mereka. Saya minta diadili oleh Kaisar Roma!'' 12 Setelah berunding dengan para penasihatnya, Festus menjawab, "Kerana kamu minta diadili oleh Kaisar Roma, kamu harus pergi menghadap Kaisar.'' 13 Beberapa lama kemudian, Raja Agripa dan Puteri Bernike datang ke Kaisarea untuk menyambut kedatangan Gabenor Festus. 14 Setelah beberapa hari mereka di situ, Festus menerangkan perkara Paulus kepada Raja Agripa. Festus berkata, "Di sini ada seorang tahanan yang ditinggalkan oleh Feliks. 15 Semasa patik di Yerusalem, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi mengemukakan tuduhan terhadap dia dan memohon patik menjatuhkan hukuman kepadanya. 16 Tetapi patik memberitahu mereka bahawa bukan kebiasaan orang Roma menyerahkan seseorang, sebelum orang itu berhadapan dengan para pendakwanya dan berpeluang membela diri. 17 Apabila mereka datang ke mari, pada keesokan harinya dengan tidak membuang masa lagi patik duduk sebagai hakim di mahkamah. Lalu patik memberikan perintah supaya orang itu dibawa menghadap. 18 Apabila para pendakwanya berdiri untuk mengemukakan tuduhan, mereka tidak mengajukan suatu kejahatan pun seperti yang patik sangka akan dilakukan mereka. 19 Mereka hanya berdebat dengan dia tentang agama mereka sendiri dan tentang seorang bernama Yesus. Orang itu sudah mati, tetapi Paulus berkeras mengatakan bahawa Dia hidup. 20 Patik tidak dapat mengambil keputusan tentang bagaimana patik boleh mendapatkan keterangan selanjutnya tentang perkara itu. Oleh itu patik bertanya kepada Paulus sama ada dia mahu pergi ke Yerusalem untuk diadili di sana kerana tuduhan-tuduhan itu. 21 Tetapi Paulus mengajukan rayuan supaya dia diadili oleh Kaisar dan supaya tetap ditahan sehingga perkaranya diputuskan. Oleh itu patik memberikan perintah supaya dia ditahan terus, sehingga patik mendapat peluang untuk menghantar dia kepada Kaisar.'' 22 Agripa bertitah kepada Festus, "Beta pun ingin mendengar orang itu.'' "Esok tuanku akan mendengar dia,'' jawab Festus. 23 Esoknya Raja Agripa dan Puteri Bernike datang lalu disambut dengan upacara kebesaran. Baginda berdua memasuki balai mahkamah bersama-sama para panglima angkatan perang dan orang terkemuka di kota itu. Dengan perintah Festus, Paulus dibawa menghadap. 24 Lalu Festus berkata, "Tuanku Raja Agripa dan para hadirin! Orang di hadapan patik ini didakwa oleh semua orang Yahudi, baik yang di Yerusalem mahupun yang di sini. Mereka berteriak-teriak bahawa dia tidak layak hidup lebih lama lagi. 25 Tetapi patik tidak mendapatkan kesalahan apa pun yang dilakukannya, yang layak dihukum dengan hukuman mati. Kerana dia sudah mengajukan rayuan supaya diadili oleh Kaisar, patik sudah mengambil keputusan untuk menghantar dia kepada Kaisar. 26 Tetapi patik belum mempunyai keterangan yang pasti tentang dirinya, yang dapat patik tuliskan dalam surat kepada Kaisar. Itulah sebabnya patik menghadapkan dia kepada semua yang hadir, terutama sekali kepada Tuanku Raja Agripa! Dengan demikian, setelah pemeriksaan ini, ada sesuatu yang dapat patik tuliskan di dalam surat itu. 27 Menurut pendapat patik, tidaklah patut menghantar seorang tahanan tanpa menyatakan tuduhan yang jelas terhadap dia.''

Kisah Rasul-Rasul 26

1 Raja Agripa bertitah kepada Paulus, "Kamu dibenarkan bercakap untuk membela diri.'' Paulus memberikan isyarat dengan mengangkat tangan lalu menyampaikan pembelaannya seperti berikut, 2 "Tuanku Raja Agripa! Hamba berasa bertuah kerana dibenarkan membela diri di hadapan tuanku daripada segala tuduhan orang Yahudi, 3 terutama sekali kerana tuanku sangat memahami adat istiadat dan masalah orang Yahudi. Oleh itu, hamba memohon sudilah tuanku mendengarkan keterangan hamba dengan sabar. 4 Semua orang Yahudi mengetahui cara hidup hamba sejak hamba masih muda. Mereka tahu bahawa sejak permulaan, hamba hidup di negeri hamba sendiri dan kemudian di Yerusalem. 5 Sudah lama mereka mengenal hamba. Jika mereka mahu, mereka dapat memberikan kesaksian bahawa sejak permulaan hamba hidup sebagai orang Farisi, dan menuruti semua peraturan agama kami dengan teliti. 6 Sekarang hamba berdiri di hadapan tuanku kerana hamba berharap akan janji yang dibuat oleh Allah kepada nenek moyang kami. 7 Janji itu juga diharap-harapkan oleh dua belas suku Israel, sehingga mereka beribadat kepada Allah siang dan malam. Tuanku, justeru kerana harapan itulah hamba dituduh oleh orang Yahudi. 8 Mengapa saudara-saudara orang Yahudi, tidak dapat percaya bahawa Allah membangkitkan orang mati? 9 Dahulu hamba sendiri pun berpendapat bahawa hamba harus melakukan semua yang terdaya untuk menentang Yesus orang Nasaret itu. 10 Itulah yang hamba lakukan di Yerusalem. Dengan surat kuasa daripada ketua-ketua imam, hamba memenjarakan banyak orang di kalangan umat Allah. Hamba pun memberikan persetujuan apabila mereka dijatuhi hukuman mati. 11 Sering kali hamba menyeksa mereka di rumah ibadat, dan memaksa mereka supaya tidak lagi percaya kepada Yesus. Hamba sangat marah terhadap mereka, sehingga hamba pergi ke kota-kota lain untuk menganiaya mereka.'' 12 "Itulah matlamat hamba ketika pergi ke Damsyik dengan membawa surat kuasa daripada ketua-ketua imam. 13 Tuanku, pada masa hamba di tengah perjalanan, kira-kira pada tengah hari, hamba melihat cahaya yang lebih terang daripada matahari. Cahaya itu datang dari langit dan menyinari sekeliling hamba dan semua orang yang berjalan bersama dengan hamba. 14 Kami semua jatuh ke tanah. Lalu hamba mendengar suara berkata kepada hamba dalam bahasa Ibrani, `Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku? Jika engkau terus melawan, engkau hanya menyakiti dirimu sendiri; engkau seperti seekor lembu yang menendang kayu penggiring yang tajam hujungnya.' 15 Lalu hamba bertanya, `Siapakah tuan?' Tuhan menjawab, `Aku Yesus yang engkau aniaya. 16 Bangunlah dan berdirilah! Aku sudah menampakkan diri kepadamu dengan tujuan melantik engkau menjadi hamba-Ku. Engkau harus memberitahu orang lain apa yang engkau lihat hari ini tentang Aku dan tentang apa yang akan Aku tunjukkan kepadamu pada masa akan datang. 17 Aku akan menyelamatkan engkau daripada bangsa Israel dan daripada bangsa lain yang bukan Yahudi. Aku mengutus engkau kepada mereka, 18 untuk membuka mata mereka, supaya mereka keluar dari kegelapan dan memasuki cahaya yang terang; supaya mereka dilepaskan daripada kuasa Iblis lalu dikuasai oleh Allah. Oleh itu, dengan kepercayaan mereka kepada-Ku, dosa mereka akan diampunkan dan mereka akan menjadi umat yang dipilih oleh Allah.' '' 19 "Tuanku Raja Agripa! Itulah sebabnya hamba sentiasa berusaha untuk mentaati penglihatan yang hamba terima dari syurga. 20 Hamba memberitahu orang bahawa mereka harus bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah, serta melakukan perkara-perkara yang membuktikan bahawa mereka sudah bertaubat. Hamba mengajarkan hal itu mula-mula di Damsyik dan di Yerusalem, kemudian di seluruh negeri orang Yahudi dan orang bukan Yahudi. 21 Kerana hal inilah orang Yahudi menangkap hamba sementara hamba di dalam Rumah Tuhan dan mereka cuba membunuh hamba. 22 Tetapi sehingga saat ini Allah telah menolong hamba, dan sekarang hamba berdiri di sini untuk memberikan kesaksian kepada semua orang, baik orang besar mahupun orang biasa. Apa yang hamba katakan sama dengan apa yang dikatakan oleh nabi-nabi dan Musa. 23 Mereka mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan, dan menjadi orang pertama yang bangkit daripada kematian. Dengan demikian Dia mengisytiharkan penyelamatan kepada orang Yahudi dan bukan Yahudi. Penyelamatan itu seperti cahaya bagi mereka.'' 24 Sementara Paulus membela diri, Festus berseru, "Paulus, kamu gila! Ilmu kamu yang banyak itu sudah menyebabkan kamu gila!'' 25 Tetapi Paulus menjawab, "Hamba tidak gila, Tuan Yang Terutama. Kata-kata yang hamba ucapkan itu benar dan keluar daripada fikiran yang waras. 26 Tuanku Raja Agripa, hamba berani berkata-kata di hadapan tuanku dengan terus terang, kerana tuanku faham akan perkara-perkara itu. Hamba yakin bahawa tuanku mengetahui semuanya, kerana hal-hal itu tidak berlaku di tempat yang tersembunyi. 27 Tuanku Raja Agripa, hamba tahu bahawa tuanku percaya kepada apa yang dikatakan oleh nabi-nabi itu!'' 28 Raja Agripa bertitah kepada Paulus, "Kamu fikir kamu boleh menjadikan beta seorang Kristian, dalam tempoh yang singkat ini?'' 29 Paulus menjawab, "Dalam tempoh yang singkat ataupun dalam tempoh yang panjang, hamba berdoa kepada Allah supaya tuanku dan para hadirin yang mendengarkan hamba hari ini boleh menjadi seperti hamba -- tetapi tidak dirantai seperti hamba.'' 30 Kemudian raja, gabenor, Puteri Bernike, dan semua orang yang lain berdiri. 31 Setelah mereka ke luar, mereka bercakap sesama sendiri, "Orang ini tidak melakukan apa-apa, sehingga dia patut dihukum mati atau dipenjarakan.'' 32 Lalu Raja Agripa berkata kepada Festus, "Sebenarnya orang ini dapat dibebaskan, jika dia tidak mengajukan rayuan supaya perkaranya diadili oleh Kaisar.''

Kisah Rasul-Rasul 27

1 Setelah diputuskan bahawa kami harus belayar ke Italia, Paulus dan beberapa orang tahanan lain diserahkan kepada Yulius, pegawai tentera daripada rejimen Roma yang disebut "Rejimen Kaisar''. 2 Kami menaiki kapal yang datang dari Adramitium, yang sudah siap untuk belayar ke pelabuhan-pelabuhan di daerah Asia. Aristarkhus, seorang Makedonia yang datang dari Tesalonika, juga bersama-sama kami. 3 Keesokan harinya kami tiba di Sidon. Yulius memperlakukan Paulus dengan baik. Dia membenarkan Paulus melawat sahabat-sahabatnya, supaya mereka dapat memberikan apa yang diperlukan oleh Paulus. 4 Dari situ kami meneruskan pelayaran. Kerana angin berlawanan dengan arah kapal, kami belayar menyusur pulau Siprus yang agak terlindung daripada angin. 5 Kami menyeberangi lautan yang berhadapan dengan Kilikia dan Pamfilia lalu tiba di Mira di negeri Likia. 6 Di situ pegawai tentera itu mendapatkan kapal yang datang dari Aleksandria dan akan belayar ke Italia. Oleh itu dia memindahkan kami ke kapal itu. 7 Selama beberapa hari kami belayar dengan lambat sekali, dan dengan susah payah akhirnya kami tiba di kota Knidus. Kerana angin terlalu kuat, kami tidak dapat meneruskan pelayaran ke jurusan itu. Oleh itu kami belayar ke selatan pulau Kreta melalui Tanjung Salmone supaya terlindung daripada angin. 8 Dengan susah payah kami belayar menyusur pantai pulau itu, dan akhirnya kami tiba di suatu tempat bernama Pelabuhan Indah, tidak berapa jauh dari kota Lasea. 9 Pada waktu itu Hari Pengampunan Dosa orang Yahudi sudah lalu. Kami tinggal lama di situ sehingga bukan masanya lagi untuk belayar dengan aman. Oleh itu Paulus menasihatkan mereka begini, 10 "Saudara-saudara, menurut pendapat saya, mulai sekarang perjalanan kita sangat berbahaya. Bukan sahaja muatan dan kapal kita akan mengalami kerosakan besar, bahkan nyawa pun akan hilang.'' 11 Tetapi pegawai tentera itu lebih percaya kepada kapten kapal dan pemilik kapal daripada kata-kata Paulus. 12 Pelabuhan di situ memang tidak baik bagi kapal untuk tinggal pada musim sejuk. Oleh itu kebanyakan anak kapal ingin belayar dan meninggalkan pelabuhan itu, serta berharap dapat sampai ke Feniks, lalu tinggal di situ sepanjang musim sejuk. Feniks itu pelabuhan di Kreta yang menghadap barat daya dan barat laut. 13 Pada waktu itu angin selatan mula bertiup dengan lembut, dan anak kapal menyangka mereka boleh belayar lagi. Oleh itu mereka membongkar sauh lalu belayar menyusur pantai pulau Kreta. 14 Tetapi tidak lama kemudian angin yang sangat kuat, yang disebut angin Timur Laut, membadai dari darat, 15 dan memukul kapal kami. Kerana kapal tidak dapat belayar melawan angin, kami membiarkan kapal mengikut angin. 16 Kami terlindung sedikit apabila kami melalui sebelah selatan pulau Kauda yang kecil. Di situ dengan susah payah kami berjaya menyelamatkan sekoci kapal. 17 Setelah mereka menaikkan sekoci itu ke kapal, mereka memperkuat kapal dengan menggunakan tali yang diikatkan melingkari kapal itu. Kerana mereka takut terdampar di tebing pasir Sirtis, mereka menurunkan layar dan membiarkan kapal mengikut angin. 18 Angin terus-menerus membadai, sehingga keesokan harinya muatan kapal mula dibuang ke dalam laut. 19 Hari berikutnya anak kapal juga membuang sebahagian daripada alat-alat kapal. 20 Berhari-hari kami tidak dapat melihat matahari dan bintang, dan angin pun terus-menerus membadai. Akhirnya lenyaplah segala harapan kami untuk selamat. 21 Setelah beberapa lama mereka tidak makan, Paulus berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, "Saudara-saudara sepatutnya menurut nasihat saya dan tidak belayar dari Kreta, maka kita tidak akan mengalami kerosakan dan kerugian ini. 22 Tetapi sekarang janganlah khuatir, kerana tidak seorang pun akan mati, hanya kapal ini tidak dapat diselamatkan. 23 Saya berkata demikian kerana semalam Allah yang memiliki saya dan yang saya sembah, menyuruh malaikat-Nya datang kepada saya. 24 Malaikat itu berkata, `Janganlah takut, Paulus! Engkau akan menghadap Kaisar. Oleh sebab kebaikan hati Allah kepadamu, semua orang yang belayar denganmu akan selamat.' 25 Oleh itu tabahkanlah hati saudara-saudara. Saya percaya kepada Allah, bahawa segala-galanya akan berlaku seperti yang dikatakan-Nya kepada saya. 26 Tetapi kita akan terdampar di pantai suatu pulau.'' 27 Pada malam yang keempat belas, kami terapung-apung di Laut Tengah. Kira-kira tengah malam, anak kapal mengagak kapal sedang mendekati darat. 28 Oleh itu mereka melempar batu duga untuk mengukur dalamnya laut. Ternyata tempat itu sedalam kira-kira empat puluh meter. Tidak lama kemudian mereka mengukur lagi dan mendapati laut di tempat itu sedalam tiga puluh meter. 29 Mereka takut kapal akan terkandas pada batu karang. Oleh itu mereka menurunkan empat buah sauh dari buritan kapal, lalu berdoa agar fajar segera menyingsing. 30 Anak kapal cuba melarikan diri dari kapal. Mereka menurunkan sekoci ke laut lalu berpura-pura hendak menurunkan sauh dari bahagian depan kapal. 31 Tetapi Paulus berkata kepada pegawai tentera dan askar-askar di kapal itu, "Jika anak kapal tidak tinggal di kapal, saudara semua tidak boleh selamat.'' 32 Oleh itu askar-askar mengerat tali yang mengikat sekoci lalu membiarkan sekoci itu hanyut. 33 Sebelum fajar menyingsing, Paulus memohon supaya mereka semua makan. Paulus berkata, "Sudah empat belas hari saudara-saudara menunggu-nunggu dalam keadaan tegang, dan selama itu tidak makan apa-apa. 34 Oleh itu saya menggesa saudara-saudara supaya makan. Saudara semua memerlukan tenaga untuk menyelamatkan diri; saudara semua akan selamat dan tidak cedera.'' 35 Setelah itu Paulus mengambil roti, lalu mengucap syukur kepada Allah di hadapan mereka semua. Kemudian Paulus membahagi roti itu dan mula makan. 36 Semangat mereka pulih, lalu mereka pun makan. 37 Bilangan orang di kapal itu 276 orang. 38 Setelah semua orang makan dengan secukupnya, mereka membuang muatan gandum ke laut, supaya kapal menjadi ringan. 39 Apabila hari sudah siang, anak kapal melihat pantai, tetapi mereka tidak mengenal teluk itu. Jika dapat mereka bercadang hendak mendarat di situ. 40 Oleh itu mereka memotong tali sauh dan membiarkan semua sauh tenggelam di laut. Mereka juga membuka tali yang mengikat kemudi. Kemudian mereka menaikkan layar di haluan kapal supaya angin meniup kapal itu ke hadapan dan menuju ke pantai. 41 Tetapi kapal itu melanggar tebing pasir. Bahagian depan kapal itu terkandas lalu tidak dapat bergerak, sedangkan bahagian belakang kapal hancur dipukul ombak yang kuat. 42 Askar-askar di kapal bercadang membunuh semua orang tahanan, supaya orang tahanan tidak dapat berenang ke darat lalu melarikan diri. 43 Tetapi pegawai tentera itu mahu menyelamatkan Paulus, maka dia melarang mereka melakukan hal itu. Sebaliknya dia memerintahkan semua orang yang dapat berenang supaya terjun terlebih dahulu dan berenang ke pantai. 44 Yang lain menyusul dengan bergayut pada papan atau pecahan kapal itu. Dengan cara demikian kami semua selamat sampai ke darat.

Kisah Rasul-Rasul 28

1 Setelah kami mendarat dengan selamat, baru kami tahu bahawa pulau itu bernama Malta. 2 Penduduk pulau itu sangat mesra dengan kami. Hujan mula turun dan udara pun sejuk. Oleh itu mereka menyalakan api dan menyambut kami semua. 3 Paulus mengumpulkan kayu dan ketika dia meletakkan kayu di atas api, seekor ular keluar kerana bahang api itu lalu memagut tangan Paulus. 4 Apabila penduduk pulau itu melihat ular terjuntai pada tangan Paulus, mereka bercakap sesama sendiri, "Orang ini tentu pembunuh, tetapi dewi yang bernama Keadilan tidak membenarkan dia hidup, meskipun dia selamat daripada bahaya di laut.'' 5 Tetapi Paulus mengibaskan ular daripada tangannya sehingga ular itu jatuh ke dalam api, dan Paulus tidak cedera. 6 Mereka menjangka tangan Paulus akan bengkak, atau tiba-tiba dia akan rebah mati. Tetapi setelah menunggu beberapa lama dan tidak ada sesuatu yang luar biasa berlaku kepadanya, mereka berubah fikiran lalu berkata bahawa Paulus itu dewa. 7 Tidak jauh dari tempat itu terdapat tanah yang dimiliki oleh Publius, gabenor pulau itu. Dia menyambut kami dengan baik dan selama tiga hari kami menjadi tetamunya. 8 Pada masa itu bapanya sedang demam dan menderita cirit-birit. Paulus masuk ke biliknya, lalu berdoa sambil meletakkan tangannya pada bapa yang sakit itu dan sembuhlah dia. 9 Kerana peristiwa itu, semua orang sakit di pulau itu datang kepada Paulus, dan mereka semua disembuhkan. 10 Mereka memberi kami banyak hadiah, dan apabila kami hendak belayar, mereka membawa bekalan ke kapal bagi perjalanan kami. 11 Tiga bulan kemudian kami belayar dari pulau itu dengan kapal dari Aleksandria yang menggunakan lambang "Dewa Kembar''. Kapal itu sudah berlabuh di pulau itu sepanjang musim sejuk. 12 Kami tiba di kota Sirakusa dan tinggal di situ selama tiga hari. 13 Dari situ kami belayar lagi dan tiba di kota Regium. Keesokan harinya angin mula bertiup dari selatan dan dalam dua hari kami tiba di kota Putioli. 14 Di situ kami berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus, dan dengan jemputan mereka kami tinggal dengan mereka selama seminggu. Lalu tibalah kami di Roma. 15 Pengikut Yesus di Roma mendengar khabar tentang kami. Mereka datang sampai ke Pasar Apius dan ke Penginapan Tiga untuk menyambut kami. Apabila Paulus berjumpa dengan mereka, dia bersyukur kepada Allah kerana hal itu menggalakkan dia. 16 Apabila kami tiba di Roma, Paulus dibenarkan tinggal seorang diri dengan dikawal oleh seorang askar. 17 Selepas tiga hari, Paulus memanggil pemimpin-pemimpin orang Yahudi tempatan. Sesudah mereka berkumpul, dia berkata kepada mereka, "Saudara-saudara orang Yahudi, saya tidak bersalah apa-apa terhadap bangsa kita atau melanggar adat resam yang kita terima daripada nenek moyang kita. Meskipun demikian saya ditangkap di Yerusalem dan diserahkan kepada bangsa Roma. 18 Setelah memeriksa perkara saya, orang Roma hendak membebaskan saya kerana mereka tidak mendapati saya melakukan kesalahan yang patut dihukum dengan hukuman mati. 19 Tetapi orang Yahudi menentang keputusan itu, dan saya terpaksa mengajukan rayuan supaya diadili oleh Kaisar Roma, meskipun saya tidak mempunyai tuduhan terhadap bangsa saya sendiri. 20 Itulah sebabnya saya minta berjumpa dengan saudara-saudara supaya boleh bercakap dengan saudara semua. Sebenarnya saya dibelenggu seperti ini, kerana Dia yang diharapkan oleh bangsa Israel.'' 21 Lalu mereka berkata kepadanya, "Kami belum menerima sepucuk surat pun dari Yudea tentang perkara saudara. Tiada seorang pun daripada mereka yang datang membawa khabar tentang saudara, atau bercakap buruk tentang saudara. 22 Tetapi kami ingin mendengar pendapat saudara, kerana kami tahu bahawa orang di serata tempat mencela kumpulan yang saudara anggotai.'' 23 Oleh itu mereka dan Paulus menetapkan satu hari untuk bertemu. Pada hari itu banyak orang datang ke tempat tinggal Paulus. Dari pagi hingga petang Paulus menjelaskan ajarannya tentang Pemerintahan Allah. Dia berusaha untuk meyakinkan mereka tentang Yesus dengan menggunakan ayat-ayat dari Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi. 24 Ada orang yang percaya kepada apa yang dikatakan oleh Paulus, tetapi ada juga yang tidak percaya. 25 Dengan pendirian yang berlainan mereka meninggalkan tempat itu, kerana Paulus mengatakan hal ini kepada mereka, "Memang benar apa yang dikatakan oleh Roh Allah melalui Nabi Yesaya kepada nenek moyang saudara-saudara! 26 Allah berfirman, `Pergilah dan katakan hal ini kepada bangsa ini: Kamu akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham; kamu akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak, 27 kerana seolah-olah fikiran bangsa ini tumpul, telinga pekak, dan mata buta. Jika mereka tidak demikian, tentu mata mereka akan melihat, telinga akan mendengar, dan fikiran boleh mengerti, sehingga mereka akan kembali kepada-Ku, dan Aku pun akan menyembuhkan mereka.' '' 28 Akhirnya Paulus berkata, "Saudara-saudara harus tahu bahawa perkhabaran tentang penyelamatan yang dikurniakan oleh Allah, sekarang sudah dikhabarkan kepada orang bukan Yahudi. Mereka akan menerimanya!'' 29 Setelah Paulus berkata demikian, orang Yahudi meninggalkan tempat itu sambil bertengkar sesama sendiri dengan sengit. 30 Selama dua tahun Paulus tinggal di Roma, di rumah yang disewanya sendiri. Dia menyambut sesiapa sahaja yang datang melawatnya. 31 Dengan kebebasan dan keberanian, Paulus mengkhabarkan ajaran tentang Pemerintahan Allah, dan memberikan ajaran tentang Tuhan Yesus Kristus.





AMAZING GRACE BIBLE INSTITUTE