1 Timothy

1 Timotius

1 Timotius 1

1 Surat ini daripada Paulus yang menjadi rasul Kristus Yesus dengan perintah Allah, Penyelamat kita dan Kristus Yesus, harapan kita. 2 Aku menulis surat ini kepada Timotius, yang dalam iman kita kepada Kristus, bagaikan anakku sendiri. Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Tuhan kita mengurniai engkau berkat, rahmat dan kesejahteraan. 3 Aku ingin engkau tinggal di Efesus sebagaimana aku tekankan pada waktu aku pergi ke Makedonia. Beberapa orang di Efesus sedang menyebarkan ajaran sesat, dan engkau mesti menyuruh mereka berhenti mengajarkannya. 4 Suruhlah mereka berhenti mengajarkan dongeng dan senarai nenek moyang yang sangat panjang. Semua itu hanya menimbulkan pertengkaran dan tidak berguna bagi rancangan Allah yang dapat diketahui melalui kepercayaan kepada-Nya. 5 Perintah ini bertujuan menjadikan kita saling mengasihi dengan kasih yang berasal daripada hati yang murni, hati nurani yang suci, dan kepercayaan yang sungguh-sungguh kepada Tuhan. 6 Beberapa orang sudah menyimpang daripada hal-hal itu, lalu tersesat dalam perbincangan yang sia-sia. 7 Mereka ingin menjadi guru Taurat, tetapi mereka tidak memahami kata-kata mereka sendiri ataupun hal-hal yang dikemukakan mereka dengan penuh keyakinan. 8 Kita tahu bahawa Taurat baik, jika digunakan dengan betul. 9 Perlu diingat bahawa hukum diadakan bukan untuk orang baik, tetapi untuk orang jahat dan pelanggar hukum, orang yang tidak mengenal Allah dan orang berdosa, orang yang tidak salih dan yang duniawi, orang yang membunuh ayah atau ibu, pembunuh, 10 orang yang cabul dan yang memburit, pedagang abdi, pembohong, saksi palsu, dan sesiapa sahaja yang membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran yang benar. 11 Ajaran itu terdapat di dalam Berita Baik yang dipercayakan kepadaku untuk diisytiharkan. Berita Baik yang mulia itu diberikan oleh Allah yang patut dipuji. 12 Aku bersyukur kepada Kristus Yesus Tuhan kita, yang sudah memberi aku kekuatan untuk menjalankan pekerjaanku. Aku berterima kasih kepada-Nya, kerana Dia menganggap aku layak, dan telah melantik aku untuk melakukan tugas itu, 13 meskipun dahulu aku mengkufuri, menganiaya dan menghina Dia. Tetapi Allah mengasihani aku, kerana pada waktu itu aku tidak percaya kepada Kristus, sehingga aku tidak tahu apa yang aku lakukan. 14 Tetapi Tuhan kita melimpahkan rahmat-Nya kepadaku. Dia membolehkan aku percaya kepada-Nya dan mengasihi orang lain, kerana hidup bersatu dengan Kristus Yesus. 15 Pernyataan ini sungguh benar dan harus diterima serta dipercayai sepenuhnya: Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan orang berdosa. Akulah yang paling jahat, 16 tetapi justeru kerana itulah Allah mengasihani aku, supaya Kristus Yesus dapat menunjukkan kesabaran dengan sepenuhnya terhadap aku, orang yang paling berdosa. Hal ini menjadi contoh untuk semua orang yang kelak akan percaya kepada-Nya dan mendapat hidup sejati dan kekal. 17 Hendaklah Allah, Raja yang kekal, yang hidup selama-lamanya, yang tidak kelihatan, dan yang esa, dihormati serta dimuliakan selama-lamanya! Amin. 18 Timotius, anakku, arahan ini aku berikan kepadamu, sesuai dengan nubuat tentang dirimu yang disampaikan dahulu. Gunakanlah kata-kata nubuat itu sebagai senjatamu dalam perjuangan yang baik itu. 19 Hendaklah imanmu menjadi pegangan hidup dan hendaklah engkau mempunyai hati nurani yang suci. Ada orang yang tidak mempedulikan hati nurani, sehingga iman mereka hancur. 20 Himeneus dan Aleksander tergolong kepada orang yang sedemikian. Aku telah menghukum kedua-duanya dengan menyerahkan mereka kepada kuasa Iblis, untuk mengajar mereka berhenti mengkufuri Allah.

1 Timotius 2

1 Pertama sekali aku menggesa supaya doa permohonan dan ucapan syukur disampaikan kepada Allah untuk semua orang, 2 untuk raja-raja dan semua penguasa. Berdoalah kepada Allah supaya kita boleh hidup dengan aman dan tenteram. Kita harus menghormati Allah, dan berlaku sopan terhadap orang lain. 3 Hal ini baik dan menyenangkan hati Allah, Penyelamat kita. 4 Dia mahu semua orang diselamatkan serta mengetahui ajaran benar tentang penyelamatan, 5 kerana hanya ada satu Allah dan hanya ada satu yang dapat memimpin manusia kepada Allah, iaitu Kristus Yesus yang datang ke bumi sebagai manusia. 6 Dia telah menyerahkan diri-Nya untuk menyelamatkan manusia daripada dosa. Hal ini membuktikan bahawa pada waktu yang tepat, Allah menghendaki semua orang diselamatkan. 7 Itulah sebabnya aku diutus sebagai rasul dan guru kepada orang bukan Yahudi untuk memberitakan perkhabaran tentang iman yang benar. Aku tidak berdusta. Aku mengatakan yang benar! 8 Aku mahu orang lelaki berdoa di mana-mana sahaja dengan hati yang suci, tanpa kemarahan ataupun pertengkaran. 9 Aku juga mahu kaum wanita menghias diri dengan sederhana dan mengenakan pakaian yang senonoh. Jangan dandani diri dengan potongan rambut yang bukan-bukan, atau perhiasan emas atau mutiara, atau pakaian yang mahal-mahal. 10 Sebaliknya, wanita harus menghias diri dengan perbuatan baik yang sepatutnya dilakukan oleh wanita yang mengabdikan diri kepada Allah. 11 Wanita harus belajar dengan berdiam diri dan dengan rendah hati. 12 Aku tidak membenarkan wanita mengajar ataupun memerintahi lelaki; wanita mesti berdiam diri. 13 Hal ini demikian kerana Adam yang diciptakan dahulu, kemudian barulah Hawa. 14 Lagi pula bukan Adam yang ditipu, tetapi wanita yang tertipu, sehingga melanggar perintah Allah. 15 Meskipun demikian wanita akan diselamatkan dengan melahirkan anak, tetap beriman, mengasihi orang lain, dan hidup suci.

1 Timotius 3

1 Sungguh benar kata-kata ini, "Seseorang yang ingin menjadi pemimpin jemaah, dia menginginkan pekerjaan yang sangat baik.'' 2 Seorang pemimpin jemaah haruslah orang yang tidak bercela. Dia mesti mempunyai seorang isteri sahaja, bijaksana, tahu mengawal diri, dan tertib kelakuannya. Dia mesti suka menyambut orang ke rumahnya, dapat mengajar orang, 3 dan bukan seorang pemabuk yang suka berkelahi. Sebaliknya, dia mesti lemah-lembut dan suka akan kedamaian. Dia tidak boleh tamak akan wang. 4 Dia mesti tahu mengurus rumah tangganya dengan baik dan mendidik anak-anaknya agar menurut perintahnya serta menghormati dia. 5 Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia dapat mengurus jemaah Allah? 6 Pemimpin jemaah seharusnya bukan orang yang baru sahaja menjadi Kristian, kerana nanti dia menjadi sombong lalu terkutuk seperti Iblis dahulu. 7 Dia mestilah seorang yang dihormati oleh orang di luar jemaah, supaya dia tidak dipermalukan lalu jatuh ke dalam perangkap Iblis. 8 Penolong jemaah mestilah juga orang yang baik sifatnya dan tulus. Mereka tidak boleh minum terlalu banyak wain atau tamak akan wang. 9 Dengan hati nurani yang murni, mereka mesti berpegang kepada ajaran iman Kristian yang sudah dinyatakan oleh Allah. 10 Mereka harus diuji dahulu dan jika terbukti mereka tidak bercela, barulah mereka boleh membantu. 11 Isteri mereka pun mestilah orang yang baik sifatnya. Mereka tidak boleh mengumpat; mereka haruslah tahu mengawal diri dan jujur dalam segala perkara. 12 Seorang penolong jemaah mesti mempunyai seorang isteri sahaja. Dia mesti tahu mendidik anak-anaknya dan mengurus rumah tangganya dengan baik. 13 Pembantu jemaah yang menjalankan tugas dengan baik akan dihormati, dan mereka dapat bercakap dengan kewibawaan tentang kepercayaan mereka kepada Kristus Yesus. 14 Semasa aku menulis surat ini kepadamu, aku berharap dapat segera pergi melawat engkau. 15 Tetapi jika aku terlambat, surat ini akan memberitahu engkau bagaimana kita harus hidup sebagai orang Kristian. Kita anggota keluarga Allah, iaitu jemaah Allah yang hidup. Jemaah inilah tiang dan penunjang ajaran yang benar tentang Allah. 16 Tidak seorang pun dapat menafikan betapa mulianya rahsia kepercayaan kita: Kristus Yesus menampakkan diri dengan rupa manusia, dan dinyatakan benar oleh Roh Allah, serta dilihat oleh para malaikat. Dia diisytiharkan antara bangsa-bangsa, dan Dia dipercayai di seluruh dunia, dan telah diangkat ke syurga.

1 Timotius 4

1 Roh Allah dengan jelas mengatakan bahawa pada akhir zaman beberapa orang akan menyangkal Kristus. Mereka akan taat kepada roh yang menyesatkan dan kepada ajaran roh jahat. 2 Ajaran itu disampaikan oleh orang munafik dan pendusta yang tidak mempedulikan suara hati mereka. 3 Mereka mengajar orang supaya tidak berkahwin dan tidak memakan makanan tertentu. Tetapi Allah menciptakan makanan untuk dimakan, dan kita sebagai orang Kristian yang mengenal ajaran yang benar harus menerima semua makanan dengan mengucap syukur kepada-Nya. 4 Segala sesuatu yang sudah diciptakan oleh Allah itu baik. Tiada satu pun yang harus ditolak. Terimalah segala-galanya dengan mengucap syukur kepada-Nya, 5 kerana firman Allah dan doa yang diucapkan menjadikan makanan itu suci. 6 Jika engkau memberikan semua petunjuk ini kepada saudara-saudara seiman, engkau akan menjadi hamba Kristus Yesus yang baik. Teguhkanlah hidup kerohanianmu dengan ajaran iman Kristian dan ajaran benar yang telah engkau ikuti. 7 Jauhkanlah dirimu daripada cerita-cerita tahayul yang jahat dan sia-sia. Latihlah dirimu untuk kehidupan yang beribadat. 8 Latihan jasmani ada faedahnya, tetapi latihan rohani sangat berfaedah dalam segala hal, kerana latihan rohani memberikan faedah kepada hidup kita baik sekarang mahupun pada masa yang akan datang. 9 Kata-kata ini sungguh benar dan harus benar-benar diterima serta dipercayai. 10 Kita berjuang dan bekerja keras, kerana kita berharap sepenuhnya kepada Allah yang hidup, Penyelamat semua orang, terutama sekali orang yang percaya kepada-Nya. 11 Ajarkanlah semua itu dan suruhlah mereka mentaatinya. 12 Jangan biarkan sesiapa pun menghina engkau kerana engkau muda. Sebaliknya, hendaklah engkau menjadi teladan bagi semua orang yang percaya kepada Kristus dengan percakapanmu, kelakuanmu, kasihmu untuk orang lain, imanmu kepada Kristus dan cara hidupmu yang suci. 13 Sementara itu sehingga aku datang kelak, gunakanlah masamu dengan membaca Alkitab kepada jemaah, dan berkhutbah serta mengajar. 14 Janganlah abaikan pemberian yang dikurniakan oleh Allah kepadamu pada masa nabi-nabi menyampaikan perkhabaran Allah tentang dirimu, dan para pemimpin jemaah memberkatimu dengan meletakkan tangan pada kepalamu. 15 Lakukanlah semuanya tanpa mengenal lelah, supaya kemajuanmu dilihat oleh semua orang. 16 Berhati-hatilah dengan dirimu sendiri dan ajaranmu. Jika engkau selalu melakukannya, engkau akan menyelamatkan baik dirimu sendiri mahupun orang yang mendengar engkau.

1 Timotius 5

1 Janganlah marahi orang yang lebih tua daripadamu, tetapi hendaklah engkau bercakap kepadanya seolah-olah dia bapamu. Perlakukanlah orang muda seperti saudaramu, 2 dan wanita tua seperti ibu. Dengan hati yang tulus, hendaklah engkau memperlakukan wanita muda seperti adik. 3 Hormatilah balu yang benar-benar hidup seorang diri. 4 Tetapi jika seorang balu mempunyai anak cucu, mereka inilah yang harus terlebih dahulu menjalankan kewajipan agama terhadap kaum keluarga sendiri. Dengan cara itu mereka membalas budi ibu bapa, nenek, dan datuk. Perbuatan ini menyenangkan hati Allah. 5 Seorang balu yang benar-benar seorang diri, tanpa seseorang yang dapat memeliharanya, hanya berharap kepada Allah. Siang malam dia berdoa kepada Allah meminta pertolongan-Nya. 6 Tetapi seorang balu yang hidup berfoya-foya, dia ini sudah pun mati meskipun dia masih hidup. 7 Sampaikanlah petunjuk-petunjuk ini kepada mereka, supaya jangan sesiapa pun dapat mencela mereka. 8 Jika seseorang tidak memelihara sanak saudaranya, apa lagi anggota keluarganya sendiri, dia menyangkal Kristus. Dia lebih jahat daripada orang yang tidak beriman. 9 Seorang balu yang memenuhi syarat-syarat berikut ini boleh digolongkan ke dalam senarai balu: umurnya harus lebih daripada enam puluh tahun, hanya berkahwin sekali, 10 dan terkenal kerana perbuatannya yang baik, misalnya membesarkan anak-anaknya dengan baik, menyambut orang ke dalam rumahnya, melayani orang seiman, menolong orang susah, dan sentiasa melakukan apa yang baik. 11 Jangan golongkan balu muda ke dalam senarai itu. Jika perasaan berahi mereka timbul, mereka ingin berkahwin lagi. Dengan demikian mereka meninggalkan Kristus, 12 lalu bersalah kerana memungkiri janji mereka kepada Kristus. 13 Selain daripada itu mereka suka membuang masa dengan keluar masuk rumah orang. Tetapi yang lebih buruk lagi, mereka mengumpat dan turut campur urusan orang lain serta mempercakapkan perkara-perkara yang tidak seharusnya dikatakan. 14 Oleh itu aku mahu supaya balu muda berkahwin lagi, mempunyai anak dan mengurus rumah tangga, agar musuh kita tidak berpeluang menjahatkan nama kita. 15 Hal itu demikian kerana ada balu yang sudah meninggalkan Kristus lalu mengikut Iblis. 16 Tetapi jika seorang wanita Kristian mempunyai anggota keluarga yang sudah menjadi balu, hendaklah dia memelihara mereka dan tidak membebani jemaah dengan tugas itu. Dengan demikian jemaah dapat menolong balu yang sama sekali tidak mempunyai sanak keluarga. 17 Pemimpin jemaah yang menjalankan tugas dengan baik sebagai pemimpin, layak menerima bayaran dua kali ganda, terutama sekali mereka yang rajin berkhutbah dan mengajar. 18 Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, "Janganlah berangus mulut lembu yang sedang mengirik biji-bijian,'' dan juga, "Orang yang bekerja layak menerima upah.'' 19 Janganlah percaya tuduhan terhadap seorang pemimpin jemaah, kecuali tuduhan itu diperkuat oleh dua atau tiga orang saksi. 20 Orang yang berbuat dosa harus ditegur di hadapan jemaah, supaya yang lain menjadi takut. 21 Di hadapan Allah, Kristus Yesus, dan malaikat-malaikat yang suci, aku mengarahkan engkau mentaati perintah-perintah ini tanpa prasangka terhadap sesiapa pun dan tidak berat sebelah. 22 Janganlah tergesa-gesa letakkan tangan pada seseorang untuk melantik dia sebagai hamba Tuhan. Jika orang lain berdosa, janganlah terikut-ikut. Jagalah supaya dirimu tetap murni. 23 Jangan minum air sahaja, tetapi minumlah sedikit wain untuk menolong pencernaanmu, kerana engkau sering sakit. 24 Dosa beberapa orang sudah nyata sebelum diadili, tetapi dosa beberapa orang lain akan ketahuan kemudian. 25 Demikian juga perbuatan baik mudah dilihat dan yang tidak kelihatan pun tidak akan tetap tersembunyi.

1 Timotius 6

1 Orang Kristian yang menjadi abdi mesti menghormati tuan mereka, supaya orang tidak dapat memburukkan nama Allah ataupun ajaran kita. 2 Abdi Kristian yang menjadi milik orang Kristian, tidak boleh menghina tuan mereka, kerana mereka saudara seiman. Sebaliknya, abdi harus melayani tuan mereka dengan lebih baik, kerana orang yang menikmati pelayanan itu saudara seiman yang dikasihi. Engkau harus mengajarkan perkara-perkara ini kepada jemaah dan menggalakkan mereka melakukannya. 3 Sesiapa mengajarkan ajaran yang bertentangan dengan ajaran benar daripada Tuhan kita Yesus Kristus dan ajaran agama kita, 4 dia sombong dan tidak tahu apa-apa! Keinginannya tidak wajar. Dia suka berdebat dan bertengkar tentang istilah sehingga mengakibatkan kecemburuan, perselisihan, penghinaan, kecurigaan, 5 dan pertengkaran yang tidak habis-habis dengan semua orang yang tidak tahu berfikir dan tidak mengenal apa yang benar. Mereka menyangka dapat menjadi kaya kerana beragama. 6 Agama memang menyebabkan orang menjadi kaya, jika orang puas dengan apa yang dimiliki. 7 Adakah kita membawa sesuatu ke dalam dunia ini? Tidak! Dapatkah kita membawa sesuatu ke luar dunia ini? Tidak! 8 Oleh itu, cukuplah jika kita mempunyai pakaian dan makanan. 9 Orang yang ingin menjadi kaya tergoda dan terjerat oleh bermacam-macam keinginan yang sia-sia dan mencelakakan. Keinginan seperti itu menjatuhkan dan membinasakan orang. 10 Sikap mencintai wang menimbulkan segala macam kejahatan. Ada orang yang mengejar wang, sehingga menyangkal Kristus dan akhirnya menderita serta berdukacita. 11 Tetapi engkau, hai orang yang melakukan kehendak Allah, jauhkanlah dirimu daripada segala perkara itu. Berusahalah supaya sentiasa melakukan kehendak Allah, hidup beribadat, sentiasa percaya kepada Kristus, mengasihi saudara seiman, tabah menghadapi penderitaan, dan bersikap lemah-lembut. 12 Berjuanglah sungguh-sungguh untuk hidup sebagai orang Kristian yang setia, supaya engkau merebut hadiah hidup sejati dan kekal, kerana untuk hidup itulah Allah memanggil engkau apabila engkau mengaku percaya kepada Kristus di hadapan banyak orang. 13 Di hadapan Allah yang memberikan nyawa kepada semua makhluk, dan juga di hadapan Kristus Yesus yang memberikan kesaksian yang benar kepada Pontius Pilatus, aku menggesa engkau: 14 Taatilah semua perintah itu dengan saksama supaya orang tidak dapat mencelamu, sehingga pada hari Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. 15 Kedatangan-Nya akan ditentukan pada waktu yang tepat oleh Allah sendiri. Dialah Penguasa Satu-satunya, Raja Yang Terutama dan Tuhan Yang Agung. 16 Dialah satu-satunya yang hidup selama-lamanya. Dia hidup dalam cahaya yang tidak dapat didekati oleh sesiapa pun. Tiada seorang pun pernah melihat Dia atau dapat melihat-Nya. Hendaklah Dia selalu dihormati dan berkuasa selama-lamanya! Amin. 17 Nasihatilah orang yang kaya dengan harta dunia, supaya jangan sombong dan jangan bergantung kepada barang-barang yang tidak tetap, seperti kekayaan. Berharaplah kepada Allah yang mengurniai kita segala sesuatu dengan berlimpah-limpah untuk dinikmati. 18 Nasihatilah mereka supaya berbuat baik, supaya rajin berbuat kebajikan, murah hati, dan suka memberi. 19 Dengan jalan ini mereka mengumpulkan harta yang akan menjadi asas yang kukuh untuk masa depan. Dengan demikian mereka akan mendapat hidup kekal iaitu hidup sejati. 20 Timotius, jagalah baik-baik apa yang telah dipercayakan kepadamu. Jauhkanlah dirimu daripada percakapan yang tidak berguna dan perdebatan yang sia-sia tentang hal-hal yang disebut orang sebagai "Pengetahuan''. 21 Ada orang yang mengaku memiliki pengetahuan itu, tetapi akibatnya mereka menyimpang daripada ajaran Kristian. Semoga Allah memberkati kamu semua.





AMAZING GRACE BIBLE INSTITUTE