1 Thessalonians
1 Tesalonika
1 Tesalonika 1
1 Surat ini daripada Paulus, Silas, dan Timotius. Surat ini ditujukan kepada jemaah di Tesalonika, yang menjadi milik Allah Bapa dan Tuhan Yesus Kristus. Semoga Allah mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. 2 Kami sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu semua. Setiap kali kami berdoa kepada Allah, kami sentiasa mendoakan kamu. 3 Apabila kami berdoa kepada Allah dan Bapa kita, kami mengingat bagaimana perbuatan kamu menunjukkan kepercayaan kamu kepada Kristus, bagaimana kamu mengasihi orang lain sehingga bekerja untuk membantu mereka, dan bagaimana kamu berharap dengan teguh kepada Tuhan kita Yesus Kristus. 4 Saudara-saudaraku, kami tahu bahawa Allah mengasihi kamu dan sudah memilih kamu menjadi milik-Nya sendiri. 5 Hal itu demikian, kerana kami mengisytiharkan Berita Baik kepada kamu, bukan dengan kata-kata sahaja, tetapi juga dengan kuasa, dengan Roh Allah dan dengan keyakinan bahawa Berita Baik itu benar. Kamu mengetahui cara hidup kami ketika kami bersama-sama kamu dan semua itu untuk kebaikan kamu. 6 Kamu mengikut teladan kami dan teladan Tuhan. Meskipun kamu menanggung banyak penderitaan, kamu menyambut perkhabaran itu dengan kegembiraan yang datang daripada Roh Allah. 7 Oleh itu kamu menjadi teladan kepada semua orang Kristian di Makedonia dan Akhaya. 8 Berita tentang Tuhan tersebar sampai ke Makedonia dan Akhaya, kerana kamu. Orang di mana-mana sahaja juga mendengar berita tentang kepercayaan kamu kepada Allah. Oleh itu kami tidak perlu berkata apa-apa lagi. 9 Semua orang berkata bahawa kamu menyambut kami dengan baik ketika melawat kamu dahulu. Mereka berkata bahawa kamu tidak mahu menyembah berhala lagi, tetapi datang kepada satu-satunya Allah yang hidup untuk mentaati dan menyembah Dia. 10 Mereka juga berkata bahawa kamu menantikan kedatangan Anak Allah dari syurga, iaitu Yesus yang sudah dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. Yesuslah yang menyelamatkan kita daripada kemurkaan Allah yang akan datang.
1 Tesalonika 2
1 Saudara-saudaraku, kamu sendiri tahu bahawa lawatan kami kepada kamu tidak sia-sia. 2 Kamu tahu bahawa kami dianiaya dan dihina di Filipi, sebelum kami datang kepada kamu di Tesalonika. Meskipun kami mengalami tentangan, Allah kita mengurniai kami keberanian untuk memberitahu kamu Berita Baik yang datang daripada-Nya. 3 Rayuan kami kepada kamu tidak berdasarkan kesilapan ataupun maksud yang tidak murni. Kami juga tidak cuba memperdaya sesiapa pun. 4 Sebaliknya kami sentiasa berkata-kata sebagaimana yang dikehendaki Allah, kerana kami dianggap layak oleh Allah untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. Kami tidak berusaha untuk menyenangkan hati orang, tetapi kami berusaha untuk menyenangkan hati Allah yang menguji hati kami. 5 Kamu tahu bahawa kami tidak datang kepada kamu dengan kata-kata yang mengangkat, ataupun dengan maksud untuk mengambil untung daripada kamu. Allah saksi kami! 6 Kami tidak berusaha untuk mendapat pujian daripada sesiapa pun, baik daripada kamu mahupun daripada orang lain. 7 Sebenarnya sebagai rasul Kristus kami boleh menuntut sesuatu daripada kamu. Tetapi apabila kami bersama-sama kamu, kami bersikap lemah lembut seperti seorang ibu yang menjaga anak-anaknya. 8 Kerana kami mengasihi kamu, kami bersedia mati bagi kamu di samping memberitahu kamu Berita Baik daripada Allah. Kami sangat mengasihi kamu! 9 Saudara-saudaraku, tentu kamu ingat bagaimana kami bertungkus lumus! Kami bekerja siang malam supaya kami tidak menjadi beban kepada kamu semasa kami mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. 10 Kamulah saksi kami, demikian juga Allah. Kelakuan kami suci, benar, dan tidak bercela terhadap kamu yang percaya kepada Kristus. 11 Kamu tahu bahawa kami memperlakukan setiap orang daripada kamu seperti seorang bapa memperlakukan anak-anaknya. 12 Kami menasihati kamu, kami menggalakkan kamu, dan kami menggesa kamu supaya hidup sedemikian rupa sehingga menyenangkan hati Allah. Dialah yang memanggil kamu untuk menikmati Dunia Baru Allah dan kemuliaan-Nya. 13 Kami mempunyai alasan lain yang menyebabkan kami sentiasa bersyukur kepada Allah. Ketika kami menyampaikan perkhabaran Allah kepada kamu, kamu mendengar dan menyambutnya bukan sebagai perkhabaran daripada manusia, tetapi sebagai perkhabaran daripada Allah. Memang perkhabaran itu daripada Allah! Allah bekerja dalam diri kamu yang percaya kepada Kristus. 14 Saudara-saudaraku, kamu sudah mengalami perkara yang juga dialami oleh jemaah Allah di Yudea, yang menjadi milik Kristus Yesus. Kamu mengalami penganiayaan daripada orang sebangsa kamu sendiri, seperti jemaah di Yudea yang mengalami penganiayaan daripada orang Yahudi. 15 Orang Yahudi sudah membunuh Tuhan Yesus dan nabi-nabi, serta menganiaya kami juga. Mereka memusuhi semua orang dan mereka menyebabkan Allah sangat murka! 16 Bahkan mereka berusaha menghalangi kami mengisytiharkan perkhabaran Allah kepada orang bukan Yahudi, dan sebenarnya perkhabaran itu dapat menyelamatkan mereka. Demikianlah orang Yahudi terus-menerus menambah dosa sampai hadnya. Sekarang kemurkaan Allah menimpa mereka! 17 Tetapi saudara-saudara seiman, sejak kami terpisah daripada kamu untuk sementara waktu -- jauh di mata tetapi dekat di hati -- kami sangat merindui kamu. Kami berusaha seboleh-bolehnya supaya dapat berjumpa lagi dengan kamu! 18 Kami berniat melawat kamu lagi. Aku sendiri telah berusaha melawat kamu semula sekali dua, tetapi Iblis menghalangi kami. 19 Sesungguhnya kamulah harapan dan kegembiraan kami. Pada waktu Tuhan kita Yesus datang kelak, dan kita menghadap-Nya, maka kamulah yang akan menyebabkan kami dapat berbangga dengan kejayaan kami. 20 Sesungguhnya kamulah kebanggaan dan kegembiraan kami!
1 Tesalonika 3
1 Akhirnya kerinduan kami tidak tertahan lagi. Oleh itu kami membuat keputusan untuk tinggal sendirian di Atena, 2 sementara kami mengutus Timotius, saudara kita. Dia hamba Allah yang bekerja bersama-sama kami untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang Kristus. Kami mengutus dia untuk menggalakkan kamu dan meneguhkan kepercayaan kamu kepada Kristus. 3 Dengan demikian tidak seorang pun daripada kamu meninggalkan Kristus kerana penganiayaan itu. Kamu sendiri tahu bahawa penganiayaan itu sebahagian daripada kehendak Allah bagi kita. 4 Semasa kami bersama-sama kamu, kami telah memberitahu kamu terlebih dahulu bahawa kita akan dianiaya. Sekarang kamu sendiri tahu bahawa hal itu benar-benar berlaku. 5 Itulah sebabnya aku mengutus Timotius, kerana aku ingin sekali mengetahui hal kepercayaan kamu kepada Kristus. Aku khuatir kalau-kalau Iblis sudah menggoda kamu sehingga segala usaha kami sia-sia. 6 Sekarang Timotius sudah kembali, dan dia membawa khabar baik bahawa kamu masih percaya kepada Kristus dan bahawa kamu saling mengasihi. Dia memberitahu kami bahawa kamu sentiasa gembira apabila mengenang kami dan kamu ingin berjumpa dengan kami seperti kami pun ingin berjumpa dengan kamu. 7 Itulah sebabnya, saudara-saudara seiman, dalam segala kesusahan dan penderitaan kami, kami terhibur oleh berita tentang kamu. Kepercayaan kamu kepada Kristus menggalakkan kami, 8 kerana sekarang kami berasa sungguh-sungguh hidup, jika kamu tetap teguh bersatu dengan Tuhan. 9 Sekarang kami sangat bersyukur kepada Allah kerana kamu. Kami bersyukur kepada Allah bagi kegembiraan yang kami alami di hadirat-Nya kerana kamu. 10 Siang malam kami memohon kepada-Nya dengan sepenuh hati, supaya kami sendiri boleh berjumpa dengan kamu, dan melengkapkan apa yang masih kamu perlukan untuk percaya kepada Kristus. 11 Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan kita Yesus, membuka jalan bagi kami untuk berjumpa dengan kamu! 12 Semoga Tuhan menyebabkan kamu semakin saling mengasihi dan semakin mengasihi semua orang, sehingga kasih kamu kepada orang lain seperti kasih kami kepada kamu. 13 Dengan cara ini Tuhan akan menguatkan hati kamu, sehingga kamu akan menjadi suci dan tidak bercela di hadirat Allah Bapa kita, pada waktu Tuhan kita Yesus datang dengan semua orang yang menjadi milik-Nya.
1 Tesalonika 4
1 Akhirnya, saudara-saudaraku, kami telah memberikan teladan kepada kamu tentang cara hidup yang menyenangkan hati Allah. Aku tahu bahawa memang demikianlah cara kamu hidup. Tetapi sekarang demi nama Tuhan Yesus, kami meminta dan menggesa kamu supaya berbuat lebih daripada hal itu. 2 Aku berkata demikian kerana kamu mengetahui petunjuk-petunjuk yang telah kami berikan kepada kamu dengan kuasa Tuhan Yesus. 3 Inilah kehendak Allah bagi kamu: Hendaklah kamu mengamalkan hidup yang suci, dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang cabul. 4 Setiap orang lelaki antara kamu harus tahu bagaimana hidup bersama-sama isterinya dengan cara yang menyenangkan hati Allah dan manusia, 5 serta tidak mengikut hawa nafsu, seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Allah. 6 Dalam hal seperti ini, janganlah seorang pun berbuat salah terhadap saudaranya, ataupun memperdayakan dia. Kami telah memberitahu kamu hal ini dahulu dan telah memberikan amaran yang keras kepada kamu bahawa Tuhan akan menghukum orang yang melakukan kesalahan seperti itu. 7 Allah tidak memanggil kita supaya hidup cabul, tetapi supaya kita hidup dengan cara yang menyenangkan hati Allah. 8 Oleh itu, orang yang menolak ajaran ini, bukannya menolak manusia, tetapi menolak Allah yang mengurniai kamu Roh-Nya yang suci. 9 Tidak perlu kami menulis tentang bagaimana kamu harus mengasihi saudara-saudara seiman. Kamu sendiri telah diajar oleh Allah bagaimana kamu harus saling mengasihi. 10 Kamu sudah menunjukkan hal ini kepada semua saudara seiman di seluruh Makedonia. Oleh itu, saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya lebih saling mengasihi. 11 Berusahalah hidup dengan tenang; janganlah campuri hal orang lain dan carilah nafkah sendiri, sebagaimana kami katakan kepada kamu dahulu. 12 Dengan cara ini kamu akan dihormati oleh mereka yang tidak percaya kepada Kristus. Kamu pun tidak perlu bergantung kepada sesiapa pun bagi keperluan kamu. 13 Saudara-saudaraku, kami ingin kamu mengetahui yang sebenarnya tentang mereka yang sudah meninggal dunia, supaya kamu tidak bersedih hati seperti orang yang tidak mempunyai harapan. 14 Kita percaya bahawa Yesus sudah mati dan hidup semula. Demikian juga kita percaya bahawa mereka yang percaya kepada Yesus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan semula oleh Allah supaya hidup bersama-sama Yesus. 15 Yang kami beritahukan kepada kamu ini ajaran Tuhan: Pada hari Tuhan datang kelak, kita yang masih hidup tidak akan mendahului mereka yang sudah meninggal dunia. 16 Pada masa itu malaikat agung akan berseru dengan suara yang kuat dan trompet Allah dibunyikan, lalu Tuhan sendiri akan turun dari syurga. Mereka yang percaya kepada Kristus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan terlebih dahulu. 17 Kemudian kita yang masih hidup pada waktu itu akan diangkat bersama-sama mereka ke awan untuk berjumpa dengan Tuhan di angkasa. Lalu kita akan bersama-sama Tuhan selama-lamanya. 18 Oleh itu, hendaklah kamu saling membesarkan hati dengan kata-kata ini.
1 Tesalonika 5
1 Saudara-saudara seiman, kami tidak perlu menulis tentang masa dan waktu, apabila perkara-perkara ini akan berlaku. 2 Hal itu demikian kerana kamu sendiri tahu dengan jelas bahawa Hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti pencuri datang pada malam hari. 3 Apabila orang berkata, "Semuanya aman dan tenteram,'' pada waktu itulah mereka akan ditimpa kebinasaan dengan tiba-tiba dan tidak seorang pun dapat melepaskan diri. Hal itu akan berlaku dengan tiba-tiba seperti rasa sakit yang dialami seorang wanita semasa hendak melahirkan anak. 4 Tetapi kamu, saudara-saudara seiman, kamu tidak hidup dalam kegelapan. Hari itu tidak seharusnya mengejutkan kamu seperti kedatangan seorang pencuri. 5 Kamu semuanya orang yang hidup dalam cahaya, orang yang tergolong pada siang yang terang. Kita bukan orang yang hidup dalam kegelapan, atau yang tergolong pada malam yang gelap. 6 Oleh itu kita tidak seharusnya tidur seperti orang lain. Kita harus berjaga-jaga dan berwaspada. 7 Orang tidur pada malam hari; orang pun mabuk pada malam hari. 8 Tetapi kita ini orang yang tergolong pada siang yang terang. Oleh itu kita harus berwaspada. Kita mesti percaya kepada Tuhan dan mengasihi orang lain, maka hal itu seperti melindungi diri dengan perisai dada. Dengan yakin kita berharap akan diselamatkan, dan hal ini seperti melindungi kepala dengan topi besi. 9 Allah memilih kita bukannya untuk mengalami kemurkaan-Nya, tetapi untuk diselamatkan melalui Tuhan kita Yesus Kristus. 10 Yesus mati untuk kita supaya kita boleh hidup bersama-sama Dia pada waktu Dia datang kelak, baik kita masih hidup ataupun telah mati pada waktu itu. 11 Oleh itu, hendaklah kamu saling menggalakkan dan saling menguatkan, seperti yang kamu lakukan sekarang ini. 12 Saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya menghormati mereka yang bekerja di kalangan kamu. Mereka memimpin dan menasihati kamu dalam kehidupan kamu sebagai orang Kristian. 13 Perlakukanlah mereka dengan penuh hormat dan kasihilah mereka, kerana semuanya yang dilakukan oleh mereka. Hendaklah kamu hidup rukun. 14 Saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya memberikan amaran kepada orang yang malas bekerja, menabahkan hati orang yang takut, menolong orang yang perlu ditolong, dan bersabar terhadap semua orang. 15 Janganlah seorang pun membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi kamu harus sentiasa berusaha untuk saling berbuat baik dan menolong semua orang. 16 Hendaklah kamu sentiasa bersukacita, 17 dan berdoalah sentiasa. 18 Hendaklah kamu bersyukur dalam segala keadaan, kerana hal inilah yang dikehendaki oleh Allah daripada kamu sebagai orang yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus. 19 Janganlah halang Roh Allah. 20 Janganlah hina perkhabaran-perkhabaran yang diberikan oleh Roh Allah. 21 Pertimbangkan semuanya; ikutlah apa yang baik, 22 dan jauhilah segala macam kejahatan. 23 Semoga Allah yang mengurniai kita kesejahteraan, menjadikan kamu sungguh-sungguh hidup khas untuk Allah. Semoga Allah menjaga roh, jiwa, dan tubuh kamu, sehingga tidak bercacat cela pada masa Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. 24 Allah yang memanggil kamu akan melakukan hal itu, kerana Dia setia. 25 Doakanlah kami, saudara-saudara seiman. 26 Bersalamanlah dengan mesra sebagai saudara Kristian. 27 Dengan kuasa Tuhan, aku menggesa kamu supaya membacakan surat ini kepada semua saudara seiman. 28 Semoga Tuhan kita Yesus Kristus memberkati kamu semua.
|