1 JOHN1 Yohanes1 Yohanes 11 Kami menulis surat kepada kamu tentang Firman yang memberikan hidup, iaitu Firman yang telah ada sejak permulaan. Kami sudah mendengarnya, dan kami sudah melihatnya dengan mata kepala sendiri. Kami sudah melihatnya dan kami sudah menyentuhnya dengan tangan. 2 Ketika hidup sejati dan kekal itu dinyatakan, kami melihatnya. Itulah sebabnya kami memberikan kesaksian tentangnya. Kami memberitahu kamu tentang hidup sejati dan kekal, yang bersama-sama Bapa, dan yang sudah ditunjukkan kepada kami. 3 Kami pun memberitahu kamu apa yang sudah kami lihat dan dengar, supaya kamu bersama-sama kami turut menghayati hidup bersatu dengan Bapa dan dengan Anak-Nya Yesus Kristus. 4 Kami menulis hal ini supaya kita benar-benar gembira. 5 Inilah berita yang telah kami dengar daripada Anak-Nya dan yang kami isytiharkan kepada kamu: Allah itu cahaya, dan pada-Nya tidak ada kegelapan sama sekali. 6 Jika kita berkata bahawa kita hidup bersatu dengan Dia, padahal kita hidup dalam kegelapan, maka kita berdusta baik dengan kata-kata mahupun dengan perbuatan. 7 Tetapi jika kita hidup dalam cahaya, sebagaimana Allah ada dalam cahaya, maka kita hidup rukun dan darah Yesus, Anak-Nya, membersihkan kita daripada segala dosa. 8 Jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, kita menipu diri sendiri, dan Allah tidak ada di dalam hati. 9 Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan melakukan apa yang adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala perbuatan yang salah. 10 Tetapi jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, kita menjadikan Allah pendusta, dan firman-Nya tidak kita simpan di dalam hati. 1 Anak-anakku, aku menulis surat ini kepada kamu, supaya kamu tidak berdosa. Tetapi jika seseorang berdosa, kita mempunyai seorang pembela, iaitu Yesus Kristus yang adil. Dia akan memohon bagi kita di hadapan Bapa. 2 Melalui Kristuslah dosa kita diampunkan, dan bukannya dosa kita sahaja, tetapi juga dosa semua orang. 3 Jika kita taat kepada perintah Allah, itulah tandanya kita mengenal Dia. 4 Jika seseorang berkata, "Aku mengenal Allah,'' tetapi tidak taat kepada perintah-Nya, orang seperti itu pendusta. Allah tidak ada di dalam hatinya. 5 Tetapi sesiapa taat kepada firman-Nya, orang itu mengasihi Allah dengan sempurna. Itulah tandanya kita hidup bersatu dengan Allah. 6 Sesiapa berkata bahawa dia hidup bersatu dengan Allah, orang itu harus hidup mengikut jejak Kristus. 7 Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Perintah yang aku tulis ini bukanlah suatu perintah yang baru. Perintah ini perintah lama, yang telah kamu terima sejak kamu percaya kepada Kristus. Perintah lama ini berita daripada Allah yang sudah kamu dengar. 8 Walaupun demikian, perintah yang aku tulis ini baru juga, kerana kebenarannya nyata pada diri Kristus dan juga pada diri kamu. Hal ini demikian kerana kegelapan hampir berlalu, dan cahaya yang sejati mula bersinar. 9 Sesiapa berkata bahawa dia hidup dalam cahaya tetapi membenci saudaranya, orang itu masih hidup dalam kegelapan sehingga saat ini. 10 Sesiapa yang mengasihi saudaranya, hidup dalam cahaya sehingga tiada suatu pun pada dirinya yang akan menyebabkan orang lain berdosa. 11 Tetapi sesiapa membenci saudaranya, orang itu hidup dalam kegelapan. Dia berjalan dalam kegelapan, dan tidak tahu ke mana dia pergi, kerana kegelapan itu sudah membutakan dia. 12 Anak-anakku, aku menulis kepada kamu, kerana dosa kamu sudah diampunkan demi Kristus. 13 Bapa-bapa, aku menulis kepada kamu, kerana kamu kenal akan Dia yang telah ada sejak permulaan. Aku menulis kepada kamu, orang muda, kerana kamu sudah mengalahkan Iblis. 14 Anak-anakku, aku menulis kepada kamu kerana kamu kenal akan Allah Bapa. Aku menulis kepada kamu, bapa-bapa, kerana kamu kenal akan Dia yang telah ada sejak permulaan. Aku menulis kepada kamu, orang muda, kerana kamu teguh hati. Kamu menyimpan firman Allah di dalam hati, dan kamu sudah mengalahkan Iblis. 15 Janganlah kasihi dunia ini, atau segala sesuatu di dunia ini. Jika kamu mengasihi dunia ini, kamu tidak mengasihi Allah Bapa. 16 Segala sesuatu di dunia ini, iaitu yang diingini oleh keinginan hati orang berdosa, dan yang dilihat lalu dikehendaki, serta yang dibangga-banggakan, semuanya tidak berasal daripada Bapa, tetapi dari dunia. 17 Dunia dan segala sesuatu di dunia yang diingini oleh manusia tidak kekal. Tetapi orang yang melakukan kehendak Allah, akan hidup selama-lamanya. 18 Anak-anakku, akhir zaman sudah dekat! Kamu diberitahu bahawa Musuh Kristus akan datang. Sekarang banyak orang yang memusuhi Kristus telah muncul. Oleh itu kita tahu bahawa akhir zaman sudah dekat. 19 Musuh-musuh Kristus itu sebenarnya tidak termasuk dalam golongan kita, itulah sebabnya mereka meninggalkan kita. Jika mereka termasuk dalam golongan kita, tentu mereka tetap bersama-sama kita. Tetapi mereka meninggalkan kita, supaya nyata bahawa tidak seorang pun antara mereka yang benar-benar termasuk dalam golongan kita. 20 Tetapi kamu sudah menerima Roh Allah yang dicurahkan oleh Kristus. Itulah sebabnya kamu semua mengenal ajaran yang benar. 21 Aku menulis kepada kamu, bukan kerana kamu tidak mengenal ajaran yang benar; tetapi justeru kerana kamu mengenalnya. Kamu juga tahu bahawa tidak ada dusta dalam ajaran yang benar itu. 22 Sesiapa berkata bahawa Yesus bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, orang itu pendusta. Orang seperti itu Musuh Kristus; orang itu tidak mengakui Bapa mahupun Anak. 23 Sesiapa yang tidak mengakui Anak, juga tidak mengakui Bapa. Sesiapa yang menyambut Anak, menyambut Bapa juga. 24 Oleh itu, perkhabaran yang kamu dengar sejak kamu mula-mula percaya kepada Kristus harus kamu simpan di dalam hati. Jika kamu berpegang kepada perkhabaran itu, kamu akan sentiasa hidup bersatu dengan Anak dan dengan Bapa. 25 Inilah yang dijanjikan oleh Kristus sendiri kepada kita: hidup sejati dan kekal. 26 Aku menulis surat ini kepada kamu tentang mereka yang berusaha untuk menipu kamu. 27 Tetapi bagi kamu, Kristus telah mencurahkan Roh-Nya kepada kamu. Selama Roh-Nya ada pada kamu, kamu tidak memerlukan sesiapa pun untuk mengajar kamu. Hal ini demikian kerana Roh-Nya mengajar kamu tentang segala sesuatu, dan apa yang diajarkan-Nya itu benar, bukan palsu. Oleh itu, taatlah kepada ajaran Roh-Nya, dan tetaplah hidup bersatu dengan Kristus. 28 Oleh itu, anak-anakku, tetaplah hidup bersatu dengan Kristus, supaya pada waktu Dia datang, kita dapat menghadap Dia dengan penuh keberanian. Kita tidak perlu bersembunyi kerana malu. 29 Kamu tahu bahawa Kristus melakukan kehendak Allah. Oleh itu kamu harus tahu bahawa setiap orang yang melakukan kehendak Allah ialah anak Allah. 1 Ketahuilah bahawa Allah Bapa sangat mengasihi kita! Dia amat mengasihi kita, sehingga kita diakui sebagai anak-anak Allah dan memang kita anak-anak Allah. Itulah sebabnya dunia ini tidak mengenal kita, kerana dunia ini tidak mengenal Allah. 2 Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Kita sekarang anak-anak Allah, tetapi keadaan kita kelak belum jelas. Tetapi kita tahu bahawa apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti Dia, kerana kita akan melihat Dia dalam keadaan-Nya yang sebenarnya. 3 Setiap orang yang mempunyai harapan ini kepada Kristus, menjaga dirinya supaya suci, sebagaimana Kristus pun suci. 4 Sesiapa yang berbuat dosa, melanggar hukum Allah, kerana dosa itu pelanggaran terhadap hukum Allah. 5 Kamu tahu bahawa Kristus datang untuk menghapuskan dosa manusia, dan bahawa pada diri-Nya tidak ada dosa. 6 Oleh itu, setiap orang yang hidup bersatu dengan Kristus, tidak terus-menerus berbuat dosa. Sesiapa yang terus-menerus berbuat dosa, tidak pernah melihat Kristus ataupun mengenal Dia. 7 Anak-anakku, janganlah biarkan sesiapa pun menipu kamu. Sesiapa melakukan kehendak Allah, dia anak Allah, seperti Kristus. 8 Sesiapa terus-menerus berbuat dosa, dia anak Iblis, kerana Iblis berdosa sejak permulaan. Justeru untuk hal inilah Anak Allah datang bagi memusnahkan pekerjaan Iblis. 9 Sesiapa yang menjadi anak Allah, tidak terus-menerus berbuat dosa kerana sifat Allah sendiri ada padanya. Kerana Allah itu Bapanya, dia tidak dapat terus-menerus berbuat dosa. 10 Inilah perbezaan antara anak Allah dengan anak Iblis: Sesiapa tidak melakukan kehendak Allah, atau tidak mengasihi saudaranya, dia bukanlah anak Allah. 11 Inilah perkhabaran yang kamu dengar sejak permulaan: Kita harus saling mengasihi. 12 Janganlah kita seperti Kain. Dia menjadi anak Iblis dan membunuh adiknya sendiri. Mengapakah Kain membunuh adiknya? Kerana perbuatan yang dilakukannya salah, tetapi perbuatan yang dilakukan adiknya benar. 13 Oleh itu, saudara-saudaraku, janganlah hairan jika orang di dunia ini membenci kamu. 14 Kita tahu bahawa kita hidup dan sudah meninggalkan kematian, kerana kita mengasihi saudara-saudara kita. Sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya, masih dikuasai kematian. 15 Sesiapa membenci saudaranya, dia pembunuh. Kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak mempunyai hidup sejati dan kekal. 16 Dengan jalan ini kita mengetahui cara mengasihi orang lain: Kristus sudah menyerahkan hidup-Nya untuk kita. Oleh itu kita harus menyerahkan hidup kita untuk saudara-saudara kita! 17 Jika seorang kaya melihat saudaranya yang miskin memerlukan pertolongan, tetapi tidak mahu menolong saudaranya itu, bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia mengasihi Allah? 18 Anak-anakku! Janganlah kita mengasihi hanya dengan kata-kata belaka. Kita harus saling mengasihi dengan kasih yang sejati, yang dibuktikan dengan perbuatan. 19 Demikianlah caranya kita tahu bahawa kita tergolong sebagai anak-anak Allah yang benar, dan hati kita tenang di hadapan Allah. 20 Jika hati nurani kita menyalahkan kita, maka kita tahu bahawa Allah lebih besar daripada hati nurani kita, dan bahawa Dia mengetahui semuanya. 21 Oleh itu, sahabat-sahabat yang aku kasihi, jika hati nurani kita tidak menyalahkan kita, kita dapat menghadap Allah dengan penuh keberanian. 22 Kita menerima apa yang kita minta daripada-Nya, kerana kita taat kepada perintah-Nya dan kita melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. 23 Inilah perintah-Nya: Kita harus percaya kepada Anak-Nya, Yesus Kristus, dan kita harus saling mengasihi, seperti yang diperintahkan Kristus kepada kita. 24 Sesiapa yang taat kepada perintah Allah, hidup bersatu dengan Allah, dan Allah hidup bersatu dengan dia. Kita tahu bahawa Allah hidup bersatu dengan kita, kerana Dia telah mengurniai kita Roh-Nya. 1 Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Janganlah percaya kepada semua orang yang mengaku bahawa mereka mempunyai Roh Allah, tetapi ujilah mereka untuk mengetahui sama ada roh yang ada pada mereka itu berasal daripada Allah atau tidak. Hendaklah kamu berbuat demikian kerana banyak nabi palsu telah pergi ke serata tempat. 2 Inilah caranya kamu boleh mengetahui sama ada roh itu Roh Allah atau tidak: Sesiapa mengakui Yesus Kristus datang ke dunia sebagai manusia, orang itu mempunyai Roh yang datang daripada Allah. 3 Tetapi sesiapa menafikan hal ini tentang Yesus, orang itu tidak mempunyai Roh Allah. Orang itu mempunyai roh daripada Musuh Kristus. Kamu sudah mendengar bahawa roh itu akan datang, dan sekarang roh itu sudah di dunia ini. 4 Tetapi anak-anakku, kamu milik Allah. Kamu sudah mengalahkan nabi-nabi palsu itu, kerana Roh yang ada pada kamu lebih berkuasa daripada roh yang ada pada orang milik dunia ini. 5 Nabi-nabi palsu itu berkata-kata tentang perkara-perkara dunia, dan orang dunia ini mendengar kata-kata mereka, kerana mereka milik dunia ini. 6 Tetapi kita milik Allah. Sesiapa yang mengenal Allah, mendengar kata-kata kita. Sesiapa yang bukan milik Allah, tidak mahu mendengar kata-kata kita. Itulah caranya kita dapat membezakan Roh yang memberikan ajaran benar, dengan roh yang menyesatkan orang. 7 Sahabat-sahabat yang aku kasihi, marilah kita saling mengasihi kerana kasih berasal daripada Allah. Sesiapa yang saling mengasihi, mengenal Allah dan dia anak Allah. 8 Sesiapa yang tidak mengasihi orang lain, tidak mengenal Allah kerana Allah itu kasih. 9 Inilah cara Allah menunjukkan kasih-Nya kepada kita: Dia mengutus Anak-Nya yang tunggal ke dalam dunia supaya melalui Anak-Nya kita beroleh hidup sejati dan kekal. 10 Inilah kasih: Bukannya kita telah mengasihi Allah, tetapi Allah mengasihi kita dan mengutus Anak-Nya supaya melalui Dia dosa kita diampunkan. 11 Sahabat-sahabat yang aku kasihi, jika Allah sangat mengasihi kita, kita pun harus saling mengasihi. 12 Tidak seorang pun pernah melihat Allah. Jika kita saling mengasihi, Allah hidup bersatu dengan kita, dan kasih-Nya disempurnakan dalam diri kita. 13 Kerana Allah telah mengurniai kita Roh-Nya, kita tahu bahawa kita hidup bersatu dengan Allah dan Allah hidup bersatu dengan kita. 14 Kami sendiri telah melihat Anak Allah dan memberitahu orang lain bahawa Bapa mengutus Anak-Nya untuk menjadi Penyelamat dunia ini. 15 Allah hidup bersatu dengan orang yang mengakui Yesus itu Anak Allah, dan mereka hidup bersatu dengan Allah. 16 Kita sendiri tahu dan benar-benar yakin bahawa Allah mengasihi kita. Allah itu kasih. Sesiapa yang sentiasa mengasihi orang lain, hidup bersatu dengan Allah, dan Allah hidup bersatu dengan dia. 17 Kasih disempurnakan dalam diri kita, supaya kita beroleh keberanian pada Hari Kiamat kelak. Kita tentu akan mempunyai keberanian, kerana hidup kita di dunia ini seperti hidup Kristus. 18 Orang yang menikmati kasih Allah tidak mengenal perasaan takut, kerana kasih yang sempurna melenyapkan segala perasaan takut. Oleh itu, orang yang belum menikmati kasih Allah dengan sempurna, akan takut menghadapi hukuman pada Hari Kiamat. 19 Kita mengasihi orang lain, kerana Allah mengasihi kita terlebih dahulu. 20 Jika seseorang berkata, "Aku mengasihi Allah,'' tetapi dia membenci saudaranya, orang itu pendusta. Jika seseorang tidak mengasihi saudaranya yang dilihatnya, tidak mungkin dia dapat mengasihi Allah yang tidak dilihatnya. 21 Inilah perintah yang diberikan oleh Kristus kepada kita: Sesiapa yang mengasihi Allah mesti mengasihi saudaranya juga. 1 Sesiapa percaya bahawa Kristus Penyelamat yang diutus oleh Allah, orang itu anak Allah. Sesiapa yang mengasihi seorang bapa, mengasihi anak bapa itu juga. 2 Inilah caranya kita tahu bahawa kita mengasihi anak-anak Allah: Kita mengasihi Allah dan kita mentaati perintah-Nya. 3 Apabila kita mentaati perintah Allah, maka kita mengasihi Allah. Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita, 4 kerana setiap anak Allah dapat mengalahkan dunia ini. Kita mengalahkan dunia ini dengan iman kita. 5 Siapakah dapat mengalahkan dunia ini? Hanya orang yang percaya bahawa Yesus Anak Allah. 6 Yesus Kristuslah yang datang ke dunia dengan air baptisan-Nya dan dengan darah kematian-Nya. Dia datang bukan dengan air sahaja, tetapi dengan air dan darah. Roh Allah sendiri memberikan kesaksian bahawa hal itu benar, kerana Roh tidak pernah berdusta. 7 Ada tiga saksi: 8 Roh Allah, air dan darah; dan ketiga-tiganya memberikan kesaksian yang sama. 9 Kita percaya kepada kesaksian manusia; tetapi kesaksian Allah lebih kuat lagi. Itulah kesaksian yang diberikan oleh Allah tentang Anak-Nya. 10 Oleh itu, sesiapa yang percaya kepada Anak Allah, mempunyai kesaksian itu di dalam hatinya. Tetapi sesiapa yang tidak percaya kepada Allah, menjadikan Allah pendusta, kerana orang itu tidak percaya kepada apa yang difirmankan Allah tentang Anak-Nya. 11 Inilah kesaksian itu: Allah sudah memberi kita hidup sejati dan kekal, dan hidup itu berasal daripada Anak-Nya. 12 Sesiapa yang mempunyai Anak Allah, mempunyai hidup itu; dan sesiapa yang tidak mempunyai Anak Allah, tidak mempunyai hidup itu. 13 Aku menulis surat ini kepada kamu yang percaya kepada Anak Allah, supaya kamu tahu bahawa kamu sudah mempunyai hidup sejati dan kekal. 14 Kita berani menghadap Allah, kerana kita yakin bahawa Dia mengabulkan doa kita, jika kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya. 15 Kita tahu bahawa Dia mendengarkan kita bila-bila masa kita memohon kepada-Nya. Oleh itu kita pun tahu bahawa Dia memberi kita apa yang kita minta daripada-Nya. 16 Jika kamu melihat seorang saudara seiman melakukan dosa yang tidak mengakibatkan orang itu kehilangan hidup sejati dan kekal, hendaklah kamu berdoa kepada Allah supaya memberi dia hidup itu. Hal ini berkenaan dengan orang yang dosa mereka tidak mengakibatkan mereka kehilangan hidup itu. Tetapi ada dosa yang mengakibatkan orang kehilangan hidup itu. Aku tidak berkata bahawa kamu harus berdoa kepada Allah tentang hal itu. 17 Semua perbuatan salah itu dosa, tetapi ada dosa yang tidak mengakibatkan orang kehilangan hidup sejati dan kekal. 18 Kita tahu bahawa tidak seorang pun daripada anak-anak Allah terus-menerus berbuat dosa, kerana Anak Allah melindunginya dan Iblis tidak dapat berbuat apa-apa terhadapnya. 19 Kita tahu bahawa kita milik Allah, meskipun seluruh dunia ini di bawah kuasa Iblis. 20 Kita tahu bahawa Anak Allah sudah datang dan sudah memberi kita pengertian, supaya kita mengenal Allah yang benar. Kita hidup bersatu dengan Allah yang benar kerana kita hidup bersatu dengan Anak-Nya Yesus Kristus. Inilah Allah yang benar, dan inilah hidup sejati dan kekal. 21 Anak-anakku, jauhkanlah diri kamu daripada berhala!
|